Memori Terindah di Kanazawa dan Tokyo, Jepun

12805779_745973445537893_7860084143136690054_n

Sempena penganjuran persidangan “IEEE 7th International Conference on Engineering Education (ICEED 2015)” yang diadakan di Hotel Kanazawa dan Kanazawa Technical College (KTC), Kanazawa, Jepun baru-baru ini, penulis mengambil peluang keemasan tersebut untuk menjejakkan kaki buat pertama kali ke negara matahari terbit itu. Persiapan rapi terhadap beberapa perkara dilakukan sebelum berangkat memandangkan penulis bakal pergi berseorangan. Antaranya aspek pengangkutan, perkhidmatan internet, makanan halal dan penginapan. Dalam aspek pengangkutan, seperti kita semua sedia maklum, Jepun merupakan antara negara yang memiliki sistem pengangkutan terbaik di dunia. Siapa yang tidak kenal dengan shinkansen (keretapi peluru) yang menjadi kebanggaan mereka. Atas nasihat seorang rakan yang pernah berkunjung ke sana, penulis menempah pas JR (Japan Rail Pass) yang sememangnya dikhaskan kepada pelawat dari luar negara. Pas ini hanya boleh dibeli di negara asal pengunjung dan tidak boleh dibeli di Jepun. Ianya sah untuk perjalanan dalam semua bentuk pengangkutan yang disediakan oleh kumpulan JR di negara Jepun. Selain memudahkan pergerakan pelancong dari satu tempat ke tempat lain, kos penggunaannya juga jauh lebih murah berbanding pembelian secara terus di kaunter JR. Bagaimanapun sebelum menaiki keretapi peluru, pengguna perlu peka dengan masa serta nombor platform gerabak keretapi serta tempat duduk. Penulis menggunakan pas JR ini seawal berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita untuk menuju ke Tokyo Station dengan menaiki Narita Ekspres (NeX) yang merupakan salah satu rangkaian JR. Perjalanan mengambil masa selama satu jam. Setibanya di Tokyo Station, penulis mula terasa kesibukan stesyen yang merupakan stesyen keretapi tersibuk di Jepun kerana ia merupakan tempat tumpuan penumpang yang menuju ke pelbagai destinasi di sekitar Tokyo. Penulis kemudiannya menaiki Hokuriku Shinkansen, menghubungkan Tokyo ke Kanazawa yang mengambil masa selama 2 jam 30 minit. Sepanjang perjalanan penulis disajikan dengan keindahan negara yang ketika ini sedang mengalami pertukaran musim luruh ke musim sejuk. Setibanya di Kanazawa yang juga merupakan ibu negeri wilayah Ishikawa, mercu tanda di stesyen Kanazawa yang dinamakan Tsuzumimon tersergam indah menyambut kehadiran pengunjung ke bandar Kanazawa. Menurut seorang rakan yang sedang mengikuti pengajian di Ishikawa Technical College, mercu tanda itu dibangunkan selepas kerajaan Jepun memanjangkan laluan keretapi peluru dari Toyama di Wilayah Toyama ke Kanazawa yang operasinya bermula pada 14 Mac 2015. Ianya sedikit sebanyak bertujuan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke ibu negeri Ishikawa tersebut.

Di hari pertama di Kanazawa, penulis tidak berkesempatan mengunjungi ke mana-mana tempat menarik di sana dek keletihan menempuh perjalanan yang panjang. Tambahan pula, hari mulai gelap menjelang jam lima petang waktu tempatan. Bagaimanapun, penulis berkesempatan mengunjungi kedai-kedai berhampiran tempat penginapan. Ketika ini, banyak kedai pakaian mula menjual pakaian panas berikutan musim sejuk yang bakal datang tidak lama lagi. Hari kedua di Kanazawa merupakan hari pertama persidangan ICEED2015 yang berlangsung di Hotel Kanazawa yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan penulis. Penulis meluangkan masa di sebelah petang dengan mengunjungi pasar Omi-cho yang sememangnya terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing. Setibanya di situ, penulis sungguh kagum dengan persekitarannya yang sememangnya berbeza dengan pasar basah yang kita semua sedia maklum. Lantainya yang kering dan bersih, serta tiada kedengaran hiruk pikuk sama ada dari penjual mahupun pembeli. Semua urusan jual beli berlaku dalam proses yang amat tenang. Kanazawa sememangnya terkenal dengan makanan laut. Jadi pelbagai makanan laut terutamanya ketam dengan saiz yang besar dijual di pasar tersebut.

Penulis kemudiannya berjalan kaki menuju ke Nomura-ke (rumah Samurai Nomura) dengan berpandukan aplikasi penunjuk arah yang dimuat naik di telefon pintar. Sengaja penulis memilih untuk berjalan kaki bagi lebih mengenali budaya masyarakat setempat di samping menikmati keunikan cara hidup penduduk Jepun khususnya di Kanazawa. Rumah Samurai Nomura memaparkan cara hidup dan artifak semasa era samurai dahulu. Ianya turut dihiasi dengan sebuah kebun yang cantik. Malah sebuah bilik minum teh turut dikhaskan untuk pengunjung yang ingin merasai sendiri cara hidup samurai satu ketika dahulu. Di sebelah malam pada hari pertama, penulis bersama peserta persidangan ICEED2015 menikmati makan malam di tingkat teratas di Hotel Kanazawa dengan berlatarbelakangkan pemandangan indah bandar Kanazawa pada waktu malam. Hari kedua persidangan belangsung di Kanazawa Technical College kerana hotel penuh berikutan penganjuran The 1st Kanazawa Marathon (Kanazawa Marathon 2015) yang berlangsung di sana. Ia merupakan satu lagi acara yang diadakan di sini bagi memperkenalkan Kanazawa sebagai satu lagi bandar di Jepun yang menarik untuk dikunjungi. Di sebelah petang, penulis menaiki bas untuk ke Myoryuji Temple atau lebih dikenali sebagai Ninjadera (Ninja Temple) yang terletak di daerah Teramachi, iaitu di bahagian selatan Kanazawa. Kuil ini sebenarnya tiada kaitan dengan ninja, tetapi ianya dinamakan ninja disebabkan ia mempunyai banyak bilik pertahanan yang mengelirukan musuh dan boleh memberi amaran kepada istana Kanazawa sekiranya berlaku serangan. Ianya dilengkapi dengan terowong tersembunyi, bilik rahsia, perangkap, serta koridor dan tangga. Dengan bayaran masuk sebanyak 800 yen, masa yang diambil untuk mendengar taklimat dalam bahasa Jepun (penulis diberikan buku penerangan dalam bahasa melayu) dan lawatan sekitar kuil adalah selama 40 minit. Sebelum pulang ke hotel, penulis berkesempatan ke daerah Nishi Chaya. Ia merupakan salah satu daripada tiga daerah Geisha di Kanazawa. Geisha merupakan penghibur wanita tradisional di Jepun yang mempersembahkan pelbagai jenis hiburan seni tradisional Jepun dan mereka bukanlah pelacur seperti yang disalahanggap oleh sesetengah orang. Di sepanjang jalan di daerah ini, penulis dapat lihat banyak dua tingkat rumah chaya kayu yang menarik di kiri dan kanan jalan.

Kata orang tidak sah kalau datang ke Jepun tetapi tidak ke Tokyo. Justeru, penulis mengambil keputusan untuk berkunjung ke Tokyo selama dua hari satu malam sebelum pulang ke Malaysia. Pada hari ketiga, penulis bertolak awal pagi dari Kanazawa ke Tokyo dengan menaiki shinkansen. Dari stesyen Tokyo, penulis ke Bakurocho, iaitu kawasan di mana hotel penulis terletak. Dari Bakurocho, penulis berjalan kaki ke Asakusabashi, satu daerah yang terkenal dengan pelbagai kedai barang-barang borong. Walaupun terdapat Asakusa Line yang boleh menghubungkan Asakusabashi ke Asasuka, penulis mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke Asakusa. Asakusa sememangnya sangat terkenal dalam kalangan pelancong asing dan tempatan. Tarikan utama Asakusa adalah Sensoji, kuil Buddha yang sangat popular, yang dibina pada abad ke-7. Sebelum sampai ke Kuil Sensoji, penulis memasuki pintu Kaminarimon yang dibina lebih daripada 1000 tahun yang lalu, yang merupakan simbol Asakusa. Penulis kemudiannya menyelusuri jalan membeli-belah Nakasime sepanjang 250 meter sebelum tiba di kuil tersebut. Penulis berkesempatan membeli pelbagai cenderamata untuk dibawa pulang ke Malaysia di jalan tersebut. Selepas penat membeli belah, penulis singgah berehat untuk mengisi perut di salah sebuah kedai makan halal yang terletak tidak jauh dari jalan Nakasime. Penulis kemudiannya menaiki JR Chuo/Sobu Line untuk ke Akihabara atau lebih dikenali sebagai Bandar Elektrik Akihabara. Disebabkan ketibaan penulis menjelang waktu malam, penulis disambut dengan pancaran cahaya yang terang benderang dari bangunan-bangunan di kawasan tersebut seolah-olah berada di pesta cahaya. Akihabara merupakan kawasan tumpuan membeli-belah untuk permainan video, anime, manga, dan barangan komputer. Beratus-ratus kedai-kedai elektronik, kamera, televisyen, telefon bimbit, alat elektronik dan peralatan rumah juga terdapat di sepanjang jalan di Akihabara.

Hari terakhir di kota metropolitan terbesar di dunia itu, penulis berkunjung ke Tokyo Skytree yang merupakan mercu tanda utama kota Tokyo. Berketinggian 634 meter, ia merupakan menara tertinggi di dunia dan struktur kedua tertinggi di dunia di belakang Burj Khalifa di Dubai. Perkarangan Menara Skytree, iaitu Skytree Town merupakan pusat membeli belah. Konsepnya seperti pusat membeli belah Suria di Menara Kembar Petronas. Ruang tinjau yang dinamakan Tembo Deck berada pada ketinggian 350 meter dan pengunjung perlu membayar sebanyak 2,060 yen (dewasa). Pengunjung perlu menaiki Tembo Shuttle, iaitu lif muatan 40 orang terpantas di Jepun yang membawa pengunjung ke atas dalam masa 50 saat. Penulis sungguh teruja menikmati pemandangan kota Tokyo yang sangat padat dari aras ini. Pengunjung turut diberi peluang untuk ke lantai 450 meter untuk menikmati “laluan angkasa” sepanjang 110 meter yang dinamakan Tembo Galleria. Bagaimanapun caj tambahan dikenakan untuk naik ke aras tersebut.

Sepanjang lima hari berada di Jepun, banyak perkara yang dipelajari penulis tentang rakyat negara tersebut. Mereka memiliki sifat suka menolong yang kuat. Walaupun tidak fasih berbahasa inggeris, mereka akan sedaya upaya membantu kita terutamanya pelancong asing. Penulis teringat semasa di Kanazawa, ketika ingin menuju ke pasar Omi-cho, penulis bertanyakan jalan kepada dua orang penduduk tempatan yang sedang berjalan. Mereka bersungguh-sungguh membantu menunjuk arah sehingga sanggup mengekori penulis hingga sampai ke destinasi sebelum mereka berpatah balik menuju ke tempat tuju mereka. Sikap beratur sebelum menaiki kenderaan sama ada bas atau keretapi juga amat mengkagumkan penulis. Beberapa kali juga penulis terlihat anak-anak muda yang mempelawa tempat duduk mereka kepada orang tua yang berdiri dalam bas dan keretapi. Rakyat Jepun amat menjaga kebersihan. Amat jarang penulis melihat tong-tong sampah di kawasan bandar. Rakyat Jepun juga amat bangga dengan entiti negara mereka. Lihat sahaja papan tanda, arahan dan sebagainya, semuanya dalam bahasa ibunda mereka. Bukan untuk mengagung-agungkan mereka, tetapi penulis dapat merasai sendiri pengalaman tersebut dan melihat dengan mata sendiri. Penulis berharap dapat berkunjung ke kota-kota lain di Jepun pada masa akan datang.

Halim Japan

Speak Your Mind

*