Meneroka Kota Jakarta

jakarta2

Promosi tambang murah yang diadakan oleh syarikat penerbangan Air Asia tidak dilepaskan begitu sahaja oleh penulis. Hajat untuk menjejakkan kaki di kota Jakarta akhirnya tertunai jua. Ditemani oleh seorang sahabat, kembara pertama kali kami ke kota Jakarta pastinya mengundang sedikit cabaran kerana kami berpakat untuk meneroka sendiri kota Jakarta yang sememangnya terkenal sebagai salah satu kotaraya yang paling sesak di dunia. Sebelum bertolak, beberapa perkara telah kami sediakan agar ’penerokaan’ kami di kota Jakarta nanti berjalan dengan lancar. Ini termasuklah menempah hotel dari Malaysia, mencari maklumat mengenai pengangkutan dan tidak dilupakan membeli peta yang diharapkan dapat memandu kami di sana nanti. Kami berlepas menaiki pesawat Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail Senai ke Jakarta. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam. Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta Jakarta agak lengang berikutan ketibaan kami pada waktu tengah malam. Setelah bagasi diambil, kami mula menunggu teksi di pintu masuk balai ketibaan lapangan terbang. Barangkali mengenali kami orang Malaysia, ulat-ulat teksi mula menyapa kami. Pujukan mereka yang tidak henti-henti dan silih berganti membuatkan kami berasa tidak selesa. Namun sapaan mereka kami tolak secara baik. Dan akhirnya kami tekad untuk menggunakan teksi berdaftar lapangan terbang. Perjalanan kami dari lapangan terbang ke hotel yang telah kami tempah sejak berada di Malaysia mengambil masa lebih kurang 1 jam. Sepanjang perjalanan, mata kami seakan-akan tidak berkelip melihat kepesatan dan kesesakan Jakarta yang memiliki lebih kurang 9.5 juta penduduk. Jakarta yang merupakan kotaraya yang terbesar di Indonesia juga merupakan kotaraya yang terbesar di Asia Tenggara dan yang ke-12 terbesar di dunia.
Cabaran berada di kota Jakarta sudah terasa seawal pada hari pertama kami menjejakkan kaki di kota tersebut apabila hotel yang ditempah telah diarahkan ditutup dan disita pada kesiangan hari. Ketika kami sampai, kelihatan pihak polis dan para pekerja (atau karyawan di dalam bahasa Indonesia) sedang mengawasi kawasan hotel berkenaan. Oleh kerana hari semakin gelap, kami akhirnya menyewa sebuah hotel murah yang berdekatan. Hari kedua kami di sana dimulakan dengan mendaftar masuk di hotel bertaraf 3 bintang di tengah-tengah kota Jakarta. Kami pasrah dengan kejadian yang berlaku pada hari pertama dan sebaliknya kami semakin bersemangat untuk memulakan pengembaraan di kota Jakarta. Selain berjalan kaki dan merujuk peta, kami juga menggunakan sistem pengangkutan bas TransJakarta. Sistem bas TransJakarta seakan-akan menyerupai sistem LRT atau monorel di Malaysia. Ini berikutan adanya sistem pembelian tiket di kaunter, stesen-stesen menurunkan dan mengambil penumpang dan laluan-laluan khas. Dengan berpandukan peta, akhirnya kami tiba di Monas. Monumen Nasional atau singkatannya Monas ini merupakan monumen peringatan yang dibangunkan untuk mengenang perjuangan rakyat Indonesia memperolehi kemerdekaan daripada penjajah iaitu kolonial Hindia Belanda. Monumen peringatan setinggi 132 meter itu telah dibangunkan pada tahun 1961 dan dibuka kepada umum pada tahun 1975.

Sepanjang berada di sana, makanan pastinya tidak menjadi masalah utama. Kedai-kedai makanan boleh didapati di mana-mana termasuklah di kaki lima bangunan bangunan. Walaubagaimanapun kebersihan kedai tetapi menjadi keutamaan kami. Jadi kami menikmati makanan di restoran masakan padang. Masakan padang merupakan nama segala jenis masakan yang berasal dari kawasan Minangkabau yang merupakan wilayah Sumatera Barat di Indonesia. Antara makanan yang disajikan termasuklah ayam kampung goreng, rendang daging, kari ayam dan bermacam lagi. Berada di kota Jakarta tidak lengkap sekiranya tidak berkunjung ke Masjid Istiqlal yang merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara. Masjid ini boleh menampung lebih daripada 100,000 jemaah pada satu masa. Masjid ini juga menjadi simbol kepada negara islam Indonesia yang merupakan negara yang memiliki bilangan penduduk beragama islam tertinggi di dunia. Masjid yang siap dibina pada tahun 1961 ini menjadi monumen penting dan simbol kemerdekaan bagi masyarakat Indonesia. Oleh kerana itu ia dinamakan Istiqlal yang membawa maksud merdeka.

Hari kedua berada di Jakarta, kami meluangkan masa di Ancol. Oleh kerana kedudukan Ancol yang agak jauh dari hotel penginapan kami di tengah-tengah kota Jakarta, selain berjalan kaki dan menaiki bas TransJakarta, kami menggunakan sistem pengangkutan lain yang terdapat di kota tersebut. Antaranya ialah bajaj. Kami pernah mendengar nama kenderaan tersebut sebelum berlepas ke Indonesia oleh rakan-rakan lain yang pernah mengunjungi Indonesia sebelum ini dan akhirnya kami dapat merasai sendiri menaiki kenderaan tersebut. Bajaj di Jakarta serupa dengan tuk-tuk di Thailand. Ia merupakan skuter berwarna oren yang diubahsuai menjadi kenderaan beroda tiga dan membawa penumpang dalam kabin kecil yang terletak di bahagian belakang. Bajaj adalah pengangkutan paling cepat dan menjadi pilihan orang ramai walaupun ianya perlahan. Ini adalah kerana keunikannya dan kebolehannya untuk mencelah-celah antara kenderaan seperti motosikal dalam kesesakan jalan raya Jakarta. Selain bajaj, kami juga berkesempatan menaiki ojek motor atau motosikal sewaan yang digunakan untuk menghantar penumpang ke destinasi yang mahu ditujui. Akhirnya kami tiba di Taman Impian Jaya Ancol. Taman Impian Jaya Ancol yang dibuka pada tahun 1966 ini merangkumi padang golf, taman-taman tema, hotel dan kemudahan-kemudahan rekreasi. Kami mengambil kesempatan untuk menaiki kereta kabel yang bergerak di sepanjang Teluk Ancol. Sebelum pulang ke hotel, kami sempat berkunjung ke Whole Trade Center Mangga Dua. WTC Mangga Dua merupakan salah satu pusat perdagangan terbesar di Jakarta Utara. Ia menyediakan pelbagai keperluan keluarga seperti fesyen, dan kasut di samping pilihan kedai makanan yang banyak.

Hari ketiga di Jakarta, kami hanya berjalan-jalan di sekitar kota Jakarta. Antara tempat yang telah kami kunjungi termasuklah Muzium Indonesia dan Tanah Abang. Pusat membeli belah Tanah Abang merupakan pusat menjual pakaian yang terbesar di Indonesia. Malah ramai yang berpendapat ia juga merupakan pusat menjual pakaian yang terbesar di Asia Tenggara. Kami sempat membeli cenderamata untuk dibawa pulang ke tanahair. Di sebelah petang kami berkesempatan membeli-belah di pusat membeli belah Plaza Indonesia dan Senayan City. Manakala di sebelah malam, kami berpeluang merasai sendiri menonton wayang di salah sebuah pawagam yang terdapat di Jakarta. Kami pulang ke Johor Bahru pada keesokan harinya. Sesungguhnya pengalaman mengembara sendiri kotaraya Jakarta meninggalkan kenangan manis kepada kami. Walaupun terdapat kisah duka pada hari pertama menjejakkan kaki di Jakarta, penerokaan kami di kota metropolitan ini berjalan dengan lancar untuk hari-hari berikutnya sehinggalah kami kembali ke tanahair.

Dr. Abdul Halim Abdullah, UTM

Speak Your Mind

*