Hormati Negara dan Diri Sendiri

Bulan Ogos sememangnya sinonim dengan bulan kemerdekaan. Sempena bulan kemerdekaan, pastinya semangat cintakan negara dalam setiap rakyat Malaysia semakin berkobar-kobar. Apatah lagi sepanjang bulan ini, banyak aktiviti bertemakan semangat patriotisme dilaksanakan. Jalur Gemilang akan dipasang di merata-rata tempat dan lagu Negaraku akan banyak berkumandang. Kita seharusnya bangga dengan kejayaan demi kejayaan yang kita kecapi sejak sebelum zaman negara kita mengecapi kemerdekaan, kemudian kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 sehinggalah kejayaan dan kemajuan yang kita kecapi pada hari ini. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri yang tinggi, sikap hormat terhadap negara seharusnya perlu ada dalam diri kita. Hormatilah Jalur Gemilang yang kini dipasang di merata-rata tempat. Sekiranya kita terlihat bendera-bendera yang terdampar di tanah, janganlah kita memijak dengan sengaja. Janganlah juga kita dengan sengaja mengelap tangan yang kotor dengan Jalur Gemilang. Sesungguhnya kita harus tahu Jalur Gemilang melambangkan kejayaan Malaysia dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Setiap satu elemen yang terdapat pada Jalur Gemilang membawa makna yang signifikan kepada kita. Contohnya warna kuning melambangkan warna Diraja, warna merah melambangkan keberanian, warna putih melambangkan kesucian dan warna biru melambangkan perpaduan. Elemen-elemen itulah yang menjadi faktor penentu kejayaan yang kita kecapi pada hari ini dan menjamin kegemilangan dan keharmonian hidup kita pada masa-masa akan datang. Justeru, hormatilah Jalur Gemilang dan dengan perasaan bangga, gantunglah bendera di rumah dan sebagainya. Begitu juga dengan nyanyian Lagu Negaraku yang wajar dihormati. Tanpa mengira tempat, berdirilah dengan tegak apabila terdengar nyanyian lagu kebangsaan dikumandangkan. Lagu Negaraku sebagaimana juga lagu-lagu kebangsaan negara-negara lain merupakan identiti serta lambang kebesaran sesebuah negara dan ianya seharusnya dinyanyikan dengan penuh rasa taat dan setia kepada negara. Penulis teringat satu ketika dahulu, seorang rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian di luar negara yang mempersendakan lagu Negaraku dengan mengubah lirik dalam video dan berlatarbelakangkan Jalur Gemilang. Isu tersebut telah mencetus kemarahan rakyat Malaysia atas kebiadaban seorang rakyat Malaysia yang tidak menghormati undang-undang negara. Selain itu, hormatilah pejuang-pejuang kemerdekaan yang bertungkus lumus berjuang dan berkorban demi mendapatkan kemerdekaan tanahair kita yang tercinta ini. Tanpa mereka, kita tidak mungkin dapat mengecap keamanan dan kejayaan pada hari ini. Kepada pejuang-pejuang yang telah pergi meninggalkan kita, kita doakan agar mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Ingatlah kata-kata Presiden Amerika Syarikat yang ke 35 iaitu John F. Kennedy, “jangan tanya apa yang negara boleh berikan kepada kamu, tapi tanyalah apa yang kamu boleh berikan kepada negara” (ask not what your country can do for you — ask what you can do for your country). Selain menghormati negara, kita terlebih dahulu perlu menghormati diri sendiri. Hormat diri sendiri adalah kunci untuk menghormati orang lain dan negara. Apabila kita boleh mengenal pasti dan menghargai kekuatan kita dan menerima kelemahan yang ada kita, kita akan lebih mudah untuk menghormati orang lain dan negara kita yang tercinta. Jangan sesekali mengeluarkan perkataan yang tidak baik kepada diri sendiri. Sebagai contoh, kita tidak sepatutnya mengatakan diri kita bodoh, malas, hodoh dan sebagainya kerana perkataan yang negatif akan mengakibatkan kita berasa rendah diri jika berhadapan dengan orang lain. Hormatilah diri kita sebagaimana kita seadanya yang cukup anggota badan, lengkap pakaian dan cukup makanan. Menghormati diri sendiri juga perlu dengan menghargai keistimewaan yang ada pada diri kita di samping tidak mengeluh dengan serba kekurangan diri. Terimalah segala apa yang ada pada diri kita supaya kita akan lebih berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya Allah s.w.t itu maha adil. Mungkin ada sesuatu kelebihan pada diri kita yang tidak ada pada orang lain, dan begitu juga sebaliknya. Sekiranya kita pernah melakukan kesalahan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, maafkanlah diri sendiri untuk kesalahan yang pernah kita lakukan. Selalulah tanam nilai-nilai positif dalam diri kita dan berada di sekeliling orang-orang yang positif. Apabila kita menghormati diri sendiri dengan bersikap positif, kita secara langsung akan sedar kepentingan menghormati orang lain dan negara.

Speak Your Mind

*