MAS tetap di hatiku
Pengenalan
Aku dibesarkan di Negeri Sembilan dengan penuh kesederhanaan. Sedangkan menaiki kereta mewah pun belum pernah aku rasai, inikan pula menaiki kapal terbang yang pastinya menjadi angan-angan sewaktu zaman kecilku. Oleh kerana kedudukan Negeri Sembilan yang tidak begitu jauh dari Kuala Lumpur, hampir saban waktu aku melihat kapal terbang melalui ruang udara kawasan perumahanku. Boleh dikatakan setiap petang aku akan mengulangkaji pelajaran di bawah pokok sambil memerhatikan kapal terbang yang walaupun nun tinggi di langit, tetapi ianya masih boleh dilihat oleh mata kasarku. Setiap kali aku terpandang kapal terbang, setiap kali itulah hatiku terdetik entah bilakah aku akan dapat merasai menaiki kapal terbang. Aku begitu ingin tahu bagaimana keadaan di dalam pesawat, bagaimana ia berlepas dan mendarat dan cantik dan kacak sangatkah pramugari dan pramugara yang berada di dalam pesawat. Mungkin disebabkan rasa ingin tahu yang sangat menebal itulah menyebabkan aku begitu teruja apabila terbaca artikel-artikel mengenai kapal terbang di majalah dan suratkhabar. Aku juga akan pastikan yang aku tidak ketinggalan untuk menyertai rombongan sekolah kerana salah satu tempat wajib yang akan dilawati ialah KLIA. Ketika itu, pesawat AirAsia masih belum beroperasi. Jadi kebanyakan pesawat yang aku saksikan ialah pesawat MAS. Apabila berada di KLIA, aku akan bersemangat menyaksikan kapal terbang berlepas dan mendarat dari jauh sehinggakan pernah sekali aku berkeras tidak mahu balik walaupun bas rombongan hendak bergerak. Tidak keterlaluan untuk aku katakan, salah satu motivasi aku belajar bersungguh-sungguh ialah supaya suatu hari nanti, aku bukan lagi setakat dapat melihat kapal terbang tetapi merasai menaikinya.
Disember 2006
Ketika ini, aku sudahpun bergelar seorang pendidik di sebuah institusi pengajian tinggi awam di selatan tanahair. Sehinggalah satu hari pada penghujung tahun 2006, aku diarahkan oleh ketua jabatanku untuk mengikuti satu kursus di Pulau Pinang. Pertama kali aku memandang surat arahan, hatiku terus berdebar-debar. Adakah kursus ini bakal menjadikan angan-anganku selama ini satu kenyataan? Akhirnya persoalanku terjawab apabila ketua jabatanku menyatakan yang aku bakal menaiki kapal terbang ke Pulau Pinang. Dan kapal terbang tersebut ialah kapal terbang MAS. Alhamdulillah syukur yang teramat sangat aku kehadrat Allah s.w.t. Pada masa itu, aku tidak pasti apa perasaanku. Takut ada, gembira ada, semuanya bercampur baur. Dan Alhamdulillah, akhirnya impianku untuk menaiki kapal terbang tercapai. Terima kasih MAS kerana menerbangkan aku buat pertama kali dalam hidupku.
Jun 2009
Tidak sempurna hidupku sekiranya hanya aku sahaja yang dapat merasai perjalanan udara menaiki pesawat sedangkan kerana emak dan ayahlah, aku berada pada tahap sekarang. Buat pertama kali dalam hidup emak, ayah dan adik bongsuku, mereka turut diterbangkan oleh MAS dari KLIA ke Senai, Johor Bahru. Alhamdulillah.
Mei 2011
Satu rahsia yang belum pernah aku kongsikan dengan sesiapa. Aku menaiki pesawat MAS ke sebuah negara luar. Disebabkan penerbangan mengambil masa selama 8 jam, maka para penumpang disediakan dengan beberapa kali hidangan. Aku dikejutkan dari tidur oleh seorang pramugari untuk dihidangkan juadah. Aku tidak ingat apakah jenis hidangan yang disediakan pada masa itu, tetapi yang aku paling ingat, salah satunya ialah salad berserta tomato kecil (baby tomato). Selera tidak berapa ada, maklumlah baru bangun tidur. Sedang kemalasan menyuap makanan ke dalam mulut, aku terpandangkan sesuatu merangkak keluar daripada salad yang disediakan dalam satu mangkuk kecil. Ya Allah, seekor ulat (atau mungkin cacing) berwarna hitam yang agak panjang sedang bergerak keluar dari lapisan daun-daun salad. Lantas, aku panggil seorang pramugari yang sedang sibuk lalu-lalang menghidangkan makanan dan melayan karenah penumpang. Pramugari tersebut terkejut. Lantas dipanggilnya rakan-rakannya yang lain. Mereka turut terkejut. Salah seorangnya beredar dari situ ke satu tempat untuk mengambil sesuatu. Kemudian dia kembali dengan tangan yang telah disarung dengan sarung tangan getah dan sehelai beg plastik. Lantas dicekupnya ulat berkenaan dan dimasukkan ke dalam beg plastik. Barangkali untuk disimpan dan bakal dibuat siasatan lanjut. Mana mungkin makanan yang dibekalkan dalam pesawat sudah tercemar. Tidak lama kemudian, seorang pramugari datang kepadaku dengan membawa sehelai kertas dan sebatang pen. Dia seakan-akan memujukku dan meminta aku tandatangan satu dokumen dan mengisi maklumat berkaitan daripada pas penerbanganku. Aku tidak ingat apakah maklumat yang tercatat pada dokumen tersebut. Tetapi aku merasakan ianya lebih kepada persetujuanku untuk tidak mengheboh-hebohkan hal kepada orang ramai. Aku bersetuju dan terus menandatangani dokumen tersebut. Kes aku ini mungkin lebih serius berbanding komen seorang chef terkemuka tanahair mengenai isu nasi lemak telanjang yang dihidangkan MAS. Barangkali kalau aku memberontak dan tidak berpuas hati, pasti aku kini dapat menikmati penerbangan MAS percuma sepanjang hayatku ke mana-mana destinasi. Hehe. Ya, itu pastinya tidak sama sekali akan berlaku. Mana mungkin aku akan menjatuhkan maruah syarikat penerbangan kebanggaan negara aku sendiri. Dan aku gembira kerana membuat keputusan yang tepat.
Disember 2012
Sementara menantikan tarikh pembentangan viva PhDku, aku membawa emak dan ayah ke Langkawi. Lama sungguh rasanya sejak bergelar pelajar PhD aku tidak bercuti bersama emak dan ayah dek kesibukan menjalankan penyelidikan dan menyiapkan tesis. Jadi waktu senggang yang ada aku gunakan untuk bercuti bersama emak dan ayah di samping merehatkan minda sebelum berjuang mempertahankan kajianku. Sekali lagi aku menaiki pesawat MAS yang aku tempah tiketnya secara atas talian. Setibanya di KLIA, aku ke kaunter untuk mendapatkan pas pelepasan (boarding pass). Menurut pegawai kaunter MAS tersebut, aku perlu ke kiosk untuk mencetak pas tersebut dan kaunter hanya digunakan untuk meletakkan bagasi. Hanya beberapa langkah meninggalkan kaunter menuju kiosk, aku dipanggil semula oleh kakak tersebut. Dengan senyuman yang terukir di bibir, dia membantu aku untuk mendapatkan pas penerbangan. Selepas menyerahkan kad pengenalan, dia bersuara. “Orang felda ke?”. “Ha’ah. Felda di Negeri Sembilan”, jawabku dengan wajah sedikit kehairanan. “Bawa mak dan ayah jalan-jalan ke?”, tambahnya lagi sambil menyemak kad pengenalan emak dan ayahku. “Ya kak. Dah lama tak jalan-jalan dengan mereka”, jawabku lagi tanpa ada langsung perasaan sangsi. “Takpelah, kalau diikutkan tempat duduk jauh antara satu sama lain. Takpa, akak bagi adik dengan mak ayah kerusi yang selesa”, jelasnya dengan senyuman yang terus terukir di bibir. “Terima kasih banyak kak”. Aku mengakhiri perbualan sambil membawa bersama tiket penerbangan yang telah dicetak. Dalam hatiku, betapa prihatinnya syarikat penerbangan MAS terhadap pelanggan-pelanggannya. Mungkin alamat yang tertera pada kad pengenalan kami memberi kelebihan kepada kami. Selepas meluangkan tiga hari di pulau lagenda tersebut, aku dan ibu bapaku kembali ke KLIA dengan menaiki pesawat MAS. Dalam perjalanan pulang ke KL, tahap kesihatanku tidak berapa baik. Barangkali keseronokan berada di Langkawi menyebabkan aku tidak cukup masa untuk berehat. Ditambah pula ketika itu, cuaca yang terik di pulau tersebut. Akibatnya, sepanjang perjalanan balik ke KL, aku pening dan muntah-muntah di atas pesawat. Aku menghalang emak dan ayah daripada memanggil mana-mana pramugari dan pramugara yang lalu lalang di situ. Bagaimanapun, seorang pramugara MAS menyedari keadaanku dan terus menyapa. Risau dengan keadaanku, dia beredar dan kembali kepadaku dengan membawa segelas air, sepapan pil dan tuala basah. Aku ditatang bagai minyak yang penuh. Diletakkan tuala basah di dahiku sambil meminta emak mengelap leherku. Sesekali selepas itu, pramugara tersebut datang kepadaku untuk mengetahui keadaanku. Terima kasih MAS. MH is truly indeed a Malaysian Hospitality!!
8 Mac 2014
Seperti rutin hari-hari sebelumnya di tanah suci Mekah, selepas menunaikan solat subuh dan sebelum bersarapan pagi, aku akan membuka facebook di dalam bilik penginapan hotel. Sengaja dibeli kad sim syarikat telekomunikasi di Arab Saudi yang menawarkan pakej internet. Selain dapat ber ‘whatsapp’ bersama ahli keluarga di tanahair, aku juga dapat mengikuti berita terkini di Malaysia. Tetapi berita yang aku terima pagi itu menerusi facebook akan dikenang sampai bila-bila. Pada mulanya aku hairan, mengapa begitu banyak rakan yang menyatakan #prayforMH370 di facebook masing-masing. Apabila meneroka laman-laman web berita rasmi tempatan dan antarabangsa, seakan-akan gugur seketika jantungku. Berderau darahku. Ya Allah, sesungguhnya negaraku yang tercinta kini sedang diuji olehMu. Sebelum berlepas ke Madinah beberapa hari sebelum itu, Malaysia sedang ditimpa musim kemarau dan jerebu yang berpanjangan. Tetapi hari ini, satu lagi ujianMu ya Allah terhadap Malaysia. Hilang terus selera makan aku ketika itu. Begitu juga dengan emak, ayah, nenek dan makcikku yang pada mulanya aku rahsiakan berita tersebut dengan mereka. Namun, berita mengejut tersebut akhirnya tersebar jua dalam kalangan jemaah. Tidak aku sangka sama sekali, tragedi pesawat yang kebiasaannya aku tonton menerusi rancangan dokumentari “Air Crash Investigation” berlaku di negara aku sendiri. Mengapa kita, rakyat Malaysia dipilih untuk diuji? Kerana kita mampu menghadapi ujian-ujian tersebut. Masalah kemarau, jerebu, pesawat hilang dan sebagainya. “Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”(Al-Baqarah: 286). Bermula dari saat itu, doaku sentiasa dititipkan untuk MH370 tidak kiralah semasa mengerjakan umrah, mahupun berada di hadapan kaabah. Ya Allah Ya Tuhanku. Sesungguhnya kami berserah padamu Ya Allah. Andai MH370 di dalam lautan maka timbulkanlah. Andai MH370 di atas langit turunkanlah dan andai MH370 di darat tunjukkanlah. Kami mohon petunjuk mu Ya Allah.
Hari ini sehingga 17 Julai 2014
Hari ini, kehilangan MH370 masih misteri. Walaupun YAB Perdana Menteri telah mengumumkan secara rasmi bahawa perjalanan MH370 berakhir di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi, semua pihak masih mengharapkan keajaiban berlaku selagi bukti yang kukuh dan jelas masih belum ditemui. Memetik kata-kata bekas Ketua Juruterbang 777-200 MAS, Kapten Norudin Abd Majid, hanya dua cara untuk menemui pesawat tersebut, iaitu pertama, doa orang yang soleh, dan kedua, doa dari ahli keluarga mangsa yang terlibat. Ya, teruskan berdoa rakyat Malaysia. Doa adalah senjata kita ketika ini!!
17 Julai 2014
Kejam….kejam…kejam…
Insiden MH17 sememangnya sukar dihadam
Dunia yang semakin kejam
Sifat perikemanusiaan yang semakin tenggelam
Rasa belas kasihan yang semakin kelam
Hati mana yang tidak remuk,
Melihat serpihan pesawat kebangsaan kita, pesawat kebanggaan kita, MALAYSIA AIRLINES berselerakan di sebuah negara yang tiada kepentingan kepada kita,
Menitis air mata ini melihat bendera Malaysia pada salah satu serpihan,
Di manakah nilai perikemanusiaan?
Di manakah nilai keadilan?
Di kala dua buah negara sedang bersengketa,
Mengapa Malaysia menjadi mangsa?
Mengapa pesawat komersial Malaysia menjadi taruhan?
Apakah salah bayi yang mahu mengenal dunia?
Apakah salah pelajar doktor falsafah harapan negara?
Apakah salah pakar perubatan yang menghadiri persidangan antarabangsa?
Apakah salah ahli akademik yang membentangkan kertas kerja?
Apakah salah pelancong yang mahu melawat Malaysia?
Apakah salah anak-anak kapal yang sedang bekerja?
Apakah salah mereka semua?
Mereka tidak tahu apa-apa
Mereka langsung tiada kena mengena
“Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang berpuasa; kedua, doa pemerintah adil; dan ketiga, doa orang dizalimi, di mana doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Andai benar #MH17 ditembak jatuh tanpa alasan yg kukuh, tanpa sebab yang munasabah, sesungguhnya kita telah dianiaya, maka di bulan Ramadan yang mulia, marilah kita sama-sama berdoa agar pihak yang bertanggungjawab menerima balasan dan hukuman setimpalnya.
Ya, teruskan berdoa rakyat Malaysia. Doa sentiasa menjadi senjata kita buat selama-lamanya!!
#RememberingMH17
#PrayforMH370
#PrayforGaza
-Halim-