Minggu Yang Tidak Akan Dilupakan

Simpan sini buat kenangan!

Alhamdulillah. Selamat tiba di Johor Bahru.

Percutian empat hari tiga malam di Putrajaya, Ipoh dan Cameron Highlands.

Mengapa minggu ini?

Sempena ulang tahun kelahiran saya yang ke-41 pada selasa lalu.

Sengaja memilih hari bekerja dan bukan cuti sekolah/ hujung minggu untuk elak kesesakan terutamanya di Cameron Highlands.

26 Ogos 2024

Kami bergerak ke Putrajaya. Sedikit tersasar dari tentatif asal iaitu bergerak pada pagi 27hb dari JB terus ke Ipoh. Namun, disebabkan saya kurang sihat, maka kami decide untuk transit di Putrajaya terlebih dahulu.

Sebelum check-in di Dorsett Hotel, sempat singgah makan malam di IOI Mall Putrajaya. Rezeki terserempak dengan dua orang  sahabat Sekolah Menengah Sains yang lebih 20 tahun tidak bersua.

Dorsett Hotel memang selesa. Kebetulan di hadapannya terdapat Putrajaya Royal Floria 2024. Namun kesihatan kurang mengizinkan. Maka kami tidur awal untuk rehat secukupnya.

27 Ogos 2024

Happy birthday to me!. Usai sarapan, kami bergerak ke Ipoh. Hendak keluar dari Lembah Klang pun ambil masa. Kenapa Ipoh?. Sejujurnya saya tak pernah menjejakkan kaki di Ipoh dan Ipoh adalah satu-satunya ibu negeri yang belum pernah saya kunjungi.  Terima kasih orang rumah yang belanja lunch di Canning Dim Sum Ipoh yang viral katanya. Sedap memang sedap, tapi harganya boleh tahan. Cukuplah sekali buat ghaso-ghaso kata netizen. Siap pakej kena saman dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebab tak letak kupon parkir. Bukan salah kami. Kami cuba install app MBI tapi ketika itu, app asyik loading tak boleh nak register. Kakak dan adik pula dah lapar. Jadi kami tawakkal sahaja.

Usai lunch, kami ke Concubine Lane. Menarik lane tersebut, namun tidak sepanjang yang kami jangkakan. Sempat juga menikmati kedai cendol yang katanya ramai retis yang pernah ke situ. Disebabkan kakak dan adik dah penat, kami check-in hotel Kinta Riverfront Ipoh untuk berehat seketika dan bagi kakak adik nap. Petangnya, kami ke Night Market berhampiran Aeon Mall untuk menikmati makan malam. Macam-macam makanan ada.

28 Ogos 2024

Hotel Kinta Riverfront ini nampak biasa-biasa. Namun breakfast buffet dia SUPERB. Orang rumah tak habis-habis memuji. Banyak pilihan makanan dan semuanya sedap. Konsepnya ala-ala kampung dan terasa seperti buffet Ramadan.

Usai sarapan, kami bergerak ke Cameron Highlands (CH). Secara peribadi, ini entah kali keberapa kali saya ke situ. Namun orang rumah kata CH ini happy place dia dan siap bercadang nak settle down di situ. Kita layankan aja.

Ini pertama kali saya melalui Simpang Pulai untuk ke CH. Sejujurnya saya lebih suka jalan Simpang Pulai berbanding Tapah. Barangkali jalannya lebih luas dengan pemandangan yang indah. Patutlah adik bongsu saya yang pernah belajar di UiTM Seri Iskandar suatu masa dahulu kerap ke CH. Boleh tahan dekat jaraknya.

Destinasi pertama kami ialah KEA Farm. Walaupun bukan weekend dan cuti sekolah, tetaplah ramai manusia. Kami bawa kakak dan adik menyantuni kambing biri-biri yang comel dan gebu. Kemudian orang rumah borong jagung, keledek dan strawberi. Dia dah buat homework. Jadi dia dah tahu uncle itu ini ada dalam TikTok. Maka dengan gigihnya saya mengangkat hasil borongan ke kereta. Saya juga baru tahu kewujudan jagung susu yang boleh dimakan terus. Boleh tahan rasanya, namun saya lebih suka jagung kuning yang direbus. Oh ya! Kami pergi ke CH pada waktu yang tepat yang mana suhu sejuk siap pakej berkabus dan harga strawberi tengah murah.

Disebabkan masa untuk check-in lama lagi, kami singgah di Cameron Centrum untuk lunch. Kami tak lunch pun sebab nak simpan perut untuk makan malam. Jadi kami biarkan anak-anak sahaja yang makan. Kemudian kami check-in di Zenith Hotel.

Saya sangat recommended hotel ini. Walaupun kadar harganya untuk satu malam agak tinggi, namun kami sangat berpuas hati dengan kemudahan dan perkhidmatannya. Lokasinya juga strategik iaitu di Tanah Rata. Ruang bilik sangat spacious untuk kakak dan adik berlari-lari. Mereka juga taknak keluar dari bathtub.

Usai kami semua nap, kami mencari makan malam. Ini tempat favourite orang rumah iaitu Highland Steamboat Cheese & Grill. Bagi saya sangat berbaloi. Banyak sangat pilihan yang ada dan aim kami pastinya lamb dan seafood. Harganya sangat berpatutan dan rasanya sangat sedap. Tidak keterlaluan untuk saya katakan, ia lebih berbaloi dari Seoul Garden. Barangkali dengan suasana yang sejuk, menghirup kuah tomyam yang panas adalah suatu nikmat yang sukar diluahkan dengan kata-kata. Gittew. Usai kekenyangan, apa lagi balik bilik untuk tidur.

29 Ogos 2024

Hari untuk kembali ke realiti. Sebelum pulang, kami breakfast di hotel. Not bad, namun orang rumah still kata breakfast di Ipoh jauh lebih berbaloi. Saya okay sahaja sebab kalau saya travel solo, selalunya saya tak ambil breakfast. Usai sarapan, kami pun memulakan perjalanan pulang melalui jalan Tapah.  Kami hanya singgah di beberapa kawasan R&R untuk membuang air kecil. Tambahan pula, kami masih kekenyangan sehinggalah kami singgah di Sultan Salai di Simpang Ampat, Melaka. Sedap-sedap makanan di situ. Surau juga disediakan. Usai menunaikan solat Jamak dan Qasar, kami meneruskan perjalanan ke Johor Bahru.

Selepas hampir lapan jam, akhirnya kami sampai di bumi JDT. Alhamdulillah.

Percutian kali ini saya kira amat bermakna. Saya tidak membawa laptop seperti kebiasaan, dan saya juga mohon bantuan rakan sekerja sekiranya ada perkara penting yang perlu ditangani segera.

Kerja tidak akan pernah habis. Hatta kalau kita tiada kelak, ekosistemnya juga akan berjalan seperti biasa. Sebaliknya, andai kita sakit dan kelak sudah tiada, doa dari keluarga lah yang sentiasa mengiringi kita. Justeru masa berkualiti bersama keluarga juga perlu diutamakan.