Mengutip Ilmu di Guangzhou, Shenzen

581115_123485031120074_1450689637_n

*Artikel ini disiarkan di bahagian “KEMBARA” Berita Minggu pada 14 Mac 2010 (Ahad)

Buat kali pertama dalam hidup, penulis berpeluang melawat China apabila menyertai rombongan 40 pensyarah dan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke negara itu. Lawatan itu sempena Program Global Outreach UTM untuk menggalakkan pembabitan mahasiswa dalam bidang akademik dan aktiviti pembelajaran secara global, sekali gus memberi pengalaman dan pengetahuan baru kepada mereka. Kembara seminggu ke Guangzhou dan Shenzen padat dengan lawatan sambil belajar ke tempat menarik di dua kota berkenaan, termasuk ke sebuah universiti tersohor di Guangzhou yang juga ibu negeri Guangdong. Hairan juga kerana tiada langsung kelihatan motosikal di sekitar bandar itu sebelum dimaklumkan penduduk Guangzhou tidak dibenarkan menggunakan kenderaan itu di kawasan bandar untuk mengurangkan pencemaran serta mengelak jenayah ragut. Bandar ini juga dikenali sebagai kota kambing sempena legenda lima dewa yang menunggang haiwan itu datang membantu rakyat yang dilanda bencana satu masa dulu dan kononnya haiwan itu terus ditinggalkan di situ untuk melindungi rakyat dalam kesusahan. Tidak hairanlah setiap kali menikmati juadah tengahari atau malam di restoran Islam sekitar Guangzhou, kami pasti dihidangkan daging kambing. Untuk makluman, Guangzhou juga bakal menjadi tuan rumah temasya Sukan Asia 2010 dan sudah pasti maskot yang dipilih adalah jelas- tidak lain tidak bukan kambing!

Hari pertama di kota ini, kami dibawa melawat Tugu Peringatan Dr Sun Yat Sen, dulunya tapak pemerintahan Dinasti Ching yang menempatkan pejabat presiden, Dr Sun Yat Sen yang memerintah China pada 1921 dan meninggal dunia pada 1925. Bangunan itu pernah musnah dalam rampasan kuasa pada 1922, tetapi penduduk mengutip sumbangan membaik pulihnya sehingga siap pada 1931, tetapi sekali lagi musnah angkara tentera Jepun pada 1945 dalam Perang Dunia Kedua. Dewan Peringatan Dr. Sun Yat Sen juga ada di sini, berbentuk oktagon atau segi lapan dengan patung pemimpin itu didirikan di hadapan tugu peringatan. Kami kemudian ke taman terbesar di Guangzhou, Taman Yue Xiu yang merangkumi Gunung Yue Xiu dan beberapa gunung lebih kecil selain turut dikelilingi lima tasik buatan manusia. Tangga disediakan untuk ke puncak bukit yang menempatkan beberapa patung kambing sebagai mercu tanda taman. Disebabkan musim sejuk ketika itu, penulis tidak penat ketika mendaki. Pada sebelah petang, kami ke Masjid Huaisheng atau dikenali juga Masjid Pagoda yang dibina pada awal zaman Dinasti Tang dan antara empat masjid paling awal dibina di China selepas Islam disebar ke negara ini.

Aktiviti waktu malam pula diisi dengan kunjungan ke pusat beli-belah di Beijing Road. Baju sejuk dijual di setiap kedai dan bagi golongan hawa pasti tidak ketinggalan membeli beg tangan. Penulis sempat membeli permainan kanak-kanak kerana bakal menimang anak buah sulung tidak lama lagi. Mulanya ingin membeli baju buat si kecil, tetapi tidak menemui kedai menjualnya, mungkin ada kaitan dengan dasar China yang tidak membenarkan rakyatnya memiliki lebih seorang anak.

Hari kedua di Guangzhou, kami melawat antara universiti tersohor di kota ini, South China Normal University dan mengunjungi Kolej Kebudayaan Antarabangsanya, Fakulti Pendidikan dan Pusat Pendidikan Berterusan. Kunjungan diisi pelbagai aktiviti, antaranya perbincangan antara pelajar dan pensyarah dari kedua-dua universiti mengenai peluang melanjutkan pelajaran dan program yang ditawarkan. Pada sebelah malam, kami ke Wanling Shopping Mall sebelum bertolak ke Shenzen keesokannya tetapi sempat juga melawat Muzium Xiguan yang mempamerkan reka bentuk rumah dan pakaian bangsawan China dulu kala.

Perjalanan ke Shenzen mengambil masa lebih kurang dua jam. Penulis kagum dengan kepesatan bandar ini yang sememangnya antara paling pesat membangun di dunia, dipenuhi bangunan pencakar langit moden dan sistem jalan raya terancang. Hari pertama di kota ini, kami dibawa ke kilang jed dan sutera. Penulis sempat membeli loket jed untuk emak dan adik perempuan, manakala pada sebelah petang, Taman Splendid China menjadi destinasi kami. Kereta api digunakan mengelilingi taman ini bagi menyaksikan replika bangunan dan monumen bersejarah di China, termasuk Tembok Besar China serta Kota Larangan atau The Forbidden City, menyaksikan pertunjukan kuda dan tarian. Kami juga ke pusat beli-belah Dongmen Walking Street yang terkenal di sini dan esoknya ke Lotus Mountain Park yang menempatkan patung Deng Xiao Ping, pemimpin terkenal China serta ke Coastal Ecological Park untuk melihat Hong Kong dari jauh sebelum pulang ke tanah air.

Speak Your Mind

*