Pengucap Kuliah Umum di Universitas Maritim Raja Ali Haji, Tanjungpinang, Indonesia

10 perkara yang berlaku sepanjang 2 hari 1 malam saya berada di Tanjungpinang, Indonesia.

12027713_679670588834846_3298001892396021287_n

  1. Tahukah anda Tanjungpinang merupakan ibu kota untuk provinsi Kepri. Sewaktu dimaklumkan oleh fakulti yang saya akan ke Kepri, saya agak blur. Kepri itu di Cyprus ke?hehe..semasa berada di Tanjungpinang baru saya tahu bahawa Kepri itu ialah singkatan kepada Kepulauan Riau.
  2. Terdapat dua cara untuk ke Tanjungpinang. Pertama melalui pengangkutan udara. Ya, terdapat lapangan terbang di sana. Bagaimanapun untuk ke sana dari JB, saya perlu ke KL dari Senai, kemudian dari KL ke Jakarta sebelum berlepas ke Tanjungpinang. Ianya seolah-olah seperti dari JB ke Melaka tetapi perlu ke Pahang kemudian turun ke KL sebelum ke Melaka. Jadi pengangkutan yang paling efisien ialah melalui pengangkutan air. Perjalanan mengambil masa selama hampir 3 jam dari terminal Stulang Laut ke pelabuhan Tanjungpinang. Selama ini perjalanan paling lama saya menaiki feri ialah dari jeti Kuala Perlis ke Pulau Langkawi.
  3. Setibanya saya di Tanjungpinang, Pak Tony iaitu bekas pelajar PhD di UTM menyambut saya. Katanya pihak universiti dalam perjalanan ke pelabuhan. Jadi Pak Tony mengajak saya menikmati masakan padang terlebih dahulu. Di sana teh ais ialah teh o ais. Jadi kalau mahu minum teh ais seperti di Malaysia, anda perlu sebut teh susu ais. Begitu juga dengan teh tarik iaitu teh susu tarik.
  4. Usai makan, pihak universiti mengambil saya di kedai makan terus dibawa ke hotel. Mereka beriya-iya ingin mengajak saya keluar makan malam dan berjalan-jalan di sekitar kota Tanjungpinang. Bagaimanapun pelawaan tersebut saya tolak secara baik. Saya perlu masa untuk mengemaskini maklumat slaid pembentangan. Maklumlah tidak sempat dilakukan di Malaysia. Perancangan asal ingin dibuat di dalam feri. Akan tetapi keadaan yang tidak selesa menyukarkan kerja saya.
  5. Usai solat maghrib dan isyak, saya menyambung kerja-kerja mengemaskini slaid pembentangan di laptop. Tiba-tiba pintu kamar hotel diketuk. Pak Tony rupanya. Beliau beriya-iya mengajak saya untuk makan malam dan pusing-pusing di kota. Katanya rugi datang ke Tanjungpinang kalau duduk dalam kamar sahaja. Berat untuk saya tolak pelawaan tersebut. Apatah lagi beliau bersusah payah datang ke hotel untuk mengajak makan malam bersama. Bagaimanapun Pak Tony tidak punya mobil (kereta). Jadi beliau bawa saya pusing-pusing kota menaiki motosikal. Pengalaman baru buat saya. Malam itu juga Pak Tony belanja makan nasi ayam penyet. Terbaik!!
  6. Pagi tadi saya ke kampus Universitas Maritim Raja Ali Haji atau singkatannya, UMRAH untuk menyampaikan kuliah umum kepada mahasiswa jurusan pendidikan matematika di situ. UMRAH merupakan satu-satunya universiti awam di Kepri. Para dosen (pensyarah) berkali-kali menyatakan UMRAH serba kekurangan dan tidak sehebat UTM dari segi kemudahan. Saya tersenyum dan menyatakan saya tiada masalah. Bagi saya lain universiti lain budayanya. Itulah keunikannya. Boring juga kalau pergi ke universiti yang sama persekitarannya.
  7. Terasa sangat diraikan semasa berada di UMRAH. Mereka amat menghargai kedatangan saya walaupun saya ini bukanlah professor atau tokoh ilmuan terkenal. Sebelum memberi kuliah umum saya diminta untuk bersua dengan dekan. Dekan fakulti keguruan merupakan lulusan PhD dari UPSI. Ayahnya orang Batu Pahat dan datuknya satu sekolah dengan Dato’ Onn Jaafar. Beliau merupakan pakar sastera dan gemar berpantun.
  8. Semasa menyampaikan kuliah umum, saya suka bertanyakan soalan selingan dengan hampir 200 mahasiswa jurusan pendidikan matematika. Salah satu soalan ialah siapakah artis malaysia yang anda gemari? Rata-rata siswa menyatakan tidak lain dan tidak bukan Datuk Siti Nurhaliza. Menariknya mereka turut menyatakan pelakon yang saya sendiri tak kenal iaitu Aiman Hakim Reza (saya terus google kerana keterujaan untuk mengetahui siapa pelakon tersebut). Siaran televisyen di Malaysia dapat diikuti di sana.
  9. Rata-rata mahasiswa di UMRAH tidak pernah keluar dari Tanjungpinang. Jadi saya sempat titipkan nasihat untuk mereka belajar bersungguh-sungguh untuk S1 (bermakna degree di Indonesia) agar boleh menyambung S2 (master) dan S3 (PhD) di UTM. Saya sempat menayangkan video korporat UTM dan Fakulti Pendidikan kepada mereka dan jelas terpancar keterujaan pada wajah mereka.
  10. Usai memberi kuliah umum, saya terasa seperti seorang selebriti apabila seorang demi seorang siswa dan siswi mahu bergambar bersama saya. Dari raut wajah mereka, saya rasa puas kerana kuliah umum yang diberikan inshaAllah memberikan impak dan kegembiraan kepada mereka.

Sehingga ketemu lagi Tanjungpinang.