Peringkat 2: Rutin Harian di Awal Pengajian

daily-routines-2

Semasa di awal pengajian, selepas menunaikan solat subuh, rutin harianku dimulakan dengan memasak apa jua makanan yang ringkas. Tidak kisahlah, sardin, telur goreng, ikan bilis goreng, bihun goreng, dan sebagainya untuk dibawa sebagai bekalan makan tengahari di kampus. Di awal pengajian sebegini, aku belum lagi berjumpa dengan rakan-rakan sebaya di bilik siswazah yang mungkin boleh diajak untuk makan tengahari di cafeteria. Kebanyakan kenalan ketika ini merupakan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berkeluarga. Kebiasaannya, pada waktu tengahari mereka akan mengambil anak-anak dari sekolah dan makan tengahari di rumah. Jadi terpaksalah aku makan sendiri dengan bekalan yang dibawa. Sebelum ke kampus, aku meluangkan sedikit masa untuk bersenam dan mengeluarkan peluh di gymnasium berhampiran. Bagiku, untuk mendapatkan idea dan buah fikiran yang baik, ia lahir dari otak yang cerdas. Otak yang cerdas pula lahir dari fizikal yang cergas. Disebabkan itu, aku tidak berkira untuk memperuntukkan sedikit wang untuk melanggan gymnasium berhampiran universiti. Kemudian, aku akan mengabdikan diri sama ada di perpustakaan universiti ataupun di pusat sumber fakulti untuk menyiapkan bab satu, dua dan tiga iaitu bab-bab yang diperlukan untuk pembentangan proposal. Aku akan ‘lepak’ di situ sehinggalah solat zuhur. Selepas solat zuhur, aku akan menyambung kerja-kerja aku di situ melainkan ada kelas yang perlu dihadiri. Sebenarnya pelajar PhD di UKM (ketika itu) tidak perlu mengambil sebarang kelas sebagai syarat untuk lulus PhD. Tetapi memandangkan sudah agak lama aku meninggalkan dunia pelajar, aku mengambil inisiatif untuk menumpang di kelas-kelas tertentu untuk mengimbas semula pengetahuan aku dalam dunia penyelidikan pendidikan ini.

Sepanjang tahun pertama pengajianku juga, aku kerap kali menela’ah bahan bacaan di perpustakaan Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) Kementerian Pendidikan Malaysia yang menempatkan banyak bahan rujukan dalam bidang pendidikan. Di situ, banyak tesis, artikel jurnal dan keratan suratkhabar berkaitan pendidikan di dalam dan luar negara ditempatkan. Tambahan pula, perpustakaan tersebut amat selesa untuk menjadi tempat pertapaanku. Pada waktu petang aku akan pastikan akan balik ke rumah sewa sebelum pukul 4.30 petang. Selalunya, 5.00 petang merupakan waktu kemuncak kesesakan jalan raya di kawasan-kawasan di Lembah Klang ini. Lebih-lebih lagi, setiap hari aku akan melalui Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), kemudian masuk pula lebuh raya South Klang Valley Expressway (SKVE) dan akhirnya lebuhraya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari rumah sewa ke kampus universiti dan menggunakan laluan balik yang sama. Jadi perancangan perjalanan pergi dan balik amat penting supaya aku tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya yang pastinya akan membuang banyak masaku. Sekiranya aku ke perpustakaan KPM dan malas pulang awal ke rumah, aku akan berehat sebentar ke pusat membeli belah terkenal, Alamanda Putrajaya. Kebetulan kedudukan bangunan KPM yang tidak jauh dengan pusat membeli belah tersebut. Kadang-kala sempat juga aku merehatkan minda dengan menonton wayang di situ sementara menunggu jalan tidak sesak. Dan sekiranya tidak berkesempatan mengunjung gymnasium pada waktu pagi, aku akan ke sana di sebelah petang.

Di sebelah malam pula, semasa berada dalam tahun pertama pengajian, aku menyewa rumah dengan seorang sahabat yang juga merupakan ahli akademik di salah sebuah universiti tempatan. Jadi pada masa itu, kalau rajin, kami akan masak untuk makan malam. Tetapi selalunya, kami ke pasar malam atau ke kedai makan berhampiran rumah untuk makan malam. Selepas itu, aku akan menyambung kerja-kerjaku seperti membaca artikel jurnal, menaip dan sebagainya. Kalau berkelapangan, aku akan menonton rancangan televisyen yang menarik. Aku lebih suka menonton rancangan bercorak dokumentari. Pernah sekali, salah satu stesen televisyen menayangkan dokumentari jenayah tegar yang berlaku di Malaysia pada masa lampau bertajuk “KES: Kronologi Ekslusif Siasatan”. Rancangan tersebut memaparkan kronologi dan siasatan mengenai penjenayah-penjenayah tegar di Malaysia pada masa lalu seperti pembunuhan ngeri oleh Mona Fandey, rampasan senjata oleh kumpulan Al-Maunah dan banyak lagi. Rancangan tersebut disiarkan sekali seminggu dan aku merupakan peminat setianya. Yang menariknya, aku turut menyertai peraduan kuiz terkumpul yang dianjurkan untuk rancangan tersebut. Dan dengan berbesar hati, aku ingin menyatakan bahawa aku merupakan pemenang utama peraduan tersebut. Dan hadiahnya ialah tiket pergi balik ke Melbourne Australia untuk dua orang. Yahooooo!!!! masa yang tepat untuk aku bertemu rakanku, Hilmi di sana. Selain memenangi peraduan tersebut, aku turut pernah memenangi hadiah saguhati bernilai RM500 dalam Peraduan Sembang Santai Bersama Alam Flora & suratkhabar Kosmo!. Peraduan berkenaan meminta pembaca mengisi dialog dalam ruangan yang disediakan. Bagiku, otak juga perlu berehat setelah saban hari memerah idea. Justeru, dengan menjalankan aktiviti-aktiviti santai sebegini, ianya sedikit sebanyak dapat merehatkan otak dan dapat melupakan sebentar tekanan menyiapkan proposal. Betullah kata orang, kita sendiri yang mewarnai perjalanan PhD kita. Kita yang menentukan sama ada PhD terus menekan kita, atau kita yang mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan tekanan tersebut.

Rutin harianku diakhiri dengan tidur awal. Ya, tidur yang cukup penting untuk pelajar PhD kerana tubuh badan kita perlu rehat secukupnya. Tubuh badan yang sihat memberi kesan positif terhadap otak untuk ia bekerja dengan baik untuk hari esok dan hari-hari berikutnya sebagai seorang pelajar PhD.

Speak Your Mind

*