Jangan Leka Dengan Kejayaan Kepada Yang Berjaya Dan Tanamkan Semangat Untuk Berubah Kepada Yang Kurang Berjaya

Pertama sekali, tahniah diucapkan kepada murid yang memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini. Kepada yang kurang berjaya, diharapkan tidak berputus asa dan gandakan lagi usaha anda pada masa akan datang. Perjalanan anda masih jauh dan banyak lagi peringkat pengajian yang bakal anda tempuh sebelum dapat menggapai impian dan cita-cita kalian. UPSR hanyalah satu bentuk penilaian sumatif yang menguji pencapaian kognitif terhadap segala yang telah dipelajari sepanjang berada di peringkat sekolah rendah. Kognitif di sini merujuk kepada empat kemahiran yang digariskan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan mulai tahun 2011 iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul. Kejayaan dalam peperiksaan tersebut dapat menentukan di mana murid dapat menyambung pengajian menengah mereka sama ada di sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah menengah harian biasa atau sebagainya. Walau bagaimanapun, tidak kira di mana dan jenis sekolah yang bakal menjadi tempat anda belajar, apa yang paling penting ialah kesinambungan kecemerlangan yang telah diperolehi di peringkat sekolah rendah diteruskan di peringkat menengah yang perjalanannya pasti lebih mencabar. Momentum kecemerlangan semasa di sekolah rendah perlu dikekalkan dan dipertingkatkan semasa berada di sekolah menengah. Jangan terlalu berpuas hati dengan kejayaan yang baru sahaja bermula sedangkan perjuangan yang lebih mencabar bakal ditempuhi.

Sumber gambar: https://www.mysumber.com/keputusan-upsr.html

Cabaran yang mungkin akan dihadapi ialah apabila murid menyambung pelajaran di sekolah menengah harian biasa yang mana kehidupan mereka sebagai murid lebih bebas. Berbanding dengan murid yang menyambung pendidikan menengah mereka di sekolah berasrama yang aktiviti mereka lebih terkawal, murid sekolah menengah harian biasa harus bijak memilih rakan. Kebiasaannya sesebuah sekolah menengah menempatkan murid yang datangnya dari pelbagai sekolah rendah sewaktu mereka menamatkan pendidikan rendah mereka. Mereka akan bertemu dan bergaul dengan rakan-rakan baru dari kawasan berdekatan. Justeru di sini murid perlu bijak memilih rakan sebaya. Banyak kajian menunjukkan pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu faktor utama terlibatnya pelajar dalam kancah gejala sosial. Tambah-tambah lagi dalam umur yang sedang meningkat, mereka mudah dipengaruhi untuk mencuba sesuatu yang baru. Oleh yang demikian, murid yang bakal memulakan pendidikan peringkat menengah, semuanya terletak di tangan anda kerana andalah yang bakal menentukan masa depan anda. Keputusan cemerlang dalam UPSR bukanlah segala-galanya. Malah kalau diperhatikan, mahupun berdasarkan pengalaman dan amalan untuk mendapatkan pekerjaan, ataupun mendapatkan tempat di institusi pendidikan tinggi, pencapaian dalam UPSR tidak diperlukan. Bukan untuk menidakkan kepentingan peperiksaan UPSR, keputusan cemerlang dalam UPSR seharusnya memberikan tambahan motivasi kepada murid untuk terus berusaha untuk mencapai keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan-peperiksaan lain yang jauh lebih penting. Satu lagi perkara yang perlu kita ketahui ialah masyarakat kita yang mendefinisikan kejayaan hanya dari keputusan peperiksaan yang berasaskan kertas dan pen semata-mata. Sebagaimana yang kita ketahui, sistem pendidikan di Malaysia telah melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). PBS bertujuan untuk mentaksir murid secara holistik iaitu menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Disebabkan itu, setiap murid tahun enam menerima empat pelaporan serentak iaitu keputusan UPSR dan tiga komponen PBS; Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi). Tidak dapat dinafikan kemahiran kognitif yang diukur melalui peperiksaan UPSR itu penting, tetapi harus kita ingat bahawa kebolehan murid adalah pelbagai dan seseorang yang kurang atau tidak berjaya dalam peperiksaan UPSR tidak semestinya tidak mempunyai masa hadapan yang cerah. Malah negara kita kini telah menumpukan perhatian kepada penawaran bidang Pendidikan Vokasional dan Teknik (TVET) untuk mereka yang lebih cenderung untuk memiliki kemahiran dan latihan yang diperlukan oleh negara pada masa kini dan akan datang. Oleh yang demikian, kepada murid yang kurang berjaya, jangan melihat ke belakang kerana anda tidak dapat mengubahnya. Jadi tanamkan azam untuk berubah dan gandakan usaha untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Sumber gambar:https://maria-hence14.deviantart.com/art/Failure-is-a-Part-of-Success-527771731

Tidak dapat dinafikan bahawa peperiksaan adalah penting, dan anda layak mendapat usaha terbaik anda, tetapi kehidupan akan berterusan walau apa pun di penghujungnya. Anda juga harus ingat bahawa kegagalan itu sendiri adalah penting. Orang tidak berjaya pada semua yang mereka lakukan sepanjang masa. Apabila anda gagal dan belajar untuk menangani kegagalan tersebut dengan sewajarnya boleh membantu anda melakukan lebih baik pada masa akan datang. Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan kejayaan anak-anak mereka di peringkat selanjutnya. Sokongan, kata-kata semangat dan galakan harus dipertingkatkan dan usah kecewa sekiranya anak-anak anda gagal atau kurang berjaya dalam UPSR kerana UPSR bukanlah penentu masa depan anak anda. Kata-kata dorongan perlu berterusan agar anak-anak tidak putus asa. Penting juga bagi ibu bapa untuk lebih rasional tentang pencapaian anak mereka. Kecerdasan anak-anak adalah pelbagai. Seseorang murid itu mungkin sangat lemah dalam matematik tetapi cemerlang dalam bahasa. Selain itu, selaras dengan konsep pentaksiran berasaskan sekolah yang diaplikasikan dalam sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini, maksud pentaksiran itu sendiri membawa kepada proses mengumpul maklumat tentang pencapaian murid secara berterusan bagi tujuan penambahbaikan terhadap aspek pengajaran, pembelajaran dan kurikulum pada masa hadapan. Dalam konteks UPSR, analisis pasca peperiksaan tersebut jarang dapat meningkatkan hasil dari kumpulan murid pada tahun semasa kerana mereka akan melangkah masuk alam persekolahan menengah, tetapi dapat membantu guru memperbaiki cara pengajaran mereka, dan menambahbaik kaedah pembelajaran murid dalam meningkatkan pencapaian murid yang akan menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun-tahun seterusnya.

 

Speak Your Mind

*