Merangsang Kemahiran Berfikir Kanak-Kanak

Kisah sebenar saya bersama anak buah beumur 5 tahun yang saya panggil kakak

Saya: 2 + 3 berapa?
Kakak : 5
Saya: 5 + 2 berapa?
Kakak: senang je. 7 lahhh
Saya: apa campur apa dapat 6
Kakak:……………
Saya: …………….
Kakak: (bercucuran air mata seperti hujan di luar)

Sementara dia menangis, saya pergi mandi. Maklumlah tak pandai nak pujuk. Lepas mandi, dapat nota layang ni. Alahai kakak… xpelah paklong tak hensem, asalkan kakak KBAT…huhuhu

10906385_568512483283991_423295044193594223_n

Pengalaman saya bersama anak buah saya memberikan saya inspirasi menulis artikel tersebut..

 

Merangsang Kemahiran Berfikir Seawal Peringkat Kanak-Kanak

Kanak-kanak ibarat rebung yang mudah dilentur, apatah lagi pada peringkat ini, proses kognitif yang berlaku dalam minda mereka sedang aktif berkembang. Mereka rajin bertanya dan ketika ini guru dan ibu bapa seharusnya mengambil kesempatan dan peluang untuk menggalakkan mereka berfikir mengikut tahap kognitif mereka. Baru-baru ini, penulis bertanyakan satu soalan matematik kepada seorang anak buah yang berusia lima tahun. Pada mulanya penulis bertanyakan soalan matematik asas seperti 2 + 3, 3 + 5 dan sebagainya. Kemudian penulis mula menguji kemahiran berfikir beliau dengan mengubah sedikit jenis soalan operasi penambahan tadi, iaitu apakah hasil tambah dua nombor yang dapat menghasilkan kuantiti 6. Anak buah penulis terdiam lalu menangis kerana tidak dapat menjawab soalan yang diutarakan. Berdasarkan kepada pengalaman tersebut, kanak-kanak pada peringkat umur tersebut seharusnya berupaya mengenal nombor satu hingga 10 dengan sedikit dorongan oleh ibu bapa dan guru, dan mereka seharusnya berupaya menjalankan operasi asas penambahan sehingga nombor 10. Menurut teori perkembangan kognitif yang diperkenalkan oleh teoris Jean Piaget, kanak-kanak pada peringkat ini tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan operasi matematik dalam satu arah sebagaimana situasi antara penulis dan anak buah tadi, tetapi mempunyai kesukaran untuk menerima pandangan orang lain, iaitu apabila soalan tadi diubah. Teori perkembangan kognitif juga menyatakan pada peringkat pra-operasi iaitu peringkat kanak-kanak berumur antara dua hingga tujuh tahun, kanak-kanak secara beransur-ansur akan mengembangkan bahasa dan kemahiran untuk berfikir dalam bentuk simbolik. Contohnya, kuantiti lima buah biji epal boleh diwakilkan dengan nombor 5, operasi penambahan boleh diwakilkan dengan simbol +, dan sebagainya. Bagaimanapun, matematik merupakan satu bidang yang bukan setakat mengenali angka, menjalankan operasi asas yang kebiasaannya dilatih dengan latih tubi, tetapi ianya boleh digunakan untuk melatih kanak-kanak berfikir. Sebelum melangkah masuk ke tadika atau pra sekolah seawal umur empat atau lima tahun, kanak-kanak sudah mempunyai asas matematik yang diperolehi daripada persekitaran. Umpamanya, apabila mereka diminta untuk memilih satu paket plastik yang mempunyai dua biji gula-gula atau satu paket plastik lain yang mempunyai lima biji gula-gula, mereka pastinya akan memilih plastik yang kedua kerana kuantitinya lebih banyak. Contoh lain, kanak-kanak biasanya akan menangis apabila seseorang mengambil sebahagian kepingan coklat kerana saiznya berkurangan. Ini menunjukkan kanak-kanak mula mengembangkan ‘deria rasa’ matematik mereka. Bagaimanapun, salahtanggapan kanak-kanak terhadap kuantiti perlu diperbetulkan. Kajian teoris Jean Piaget menunjukkan kanak-kanak keliru antara kuantiti dengan ruang. Katalah lima guli disusun sebaris secara rapat, dan satu lagi barisan lima biji gulis yang disusun dengan sedikit jarak antara satu sama lain. Kanak-kanak beranggapan barisan kedua mengandungi lebih banyak guli sedangkan kedua-dua barisan mempunyai kuantiti guli yang sama. Selain itu, apabila kanak-kanak mengembangkan kemahiran mengira mereka yang biasanya melibatkan nombor-nombor satu hingga sepuluh, mereka belum memahami bahawa satu nilai yang merupakan hasil tambah tersebut merupakan nombor yang terhasil daripada nombor-nombor yang lain. Apabila ditambahkan satu nombor yang kecil terhadap satu nombor kecil yang lain (contohnya dua ditambahkan kepada tiga), kanak-kanak seharusnya tidak perlu mengira kuantiti pertama (kuantiti tiga dalam contoh tadi) dari awal. Kanak-kanak juga seharusnya mengetahui bahawa hasil tambah dua nombor menghasilkan satu nombor yang lebih besar. Selain itu, kanak-kanak juga perlu tahu mengenai konsep ‘sebahagian nombor’ kepada ‘keseluruhan nombor’. Walaupun kanak-kanak mungkin telah dapat mengenali dan mengira nombor satu hingga nombor sepuluh, kanak-kanak tidak semestinya mengerti bahawa nombor-nombor tertentu dapat dihasilkan daripada bahagian-bahagian berbeza. Contohnya, hasil tambah nombor empat dan tiga menghasilkan tujuh, ataupun hasil tambah lima dengan dua turut menghasilkan tujuh. Objek-objek konkrit, gambar dan rajah nombor boleh digunakan dalam merangsang kemahiran berfikir kanak-kanak sebagaimana untuk menerangkan jawapan terhadap soalan yang diutarakan penulis kepada anak buah yang dinyatakan awal tadi. Hal ini selari dengan kenyataan Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa pengalaman awal matematik kanak-kanak dalam konsep pranombor, nombor, operasi nombor yang mudah perlu dibekalkan kepada murid prasekolah dan ianya perlu disepadukan ke dalam semua aktiviti pembelajaran menggunakan kaedah yang menyeronokkan.

Dr. Abdul Halim Abdullah, Berita Harian, 15 Januari 2015

10407027_581633308638575_65121795427445523_n

Loading comments...