Peluang membentangkan kertas kerja persidangan di salah sebuah universiti tempatan di Jogjakarta baru-baru ini digunakan sepenuhnya oleh penulis untuk meneroka tempat-tempat menarik di kota tersebut. Sebulan sebelum tiba tarikh seminar tersebut, penulis telah menempah tiket pesawat Garuda Indonesia yang merupakan syarikat penerbangan nasional negara tersebut. Ini berikutan harga yang ditawarkan lebih murah berbanding syarikat-syarikat penerbangan lain yang turut menjadikan Jogjakarta sebagai destinasi mereka. Walaubagaimanapun, penulis bersama-sama rakan yang turut serta menyertai seminar tersebut perlu ‘berehat’ seketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta Jakarta sebelum menaiki pesawat berikutnya untuk ke Jogjakarta. Hari pertama kami di Jogjakarta, kami dibawa ke Mandeng yang merupakan deretan kedai yang menjual barangan kulit. Antara yang dijual termasuklah kasut kulit, beg kulit dan tali pinggang. Kebanyakan barang-barang yang dijual di situ merupakan hasil kerja tangan mereka sendiri. Pada malam hari pertama tersebut, kami dibawa ke Malioboro yang merupakan pusat jual beli yang utama di Jogjakarta. Ia merupakan tarikan utama bukan sahaja pelancong asing malah penduduk tempatan untuk membeli pelbagai cenderamata. Menurut penduduk setempat, melawat Jogjakarta tidak akan lengkap sekiranya tidak ke Malioboro. Barang-barang bukan sahaja dijual di dalam premis-premis jualan, malah terdapat para peniaga yang menjual pelbagai jenis barangan di kaki-kaki lima. Pelbagai barang berasaskan batik seperti baju, kain dan sebagainya boleh dibeli dengan harga murah berbanding dengan batik-batik yang dijual di butik-butik di sekitar Jogjakarta. Selain barangan berasaskan batik, barang-barang lain seperti keychain, fridge magnet, kraftangan dan sebagainya turut dijual di sepanjang jalan ini. Kebanyakan barang yang dijual boleh ditawar. Kami bernasib baik kerana seorang rakan kami fasih berbahasa jawa. Jadi sedikit sebanyak ianya membantu kami mendapatkan harga yang lebih murah. Jalan Malioboro ini merupakan pusat Jogjakarta yang dikelilingi dengan hotel-hotel dan kedai-kedai makan. Malah, yang menjadi tarikan penulis ialah kedai-kedai makan terbuka yang dipanggil ‘lesehan’ yang beroperasi di sepanjang jalan tersebut. Para kumpulan muzikal jalanan turut menghiburkan ketika menjamu selera di kedai-kedai tersebut. Menurut pemandu pelancong, Jalan Malioboro turut menjadi tempat berlangsungnya pelbagai karnival. Antaranya Karnival Jawa yang biasanya diadakan pada bulan Oktober, Festival Kesenian Jogjakarta pada bulan Jun hingga Julai dan Karnival Kebudayaan Tionghoa yang berlangsung menjelangnya tahun baru cina.
Hari kedua kami di kota Yogyakarta padat dengan aktiviti Seminar Antarabangsa Isu-Isu Pendidikan Semasa di Yogyakarta State University. Apa yang menarik perhatian kami sebagai peserta antarabangsa ialah pihak penganjur sangat berbangga dengan identiti negara mereka. Beg program yang diberikan kepada peserta seminar berunsurkan corak batik dan persembahan selingan semasa upacara perasmian merupakan tarian jawa yang menjadi kebanggaan rakyat Indonesia. Malah makan malam kami turut dihidangkan dengan makanan-makanan tradisi mereka.
Bandar Yogyakarta merupakan bandar yang paling hampir dengan Gunung Merapi. Ia terletak sekitar 27 km dari Gunung Merapi. Manakala bagi penduduk desa yang tinggal di lereng Gunung Merapi telah menetap hanya 4 km dari puncak Gunung Merapi. Hari ketiga kami dibawa ke Candi Borubudur. Perjalanan ke Candi Borobudur dari kota Jogjakarta mengambil masa lebih kurang satu jam. Kebetulan kami pergi ketika waktu puncak iaitu pada hari Ahad. Hari Ahad sememangnya merupakan hari yang sesak kerana ramai pelancong yang datang ke Jogjakarta akan dibawa ke Candi Borobudur. Sepanjang jalan ke candi Borobudur, penulis tertarik melihat kedai-kedai buah salak. Jogjakarta juga terkenal dengan aktiviti jualan buah salak yang dijual dengan harga yang murah. Rasanya juga berbeza dengan buah salak yang terdapat di Malaysia. Barangkali pokok buah salak sesuai ditanam dengan tanah yang bercampur dengan abu larva gunung berapi Merapi. Terdapat juga aktiviti-aktiviti menggali abu larva gunung merapi yang meletus pada tahun 2010 yang mengalir di sungai-sungai. Kelihatan lori-lori keluar masuk untuk mengangkut abu larva tersebut. Gunung merapi sememangnya sinonim dengan Jogjakarta. Ia mengimbas kembali ingatan penulis terhadap letusan yang berlaku pada tahun 2010 yang mengakibatkan ratusan nyawa melayang. Antara yang maut ialah penjaga kunci gunung berapi tersebut iaitu Mbah Maridjan yang ditemui mati di dalam rumahnya yang terbakar dalam posisi sujud di dalam bilik tidur akibat semburan awan panas letusan Gunung Merapi kira-kira empat kilometer dari puncak gunung. Gunung Merapi yang mempunyai ketinggian puncak hingga 2.968 meter bersamaan dengan 9.737 kaki dan terletak di bahagian tengah Pulau Jawa merupakan salah satu gunung api teraktif di Indonesia. Gunung Merapi dikatakan sangat bahaya kerana ianya sentiasa aktif dan meletus pada setiap dua hingga lima tahun sekali. Sejak tahun 1548, Gunung Merapi telah meletus sebanyak 68 kali. Malah sejak kebelakangan ini, gunung berapi tersebut meletus setiap empat tahun sekali dan kali terakhir ia meletus ialah pada tahun 2010 dan dikatakan bakal meletus lagi pada tahun 2014. Kami kurang bernasib baik kerana pada hari tersebut, awan tebal menyelubungi angkasa. Jadi kami tidak berpeluang melihat gunung berapi tersebut.
Setelah sejam berada di dalam bas, kami sampai ke kawasan terletaknya Candi Borobodur. Candi ini terletak kira-kira 42 km dari kota Jogjakarta. Setibanya kami di kawasan candi tersebut, jurujual-jurujual sudah mula mengerumuni kami. Mereka tidak putus-putus memujuk kami membeli barang-barang yang dijual seperti cenderamata, beg dan makanan yang dijual. Sebelum memasuki perkarangan Candi Borobudur, kami diberikan taklimat terlebih dahulu oleh juru pandu yang berkhidmat di situ. Candi Borobodur mempunyai ukuran panjang 121.66 meter, lebar 121.36 meter lebar dan ketinggian 35.40 meter. Candi borobodur telah diisytiharkan sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh UNESCO pada tahun 1991. Candi ini terdiri daripada sembilan tingkat iaitu 6 tingkat berbentuk segi empat sama, manakala 3 tingkat lagi berbentuk bulatan. Pembinaan candi ini menerapkan tiga tahap dalam ilmu kosmo Buddha iaitu Kamadhatu, Rupadhatu dan Arupadhatu. Candi ini dipenuhi dengan 2672 arca ukiran batu yang menceritakan kisah perjalanan Buddha dan 504 patung Buddha. Manakala 72 stupa disusun mengelilingi satu stupa besar di tengah. Arca-arca disusun dari kiri ke kanan. Oleh itu, pengunjung yang ingin membacanya bagi mengikuti kisah pengembaraan Buddha perlu mengelilingi candi mengikut arah jam. Kami meluangkan masa selama hampir dua jam di Candi Borobodur. Dalam perjalanan pulang ke hotel, kami meminta untuk diturunkan di Jalan Malioboro sekali lagi kerana rata-rata antara kami masih ingin membeli ole-ole untuk dibawa pulang ke tanahair pada keesokan harinya.
Speak Your Mind