Menikmati Keindahan Kota Pelabuhan Busan

Penulis sengaja mengambil KTX dari Seoul untuk ke Busan. Berdasarkan pembacaan, sebenarnya terdapat beberapa cara untuk ke Busan. Pertamanya, melalui pengangkutan udara menggunakan syarikat penerbangan domestik seperti Air Busan, Asiana Airline dan sebagainya. Pilihan kedua ialah dengan menaiki bas ekspres yang mengambil masa selama 4 jam. Dan pilihan ketiga ialah dengan menaiki keretapi iaitu sama ada menggunakan KTX atau Mugunghwa. KTX (Gyeongbu Line) yang dinaiki penulis merupakan keretapi laju. Ia bergerak dari Seoul dan berhenti di stesen Gwangmyeong, Cheonan, Daejeon, East Daegu, Milyang dan Gupo sebelum sampai ke stesen Busan. Perjalanan mengambil masa dalam dua jam setengah, berbanding Mugunghwa yang berhenti di banyak stesen dan mengambil masa selama lima jam setengah untuk tiba di Busan. Disebabkan risiko untuk kehabisan tiket KTX sekiranya dibeli di kaunter amat tinggi, penulis awal-awal lagi telah membuat tempahan secara atas talian di Malaysia. Borang pengesahan tempahan dicetak dan ditukar kepada tiket di kaunter setibanya di Stesen Seoul. Beberapa maklumat penting yang tertera pada tiket KTX perlu difahami supaya kita tidak tersesat dan seterusnya ketinggalan keretapi. Bagaimanapun pekerja-pekerja yang berada di situ sangat membantu meskipun menghadapi kesukaran berbahasa inggeris. Penulis tiba di Busan lebih kurang pada pukul 12.30 tengahari setelah bergerak dari stesen Seoul pada pukul 10.00 pagi. Busan merupakan bandar kedua terbesar di Korea Selatan selepas Seoul dan terletak di kawasan paling hujung tenggara semenanjung Korea. Kota Metropolitan Busan, yang juga dikenali sebagai Pusan merupakan kota pelabuhan dengan jumlah populasi penduduk sekitar 3.6 juta penduduk. Busan pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia pada tahun 2002 dan juga sebagai salah satu tuan rumah untuk Piala Dunia pada tahun yang sama. Setibanya di stesen Busan, penulis menuju ke stesen subway yang terletak sedikit keluar dari stesen Busan. Sepertimana di Seoul, penulis hanya meletakkan bagasi di hotel berikutan setibanya penulis di situ, jam belum menunjukkan pukul dua. Rakyat Korea Selatan sememangnya terkenal dengan sikapnya yang menepati waktu. Penulis mula menuju ke stesen subway yang terletak berhampiran hotel untuk ke destinasi yang pertama iaitu Pantai Haeundae yang merupakan kawasan pantai terbesar dan antara yang tercantik di Korea Selatan. Kawasan ini amat terkenal dalam kalangan rakyat Korea Selatan dan dikatakan pada musim panas, hampir separuh rakyat Korea akan pergi ke Busan untuk bermandi manda di pantai-pantai yang terdapat di situ. Tujuan utama penulis ke pantai tersebut ialah untuk ke café Hard Rock yang sememangnya menjadi destinasi wajib penulis apabila berkunjung ke luar negara. Setibanya penulis di stesen Haeundae dengan berpandukan aplikasi penunjuk arah yang dimuatturun di telefon pintar dan dengan bantuan internet menggunakan poket WIFI yang disewa, penulis berjalan kaki dalam 800 meter sebelum tiba di café tersebut. Setelah membeli t-shirt, penulis menuju ke kawasan pantai yang terletak tidak jauh dari café tersebut. Disebabkan ketika ini Korea Selatan sedang mengalami permulaan musim sejuk, tidak ramai pengunjung yang berada di kawasan pantai. Sambil minum kopi panas, penulis berjalan menikmati keindahan pantai tersebut.

Hampir setengah jam berada di pantai berkenaan, penulis kemudiannya menuju ke Akuarium Busan yang juga terletak di kawasan berkenaan. Akuarium Busan yang juga dikenali sebagai Sea Life Busan Aquarium merupakan akuarium terbesar di Korea Selatan. Ia menempatkan kira-kira 250 spesies dan hampir 35,000 haiwan marin untuk dipamerkan kepada pengunjung. Penulis amat kagum dengan keindahan dan kecanggihan akuarium tersebut yang sememangnya berada dalam kelas tersendiri. Antara pameran haiwan marin yang menarik perhatian penulis ialah penguin yang mana itulah kali pertama penulis melihat dengan mata sendiri, memerang, ikan piranha dan banyak lagi. Setelah hampir satu jam berada di akuarium bawah tanah tersebut, penulis bergerak balik menuju ke stesen subway. Dalam perjalanan tersebut, sempat juga penulis singgah di pasar Haeundae untuk meneroka keunikan yang terdapat di pasar tersebut. Sesuai dengan kedudukan Busan sebagai kota pelabuhan, hasil tangkapan laut segar seperti ketam, udang, ikan dan sebagainya dijual di pasar-pasar tersebut. Malah yang menjadi perhatian penulis ialah hampir setiap kedai menjual belut segar yang masih hidup di akuarium. Tidak hairanlah mengapa kedai-kedai makanan sushi pasti menjadikan belut sebagai salah satu hidangan pada sushi tersebut. Jam ketika itu menunjukkan pukul 5 petang dan hari semakin gelap kerana waktu sianag adalah lebih pendek berbanding malam pada musim sejuk. Walaupun gelap, penduduk Busan masih aktif bergerak sama ada baru balik bekerja, membeli belah mahupun berhibur. Penulis kemudiannya menaiki subway untuk ke stesen Jagalchi melalui Line 1 untuk menuju ke Pasar Gukje. Kalau di Seoul, pasar Namdaemun terkenal dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara dengan kedai-kedai menjual cenderamata, di Busan, pasar Gukje merupakan tempat tumpuan pelancong. Berdasarkan pemerhatian penulis, barangan yang dijual di kedua-dua pasar adalah lebih kurang sama. Penulis berkesempatan membeli sedikit cenderahati seperti keychain, fridge magnet, t-shirt dan poskad untuk dibawa pulang ke tanahair. Disebabkan pasar ini boleh didapati melalui banyak simpang dan jalan, penulis hampir sesat untuk menuju balik ke stesen Jagalchi untuk kembali ke hotel penginapan. Hari kedua penulis di Busan dimulakan dengan lawatan ke Perkampungan Budaya Gamcheon (Gamcheon Culture Village). Perkampungan ini turut dikenali sebagai Santorini Korea dan juga Korea Machu Pichu. Tidak kurang juga yang menggelarnya sebagai perkampungan lego dek bentuk rumah-rumah di situ seperti kotak yang berwarna-warni. Kawasan ini bermula sebagai tempat perlindungan pelarian perang Korea pada awal tahun 50-an. Lama-kelamaan, pelarian kemudian tinggal dan menetap di kawasan ini. Populasi penduduk kemudian berkembang sehingga lebih 4000 orang dan terdapat lebih kurang 800 buah rumah di perkampungan tersebut. Berpandukan maklumat daripada pamplet yang diperolehi daripada pejabat Korea Tourism Organization di Kuala Lumpur, penulis tidak menghadapi kesukaran untuk menuju ke kawasan perkampungan yang terletak di atas dan lereng bukit.

Selepas keluar dari stesen Toseong, penulis menaiki bas untuk ke atas bukit di mana terletaknya perkampungan tersebut. Penulis sudah terpukau dengan keindahan perkampungan seawal turun dari bas di perkarangan kampung tersebut. Penulis membeli peta jalan yang dijual di situ untuk memandu perjalanan penulis meneroka keindahan kampung tersebut. Selain pemandangan indah perkampungan berwarna-warni di lereng-lereng bukit, seni lukis dan mural yang terdapat di dinding-dinding tepi laluan amat memukau dan menarik perhatian pengunjung. Kedai-kedai kopi, makanan ringan dan cenderahati yang barangkali dijual oleh penduduk kampung tersebut turut boleh didapati di laluan perkampungan Gamcheon. Setelah puas bergambar dan menikmati panorama kawasan tersebut, penulis kemudiannya mengambil bas yang sama menuruni bukit untuk menuju ke stesen Toseong. Destinasi kedua penulis ialah mercu ikonik kotaraya Busan iaitu Menara Busan. Untuk ke Menara Busan, penulis menaiki Line 1 dan berhenti di stesen Nampo dan keluar melalui pintu 1. Menara Busan merupakan simbol bandaraya Busan yang berdiri 69 meter dari paras laut dan berketinggian 120 meter dan dibina pada tahun 1973. Walaupun menara ini tidak berfungsi sebagai menara televisyen ataupun radio sebagaimana menara-menara yang lain, ianya merupakan tempat terbaik untuk menikmati keindahan kotaraya Busan. Penulis menghabiskan masa lebih kurang setengah jam mengelilingi ruang tinjau di atas menara untuk melihat keindahan Busan. Betullah kata orang, kota-kota pelabuhan sememangnya indah, apatah lagi dengan lautan yang membiru dan pantai yang memutih melengkapkan lagi kesempurnaan kota-kota tersebut termasuklah Busan. Kelihatan juga kapal-kapal yang berlabuh di perairan pelabuhan Busan menjadikan kotaraya tersebut begitu dinamik. Dalam perjalanan menuju semula ke stesen Nampo, penulis sempat berjalan di sekitar Taman Yongdusan yang ditanam dengan 70 spesis pokok. Selain menempatkan Menara Busan, taman ini turut terdapatnya patung Laksamana Yi Sun-sin yang merupakan pahlawan nasional Korea semasa era peperangan dengan Jepun pada zaman Dinasti Joseon. Selepas meronda kawasan taman tersebut, perut mula kelaparan. Penulis kemudiannya menuju ke Dusil di mana terletaknya Masjid Al-Fatah yang merupakan satu-satunya masjid yang terletak di Busan. Masjid ni merupakan masjid yang kedua dibina di Korea Selatan dan didirikan pada tahun 1980. Ia bukan sahaja menjadi tumpuan muslim di sekitar Busan, malah muslim dari Daegu, Ulsan, Gyeongsangnam-do dan Gyeongsangbuk-do turut berkunjung ke masjid tersebut. Sebelum menunaikan solat di situ, penulis mengisi perut di sebuah kedai makanan Turki iaitu Cappadocia Turkish Kebab House yang terletak tidak jauh dari masjid Al-Falah. Penulis balik semula ke stesen Dusin untuk menaiki Line 1 sebelum turun di stesen Pusan National University. Sebagai ahli akademik yang berkhidmat di universiti, lawatan ke Busan ini rasanya tidak lengkap sekiranya tidak singgah di mana-mana universiti di Korea Selatan. Apatah lagi, penulis belum pernah menjejakkan kaki di universiti di situ. Justeru, penulis mengambil keputusan untuk merasai sendiri pengalaman berada di Pusan National University. Universiti tersebut merupakan salah satu universiti terbaik di Korea Selatan. Kawasan universiti tersebut sangat luas dan penulis meluangkan lebih kurang satu jam menikmati suasana kampus berkenaan. Menariknya, sebuah pusat membeli belah di pintu masuk universiti tersebut di samping kawasan membeli-belah yang terletak di hadapan kampus universiti merupakan salah sebuah kawasan membeli-belah terbesar di Busan selain Seomyeon dan Gwangbokdong. Penulis kemudiannya menaiki Line 1, Line 3 dan akhirnya Line 2 untuk ke stesen Gwangan. Dari situ, penulis berjalan kaki menuju ke Gwangalli beach yang merupakan salah satu kawasan pantai yang terkenal di Busan. Sekitar kawasan pantai ini adalah lorong-lorong yang menempatkan restoran, kedai-kedai kopi dan kelab malam. Penulis sempat membeli kopi panas untuk diminum sambil berjalan di atas pasir untuk menikmati keindahan pantai berkenaan. Selain menjadi tempat peranginan dan hiburan, kawasan ini juga terkenal dalam kalangan pengunjung yang ingin melihat Gwangandaegyo Bridge atau lebih dikenali sebagai Jambatan Diamond. Jambatan dengan panjang 7.4 km ini menghubungkan Haeundae-gu dengan Suyeong-gu dan merupakan jambatan terbesar di atas lautan di Korea. Jambatan ini dilengkapi dengan cahaya lampu-lampu LED yang mempamerkan cahaya yang menakjubkan, dan ianya dikatakan berubah setiap hari dan setiap musim. Dalam perjalanan pulang ke hotel, penulis sempat singgah sekali lagi di Gukye Market untuk membeli-belah buat kali terakhir di kota Busan sebelum pulang ke tanahair keesokan pagi.

 

 

Speak Your Mind

*