Kesan positif hadkan pengambilan 10 subjek dalam SPM

keputusan-spm

Pertama sekali, penulis ingin merakamkan ucapan tahniah kepada calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  yang memperolehi keputusan baru-baru ini. Kepada yang berjaya, teruskan kecemerlangan anda di peringkat seterusnya dan kepada yang kurang berjaya, ingat ini bukan noktah perjuangan anda. Teruskan dan gandakan usaha anda pada masa akan datang. Keputusan SPM 2010 yang dianggap terbaik dalam tempoh empat tahun ini jelas membuktikan keberkesanan dasar mengehadkan jumlah maksimum mata pelajaran yang boleh diambil oleh pelajar pada tahun lepas. Melalui dasar tersebut, pelajar dihadkan untuk mengambil hanya sepuluh mata pelajaran dan mereka diberi kelonggaran untuk mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan. Ini bermakna jumlah maksimum mata pelajaran yang boleh diambil ialah dua belas mata pelajaran. Selain terbukti berjaya dengan keputusan SPM yang dianggap terbaik, perlaksanaan dasar tersebut sememangnya memberi kesan positif kepada aspek-aspek lain yang pastinya membawa kepada kecemerlangan keputusan SPM baru-baru ini.

Dengan perlaksanaan dasar tersebut, pelajar boleh memberi perhatian sepenuhnya dalam mata pelajaran yang diambil dan seterusnya mempelbagaikan strategi pembelajaran mereka secara berkesan. Melalui strategi pembelajaran yang berkesan, mereka boleh memahami sesuatu konsep dengan baik dan sempurna dan bukannya sekadar menghafal. Hal ini seterusnya memberi kesan positif kepada pelajar kerana ilmu yang mereka pelajari akan dikuasai untuk kesan jangka panjang dan seterusnya digunakan untuk peringkat yang lebih tinggi. Contohnya mata pelajaran Matematik yang terkandung dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mengandungi tiga komponen utama iaitu Nombor, Bentuk dan Ruang, dan Perkaitan. Strategi pembelajaran yang berkesan untuk satu komponen tidak sama dengan komponen yang lain. Contohnya untuk komponen bentuk atau geometri, strategi pembelajaran berbentuk penyiasatan konjektur amat digalakkan untuk dilaksanakan kerana ianya terbukti berkesan untuk meningkatkan kefahaman pelajar. Tambahan pula ianya boleh dilaksanakan secara mudah dan berkesan dengan kehadiran pelbagai teknologi seperti perisian Geometer’s Sketchpad (GSP) yang telah dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia kepada semua sekolah menengah di Malaysia. Secara tidak langsung, alat bantu mengajar dan makmal komputer yang disediakan oleh kementerian dimanfaatkan sepenuhnya dan bukan sekadar menjadi perhiasan di sekolah. Hal ini juga menyahut fokus kerajaan dalam sistem pendidikan negara iaitu melahirkan generasi muda yang mampu berfikir secara kreatif dan inovatif serta mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Saranan ini ini disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia semasa Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri di Stadium Putra, Bukit Jalil, Oktober tahun lalu.

Dasar mengehadkan jumlah mata pelajaran SPM juga merupakan satu langkah yang wajar dalam usaha untuk mengubah sistem pendidikan negara kita pada hari ini yang lebih berorientasikan kepada peperiksaan. Guru pula tidak perlu terkejar-kejar menghabiskan sukatan pelajaran untuk mempersiapkan pelajar menghadapi ujian dan peperiksaan. Melalui dasar ini juga, pelajar mempunyai masa untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum kerana walau secemerlang mana seseorang pelajar dalam bidang akademik, mereka akan menghadapi masalah untuk memasuki institusi pengajian tinggi sekiranya mereka tidak melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Menurut Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum bertujuan untuk melahirkan pelajar yang bersifat holistik iaitu mereka bukan sahaja berjaya dalam aspek akademik, tetapi juga mempunyai nilai-nilai insaniah. Hal ini sekali lagi menyahut usaha kerajaan iaitu salah satu fokus yang akan diterapkan dalam sistem pendidikan ialah aktiviti yang dapat melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia. Jadi terbuktilah bahawa dasar mengehadkan pengambilan mata pelajaran dalam SPM memberi impak yang besar bukan sahaja dari aspek keputusan peperiksaan, malah akan memberi impak positif kepada aspek-aspek yang lain.
Dr. Abdul Halim Abdullah
Ruangan Forum, Utusan Malaysia
01.04.2011 (Jumaat)

Speak Your Mind

*