Kisah Sehari Sebelum Hari Raya (Bangga Menjadi Warga UTM)

Sumber gambar: https://johoristimewa.wordpress.com/2017/07/06/bukit-gambir-toll-plaza/

Al kisah di susur keluar Bukit Gambir lebuhraya PLUS. Sejurus melepasi plaza tol, sudah kelihatan khemah barisan hadapan (PDRM dan ATM). Tapi saya tenang sahaja sebab tak buat salah kan? Setibanya giliran saya, cermin tingkap kereta diturunkan dan tangan diangkat..

Saya: Assalamualaikum tuan. Selamat hari raya (ingatkan dah boleh lepas 😅)

Polis: Wa’alaikumsalam. Encik dari mana nak ke mana?

Saya: Saya dari JB nak ke Sagil.

Polis: Boleh tunjuk IC encik?

Saya pun mengeluarkan kad pengenalan dari dompet dan lantas memberikannya kepada pihak polis tersebut.

Polis: eh ni alamat Negeri Sembilan ni. Betul ke encik ni dari JB? Sila parking ke tepi encik. Lepas tu mohon hadir ke khemah kami.

Saya lantas memarkirkan kereta di bahu jalan bagi memberi laluan kepada barisan kereta di belakang.

Polis: nama encik Abdul Halim Bin Abdullah kan? (sambil menunjukkan tab yang memaparkan maklumat saya)

Saya terkejut kerana dengan sekelip mata maklumat saya terpapar pada tab tersebut sedangkan kad pengenalan saya masih berada pada saya. Barangkali polis berkenaan memasukkan no. plat kereta saya ke dalam sistem mereka semasa saya hendak memarkirkan kereta di bahu jalan.

Saya : ya tuan.

Polis: maklumat dalam sistem ini menunjukkan alamat encik di Negeri Sembilan. Encik boleh dikenakan kompaun RM1000 ni sebab merentas negeri.

Saya: jangan tuan. Saya memang dari Johor Bahru. Kalau diikutkan hati memang saya nak balik Negeri Sembilan, tapi disebabkan rentas negeri tak dibenarkan, saya balik kampung nenek di Sagil.

Panjang lebar saya cuba menerangkan. Tapi tetap tenang sebab tak buat salah apa yang perlu ditakutkan.

Polis: apa bukti encik dari Johor Bahru?

Ah sudah…dalam hati apa bukti yang aku nak beri. Kalau ikutkan hati hendak sahaja saya buka sistem Touch n Go untuk buktikan sejarah perjalanan saya. Tapi username dengan password tak ingat pula. Saya cuba mencari sebarang dokumen dalam dompet untuk dijadikan bukti. Akhirnya saya terjumpa kad staf saya.

Saya: saya kerja di UTM tuan. Ini kad staf saya. (Sambil menghulurkan kad tersebut)

Polis: oh, encik lecturer ya di UTM Skudai.

Saya: ya tuan (sambil tersenyum sipu-sipu)

Polis: ok encik. Persediaan macam ni lah kita mahukan kalau ditanya pihak polis ketika ditahan. Terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Selamat hari raya.

Saya: terima kasih tuan.

Jadi, kesimpulan yang saya nak buat di sini ialah saya bangga menjadi sebahagian dari warga UTM.