Meneroka Keindahan Bumi Seoul

Menerima perkhabaran gembira sebagai salah seorang pemenang anugerah di Korea Inventor Award Festival (KIAF) 2016 di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini menjadi batu loncatan kepada penulis untuk menjejakkan kaki buat pertama kali di negara yang terkenal dengan K-Pop tersebut. Tanpa berfikir panjang, penulis mula menempah tiket penerbangan ke Seoul dari Kuala Lumpur, dan mengambil keputusan untuk berlepas balik ke tanahair dari Busan. Penulis membuat beberapa persiapan awal memandangkan penulis bakal ke sana berseorangan. Catatan travelog di internet dan buku-buku berbentuk travelog dibaca bagi mendapatkan maklumat dan gambaran awal mengenai tempat-tempat yang wajib dilawati apabila berada di kedua-dua bandaraya tersebut. Tentatif perjalanan mula dirancang. Malah penulis turut menghubungi Korea Tourism Organisastion di Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklumat tambahan. Penulis berkesempatan menyertai satu soal selidik yang disediakan oleh organisasi tersebut untuk mendapatkan kad T-Money, peta laluan keretapi bawah tanah (subway) bandaraya Seoul dan pamplet tempat-tempat menarik serta daerah-daerah yang terdapat di Korea Selatan. Kad T-Money berfungsi seperti kad Touch N Go yang digunakan di Malaysia. Ia digunakan untuk memudahkan pengguna menggunakan pengangkutan awam di Seoul dan bandar-bandar utama di Korea. Ini termasuklah bas, subway dan teksi. Menariknya, dengan kad T-Money, pengguna pengangkutan awam tersebut dikenakan bayaran yang lebih murah berbanding harga tiket yang dibeli di kaunter. Berdasarkan pembacaan, penulis turut menempah hotel penginapan yang berdekatan dengan stesen-stesen subway bagi memudahkan pergerakan penulis. Penulis sengaja menempah penerbangan malam dari Kuala Lumpur untuk tiba di bumi Korea pada waktu siang. Tambahan pula, penulis dapat menjelajah tempat-tempat menarik di Seoul seawal hari pertama selepas menyimpan beg di hotel. Tibalah hari yang dinanti-nantikan. Segala pengetahuan dan maklumat bakal diterjemahkan kepada praktikal. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, penulis berasa kagum dengan kebersihan lapangan terbang tersebut. Tidak hairanlah mengapa lapangan terbang tersebut diiktiraf sebagai antara lapangan terbang terbaik di dunia. Malah terdapat panggung wayang di lapangan terbang ini. Selepas mengambil bagasi, penulis terus menuju ke salah sebuah kaunter untuk mengambil poket WIFI yang telah disewa dan ditempah dari Malaysia. Berdasarkan pengalaman penulis yang berkunjung ke Tokyo pada penghujung tahun 2015, poket WIFI yang boleh dibawa ke mana-mana ini sangat membantu penulis berkenaan aspek navigasi ke tempat-tempat menarik. Tambahan pula, aplikasi yang dimuat turun ke telefon pintar memerlukan internet untuk berfungsi. Penulis kemudian ke aras bawah lapangan terbang untuk ke stesen subway bagi menaiki keretapi menuju ke tempat penginapan. Kad T-Money yang dibawa dari tanahair kemudian diisi dengan nilai yang mencukupi menggunakan mesin yang disediakan. Tidak susah untuk menggunakan mesin tersebut berikutan pilihan arahan dalam bahasa inggeris yang disediakan. Memandangkan penulis tiba awal di hotel, bagasi yang dibawa ditinggalkan di hotel sebelum penulis menuju ke destinasi yang pertama iaitu tidak lain dan tidak bukan, Namdaemun Market. Namdaemun Market ini merupakan pasar yang terkenal dengan jualan cenderamata bukan sahaja kepada pelancong asing malah penduduk tempatan. Penulis hampir sesat mengelilingi pasar tersebut dek kesesakan pengunjung di kedai-kedai yang terdapat di pelbagai jalan dan simpang. Penulis mengambil kesempatan membeli keychain, fridge magnet dan poskad sebagai tanda kenangan apabila pulang ke tanahair nanti. Destinasi seterusnya ialah Lotte World Tower. Menara ini merupakan bangunan yang tertinggi di Korea Selatan. Tujuan utama penulis ke sini adalah untuk berkunjung ke cafe Hard Rock yang menjadi tempat wajib yang penulis kunjungi apabila berada di luar negara. Cafe tersebut terletak di Plaza Lotte World iaitu pusat membeli belah yang serba moden. Lotte merupakan syarikat perniagaan multinasional yang kelapan terbesar di Korea Selatan dan beribu pejabat di Korea Selatan dan Jepun. Syarikat ini menguruskan pelbagai industri pembuatan gula-gula, minuman, hotel, makanan segera, peruncitan, perkhidmatan kewangan, bahan kimia, elektronik, IT, pembinaan, penerbitan dan hiburan. Justeru tidak hairanlah kalau kita ke Korea Selatan, hotel, restoran makanan segera dan pusat membeli belah Lotte mudah didapati di mana-mana. Penulis turut membeli beberapa alat kosmetik di Face Shop yang ditempah oleh sahabat-sahabat kaum hawa di Malaysia di plaza tersebut. Menurut mereka, harga yang ditawarkan di Korea Selatan jauh lebih murah berbanding harga di Malaysia untuk produk yang sama. Rakyat Korea Selatan amat mementingkan penampilan. Justeru tidak hairanlah mengapa Korea terkenal sebagai salah sebuah negara pengeksport utama barangan kosmetik di dunia. Penulis kemudiannya pulang ke hotel.

Selepas mengharungi hari pertama di Kota Seoul, pada pandangan penulis, untuk memudahkan pergerakan kita di kota metropolitan Seoul menggunakan keretapi bawah tanah, kita perlu membuat sedikit ulangkaji mengenai destinasi yang mahu kita tujui. Kita perlu tahu bagaimana tempat-tempat tersebut boleh diakses menggunakan subway dan apakah stesen subway yang paling dekat dengan tempat tersebut. Kemudian di kita perlu tahu apakah nombor jalan keluar dari stesen untuk menghubungkan stesen tersebut dengan tempat yang ingin kita kunjungi. Contohnya untuk ke Plaza Lotte, pintu keluar ke sana dari stesen subway Jamsil ialah pintu 4. Biasanya terdapat papan tanda yang menunjukkan nombor pintu keluar ke tempat-tempat yang terkenal dan selalu dikunjungi oleh pelancong, dan kita harus peka dengan pintu-pintu keluar tersebut. Terdapat 9 laluan dalam sistem subway di Seoul dengan jumlah jarak 331.5 km menghubungkan sebanyak 311 buah stesen menjadikannya sistem laluan keretapi bawah tanah keempat paling banyak stesen di dunia selepas New York, Shang Hai dan Beijing. Hari kedua di ibu negara Seoul dimulakan dengan melawat istana yang terkenal di sana iaitu istana Gyeongbokgung. Di Seoul terdapat banyak istana yang dipelihara bagi menarik kedatangan pelancong. Bagaimanapun, Istana Gyeongbokgung merupakan istana terbesar dan paling kerap dikunjungi berbanding istana-istana yang lain. Istana ini telah dibina pada tahun 1395 oleh Dinasti Joseon. Nama Gyeongbokgung membawa maksud dinasti baru akan sangat diberkati dan makmur. Hampir dua jam penulis meluangkan masa berjalan kaki mengelilingi kawasan istana yang berkeluasan 410,000 meter persegi. Istana Gyeongbokgung turut menempatkan Muzium Kebangsaan Istana Korea, namun disebabkan kekangan masa, penulis tidak berkesempatan memasuki muzium tersebut. Kemudian penulis menaiki Line 6 untuk ke Stadium Piala Dunia Seoul. Stadium ini amat mudah dituju menggunakan Line tersebut kerana apabila keluar sahaja dari pintu stesen subway tersebut, terdapat eskalator untuk ke stadium berkenaan. Pada hari tersebut, stadium berkenaan dipenuhi oleh rakyat jelata yang barangkali mahu menyaksikan perlawanan bola sepak pasukan tempatan iaitu Seoul Football Club yang beraksi di stadium itu. Walaupun Korea Selatan telah lama menganjurkan Piala Dunia iaitu pada tahun 2002, penulis mengambil kesempatan untuk melihat sendiri stadium yang pernah mencatat sejarah tersebut. Selain berfungsi sebagai tempat sukan bola sepak dan acara sukan lain dilangsungkan, ruang legar stadium semasa hari tersebut menjadi tempat program-program kesukanan lain dijalankan. Malah penulis juga kagum apabila aras bawah stadium menempatkan sebuah pusat membeli belah dan terdapat panggung wayang di situ. Jadi tidak hairanlah stadium tersebut sentiasa dibanjiri oleh pengunjung.

Setelah hampir satu jam meluangkan masa di situ, penulis menuju ke Itaewon bagi menunaikan solat jamak Zuhur dan Asar. Itaewon merupakan sebuah daerah yang menempatkan masjid yang terbesar di Korea Selatan iaitu Seoul Central Mosque. Pengunjung dinasihatkan untuk membuat sedikit pengetahuan untuk menuju ke masjid tersebut. Ini kerana berdasarkan pengalaman penulis, terdapat beberapa simpang yang sedikit mengelirukan. Tambahan pula, tiada papan tanda untuk menuju ke situ. Penulis berkesempatan menemui rakyat Malaysia yang kebetulan mahu menunaikan solat di situ. Masjid Itaewon ini sememangnya menjadi destinasi wajib bagi pengunjung beragama islam khususnya dari Malaysia. Di samping menunaikan solat di masjid tersebut, restoran-restoran dan kedai-kedai runcit makanan halal amat mudah didapati di situ. Memandangkan perut yang sudah kelaparan, penulis mencuba nasi dan ayam tandoori di salah sebuah restoran di situ. Setelah kekenyangan, penulis meneruskan perjalanan ke Seoul Tower. Menara ini menjadi ikon simbolik bandaraya Seoul. Percaya atau tidak, dari Stesen Myeong-dong, penulis berjalan kaki menuju ke puncak bukit di mana terletaknya menara tersebut. Kita boleh melihat panorama bandaraya Seoul apabila berada di atas bukit tersebut. Bagaimanapun, disebabkan Seoul kini sedang berada di permulaan musim sejuk, pemandangannya tidak begitu menarik dan kelam. Justeru penulis mengambil keputusan untuk hanya berada di kawasan perkarangan menara dan tidak membeli tiket untuk naik ke ruang meninjau di atas menara tersebut. Akibat keletihan mendaki bukit yang jaraknya hampir 1.5 km, penulis menaiki bas awam untuk turun dari bukit tersebut. Bas menurunkan penulis di stesyen Myeong-dong sebelum penulis menaiki subway Line 4, 6 dan 5 untuk balik ke hotel penginapan. Selepas menunaikan solat maghrib dan isyak, penulis sempat menaiki subway Line 5 untuk ke Yeouinaru yang terletak berhampiran hotel penginapan penulis. Di Yeouinaru, penulis menikmati keindahan kota Seoul pada waktu malam di tebing sungai Han yang merupakan antara sungai terpenting di Seoul. Penulis memulakan hari ketiga dengan bersiar-siar di Yeouido Park; sebuah taman yang terletak di tengah-tengah kotaraya Seoul. Memandangkan ketika ini Seoul sedang mengalami musim sejuk, tidak ramai penduduk tempatan yang beriadah di situ. Pokok-pokok bunga juga mulai kering dan daun-daun sudah bertaburan. Taman ini dikatakan terkenal dengan penduduk tempatan yang menunggang basikal dan skateboard di situ. Penulis amat kagum dengan kebersihan dan keindahan taman tersebut yang dijaga rapi oleh kerajaan tempatan. Terdapat kolam, wakaf dan landskap yang memukau. Di situ penulis berkesempatan merasai odeng iaitu kepingan fish cake yang direndam dalam sup kosong yang sedap dinikmati ketika musim sejuk. Usai bersiar-siar di Taman Yeouido, penulis bergerak menuju ke Hongik University. Penulis sebenarnya bukanlah penggemar drama Korea. Satu-satunya drama Korea yang berjaya ditonton penulis hingga ke episode terakhir ialah The 1st Coffee Prince lakonan aktor Gong Yoo dan aktres Yoon Eun-hye mengenai sepasang kekasih yang membuka kedai kopi. Disebabkan minat yang mendalam terhadap kopi dan drama berkenaan, penulis mengambil kesempatan ke kawasan Hongik University untuk mencuba kopi di kedai kopi yang menjadi lokasi penggambaran drama tersebut. Berdasarkan pembacaan penulis, kedai tersebut dikatakan masih beroperasi. Bagaimanapun, penulis agak kecewa kerana setibanya di situ, kedai tersebut sudah ditutup tetapi bangunan kedai tersebut dipelihara sebagai kawasan tarikan pelancong. Seoul sememangnya terkenal dengan kedai-kedai kopi yang mudah didapati di mana-mana. Malah kedai kopi francais terkenal Starbucks boleh didapati di mana-mana. Seoul dikatakan mempunyai bilangan kedai kopi tersebut paling tinggi berbanding dengan kotaraya-kotaraya lain du dunia. Selain jenama antarabangsa seperti Coffee Beans, Angel-in-us dan Starbuck, kedai kopi jenama tempatan turut memenuhi lot-lot bangunan di sekitar Seoul. Penulis kemudian menuju ke stesen Myeong-dong untuk berjalan kaki ke stesen kereta kabel Namsan. Dari situ penulis menaiki kereta kabel untuk ke Bukit Namsan. Hanya satu kereta kabel yang bergerak pada satu-satu masa untuk menuju ke Bukit tersebut dan bergerak turun. Pengunjung disajikan dengan panorama kotaraya metropolitan Seoul sepanjang berada dalam menaiki kereta kabel dalam perjalanan naik dan turun. Sebelum pulang ke hotel untuk bersiap sedia untuk majlis anugerah di Korea Inventor Award Festival, penulis sempat ke Myeong-dong. Kawasan ini merupakan syurga membeli belah barangan kosmetik. Selain kosmetik, butik-butik fesyen tempatan dan antarabangsa, kasut, aksesori telefon dan kedai-kedai makanan juga boleh didapati di sepanjang kawasan ini. Myeong-dong dikatakan tersenarai sebagai jalan membeli-belah kesembilan paling mahal di dunia. Oleh kerana Myeong-dong merupakan salah satu destinasi utama yang wajib dikunjungi pengunjung, ia menjadi salah satu tempat berhentinya bas Seoul City yang menjadi pengangkutan rasmi membawa pelancong mengelilingi kotaraya Seoul. Disebabkan deretan kedai di kawasan ini sesak dengan pengunjung, penulis hanya sempat singgah di beberapa kedai dan membeli sedikit barangan seperti facial mask dan krim pembersih muka. Penulis kemudiannya menuju ke hotel penginapan untuk bersiap menghadiri majlis Korea Invention Award Festival (KIAF) 2016.

Speak Your Mind

*