Melbourne Bandar Istimewa

522625_216678461800730_1129644015_n

Cuti semester universiti baru-baru ini digunakan sebaiknya oleh penulis untuk menziarahi rakan-rakan yang sedang belajar di Melbourne, Australia. Melbourne merupakan bandaraya kedua terbesar di Australia dan merupakan ibu negeri Victoria. Di samping bertemu rakan-rakan yang sudah lama tidak bersua, penulis tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri keunikan bandaraya Melbourne yang sememangnya terkenal dengan budaya sukan. Malah bandaraya ini pernah menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik (bandaraya pertama di Australia yang menganjurkannya sebelum Sydney) dan Sukan Komanwel. Pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang suatu masa dahulu pernah menyuarakan pendapat beliau mengenai salah satu sebab beliau berminat untuk berlatih di Melbourne ialah tingginya budaya sukan di kota tersebut. Sepanjang pemerhatian penulis berada di Melbourne, penduduknya tidak kira masa berjogging dan berbasikal. Malah terdapat laluan berbasikal yang baik dan terancang di sekitar bandaraya ini. Di samping itu, kebetulan semasa penulis menjejakkan kaki di bumi Melbourne, kejohanan tenis Grand Slam Terbuka Australia sedang berlangsung. Maka penulis tidak melepaskan peluang untuk merasai kehangatan dan kemeriahan kejohanan tenis terkemuka dunia itu yang selama ini hanya disaksikan melalui kaca televisyen. Berlangsung di Rod Laver Arena, kejohanan tersebut disertai oleh kebanyakan pemain tenis terkemuka dunia. Malah menjadi kenangan manis kepada penulis apabila dapat menyaksikan sendiri pemain-pemain tenis terkemuka dunia seperti Rafael Nadal dan Novac Djokovic membuat latihan. Penulis juga amat kagum dengan sistem pengangkutan awam yang disediakan di bandaraya tersebut. Tidak keterlaluan jika penulis katakan anda tidak akan sesat sekiranya berada di bandaraya Melbourne. Sistem pengangkutan seperti tram, keretapi dan shuttle bus amat mudah didapati. Malah terdapat beberapa booth di bandaraya ini yang dibuka untuk memberi maklumat kepada para pelancong asing. Penulis turut bekesempatan menaiki tram yang disediakan percuma khususnya untuk pelancong menjelajahi bandaraya Melbourne. Hampir satu jam penulis dibawa mengelilingi bandaraya tersebut. Memandangkan kangaroo, beruang koala dan platipus merupakan trademark bagi Australia, penulis berkunjung ke Zoo Melbourne untuk melihat sendiri binatang-binatang tersebut. Walaupun bayaran masuk ke zoo tersebut agak tinggi, penulis berpuas hati melawat binatang tersebut. Para sukarelawan zoo juga turut memberi layanan yang baik sepanjang berada dalam zoo tersebut. Pelbagai muzium boleh didapati di Melbourne secara percuma atau dikenakan bayaran yang amat murah. Walaupun percuma, kemudahan dan bahan pameran yang disediakan untuk pengunjung amat tidak mengecewakan. Salah satu daripadanya ialah National Gallery of Victoria. Ia merupakan galeri lukisan yang tertua dan terbesar di Australia.

Tidak sah sekiranya berkunjung ke Melbourne jika tidak ke Great Ocean Road. Ditemani oleh seorang sahabat yang sedang melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti di Melbourne dan seorang lagi sahabat yang datang bersama dari Malaysia, kami bersepakat untuk menyewa kereta sendiri bagi tujuan pengembaraan di sepanjang Great Ocean Road. Makanan terlebih dahulu disediakan dari rumah bimbang kalau-kalau makanan halal sukar diperolehi. Kami bertolak awal pagi memandangkan kami mahu menghabiskan pengembaraan tersebut sehari suntuk tanpa perlu menginap di mana-mana tempat persinggahan. Menurut sahabat penulis di Melbourne, salah satu kebaikan menyewa kenderaan sendiri ialah kami bebas berhenti di mana-mana tempat yang difikirkan menarik di sepanjang Great Ocean Road. Sebelum sampai ke permulaan Great Ocean Road, kami melalui bandar Geelong yang merupakan salah satu bandar yang mempunyai populasi penduduk yang tinggi di negeri Victoria. Tidak seperti di bandaraya Melbourne yang dipenuhi oleh rakyat dari pelbagai negara terutamanya negara-negara asia, penduduk di bandar Geelong yang hampir kesemuanya merupakan penduduk tempatan. Selepas menyelusuri bandar Geelong, kami berhenti makan tengahari di Anglesea. Berhamparkan tikar, kami menikmati makan tengahari di tepi sebatang sungai. Dengan cuaca baik dan berangin, pemandangan yang menarik, ‘dikacau’ oleh burung-burung yang jinak, menjadikan suasana makan tengahari kami pada hari itu sesuatu yang istimewa. Kami meneruskan perjalanan hingga sampai ke pintu gerbang yang menunjukkan bermulanya Great Ocean Road. Great Ocean Road merupakan sebatang jalan di pesisiran pantai di selatan Australia. Ia menghubungkan Geelong dengan Warrnambool di negeri Victoria dan panjangnya 243km. Jalan ini dibangunkan antara tempoh Perang Dunia pertama dan kedua. Di permulaan Great Ocean Road, terdapat sebuah tugu peringatan bagi memperingati usaha mereka yang membangunkan Great Ocean Road. Sepanjang Great Ocean Road, penulis disajikan dengan pelbagai pemandangan yang indah dan menenangkan fikiran. Sesekali kami berhenti di tepi jalan untuk bergambar berlatarbelakangkan keindahan alam yang begitu mengagumkan. Antaranya ladang ternakan lembu dengan padang rumput yang subur dan menghijau. Jadi tidak hairanlah Australia terkenal dengan industri daging dan susu lembu yang berkualiti tinggi. Di Lorne terdapat kawasan yang dibangunkan untuk berkhemah. Kedai-kedai peralatan luncur air boleh didapati di sini memandangkan kegiatan luncur air amat terkenal di kawasan tersebut. Apollo Bay pula merupakan tempat persinggahan yang terkenal. Pengunjung yang mengambil pakej ke Great Ocean Road kebiasaannya akan bermalam di hotel-hotel yang terdapat di sini. Kami berhenti sebentar di Apollo Bay untuk berehat di samping menikmati kopi yang sememangnya terkenal di Melbourne, Victoria. Kami kemudiannya menyambung perjalanan di Great Ocean Road. Twelve Apostles merupakan kemuncak pengembaraan kami di Great Ocean Road. Keletihan kami terasa berbaloi menyaksikan keindahan Twelve Apostles. Twelve Apsotles merupakan batuan berbentuk tiang di pesisir Taman Negara Port Campbell yang terbentuk hasil daripada hakisan ombak. Walaupun diberi nama Twelve Apostles, apa yang tinggal bukanlah 12 tiang kerana beberapa tiang sudah runtuh. Sebenarnya terdapat dua cara menikmati keindahan Twelve Apostles di Taman Negara Port Campbell iaitu sama ada menaiki helikopter dan berjalan kaki. Disebabkan harga tiket menaiki helikopter yang agak mahal, kami akhirnya menggunakan laluan pejalan kaki yang disediakan bagi meninjau kawasan Twelve Apostles.

Tidak lengkap berkunjung ke Melbourne sekiranya tidak singgah ke Victoria Market untuk membeli cenderahati sebagai tanda kenangan sebelum pulang ke tanahair. Pelbagai cenderahati dijual dengan harga yang berpatutan di pasar ini. Antaranya patung kangaroo, fridge magnet,t’shirt dan banyak lagi. Di kesempatan ini, penulis ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada rakan-rakan yang kini sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah mereka di University of Melbourne dan RMIT University atas kesudian mereka menemani penulis meneroka bandaraya Melbourne dan kawasan-kawasan sekitarnya.

 

Dr. Abdul Halim Abdullah, UTM

Speak Your Mind

*