Peringkat 8: Ucapan Sebagai Wakil Graduan

The Journey

Ucapan saya yang dikarang oleh saya selama 2 malam berturut-turut sempena Majlis Anugerah Doktor Falsafah Fakulti Pendidikan UKM 2013. Teks ucapan ini dicipta dengan penuh ikhlas dan perasaan. Khas untuk rakan-rakan graduan doktor falsafah Fakulti Pendidikan UKM 2013 yang akan berkonvo sabtu ini. Congratulations everyone!!

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Terima kasih Tuan/Puan pengacara majlis, yang dihormati YBhg. Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Lilia Halim, yang dikasihi YBhg.Timbalan Dekan Akademik, PM Dr. Norazah Mohd Nordin, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, PM Dr. Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff, Timb. Dekan Jaringan Industri, Alumni, Masyarakat dan Antarabangsa, Prof. Dr. Nor Aishah Buang, Ketua Program Doktor Falsafah dan Sarjana, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Penolong Pendaftar Kanan dan Penolong Pendaftar, professor-professor, professor madya-professor madya, pensyarah-pensyarah, staf-staf sokongan serta yang diraikan, rakan-rakan Graduan Doktor Falsafah Tahun 2013.

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah s.w.t kerana dengan izinNya dapat kita berkumpul di majlis yang penuh bersejarah ini iaitu Majlis Penghargaan Graduan Doktor Falsafah Tahun 2013, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara,
Pemanis kata selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Rakan-rakan graduan sekalian,

Masih ingat lagikah kita ketika mula-mula melangkah masuk ke Fakulti Pendidikan UKM kira-kira tiga atau empat tahun yang lalu untuk berjuang, berjihad menuntut ilmu demi mengejar impian untuk bergelar seorang graduan kedoktoran dalam bidang pendidikan. Ketika itu kita dihantui dan dimomokkan dengan kata-kata kononnya PhD ialah Permanent Head Damage, Permanent Heart Disease, dan sebagainya. Ada juga yang kata, THESIS – True Happiness Ends Since It Started. Alhamdulillah kita telah berjaya menepis tanggapan itu semua. Buktinya kita semua berada di sini pada hari ini dan telah pun berjaya sampai ke garisan penamat. Namun untuk tiba di kemuncak bukanlah suatu perkara yang mudah. Banyak ranjau dan duri yang telah dilalui, banyak titisan air mata yang telah jatuh berderai ke bumi, banyak perkara yang telah dikorbankan, tekanan dan macam-macam lagi. Namun saya percaya, itu semua pastinya akan menjadi kenangan manis pada masa akan datang. Kejayaan ini pastinya tidak akan tercapai tanpa kehadiran di sisi kita seorang atau dua orang penyelia yang penuh dedikasi dan kesabaran memberi tunjuk ajar, bimbingan dan nasihat kepada kita semua. Bimbingan dan penyeliaan yang diberikan tidak mengira masa dan ketika. Begitu juga dengan pensyarah-pensyarah lain yang begitu pakar dalam bidang masing-masing yang sudi berkongsi kepakaran dan idea kepada kita semua. Tidak dilupakan juga, jutaan terima kasih kepada staf-staf sokongan yang tanpa mengenal erti jemu melayan karenah kami dan seterusnya memudahkan urusan pengajian kami. Jadi saya mewakili rakan-rakan graduan yang lain mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyelia, pensyarah-pensyarah dan staf-staf sokongan. Tanpa anda semua, mustahil untuk kami berada pada tahap ini.

Jangan ditanam padi di seberang,
Jangan menghuma di puncak bukit,
Jangan tak kenang budinya orang,
Jangan dilupa walau sedikit.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Sesungguhnya kami turut bersyukur kerana sepanjang pengajian kami di sini, pihak pengurusan daripada pihak dekan, timbalan-timbalan dekan, mantan-mantan timbalan dekan dan ketua-ketua jabatan, mantan-mantan ketua jabatan sentiasa mengambil berat dan peka terhadap masalah dan kebajikan kami. Perjumpaan berkala dengan YBhg. dekan, timbalan dekan, ketua jabatan serta timbalan dan penolong pendaftar merupakan platform terbaik untuk pihak pengurusan mendengar masalah kami. Contohnya sebelum ini seminar siswazah dicadangkan untuk dijalankan tiga bulan sekali tetapi ramai siswazah yang membantah. Akhirnya pihak pengurusan bersetuju untuk menganjurkannya sekali dalam setiap dua bulan. Kami juga berterima kasih kerana disediakan rumah kedua kami iaitu Bilik Siswazah yang serba lengkap. Sesungguhnya ia amat selesa untuk kami belajar, berbincang bersama rakan-rakan lain, melakukan mock presentation dan sebagainya. Begitu juga dengan Seminar Siswazah yang mana bagi saya, ianya merupakan platform terbaik untuk memastikan para siswazah sentiasa berada di landasan yang betul sepanjang pengajian mereka. Seminar ini juga berjaya memastikan kami sentiasa bersedia dan hal ini dapat mengekalkan momentum kami sebagai seorang pelajar dan penyelidik sehinggalah tamat pengajian kami. Selain itu, daripada Seminar Siswazah yang diadakan, kami menerima banyak input, pendapat dan komen bukan sahaja daripada pensyarah, malah dari rakan-rakan seperjuangan. Input-input ini sememangnya berguna kepada kami untuk kami bersedia terutamanya ketika di peringkat akhir iaitu Viva. Kami juga sangat beruntung kerana Fakulti Pendidikan UKM turut mempunyai Persatuan Siswazah Pendidikan yang sangat aktif. Persatuan ini aktif menganjurkan bengkel, kursus dan sebagainya yang sudah semestinya amat membantu penyelidikan dan penulisan tesis kami. Saya bersyukur kerana berkesempatan menjadi salah seorang ahli jawatankuasa walaupun tidak lama. Buat rakan-rakan persatuan sekalian, saya percaya, sekiranya kita memudahkan urusan orang lain, in sha Allah, Allah s.w.t akan memudahkan urusan kita kelak. Fakulti Pendidikan turut memberi peluang kepada kami, pelajar siswazah untuk membentangkan kertas-kertas kerja persidangan antarabangsa yang dianjurkan pihak fakulti. Dari Pekan Baru, Jogjakarta hinggalah ke tanah suci mekah. Kombinasi elemen-elemen tersebut telah mewujudkan atmosfera yang positif ke arah membantu kami menamatkan pengajian dengan jayanya.

Buat rakan-rakan graduan sekalian,

Dua hari lagi kita bakal diraikan di Dewan Tun Abd Razak. Jika sebelum ini, apabila terpandangkan DECTAR semasa kita keluar masuk kampus, terdetik di hati, bilakah kita akan diraikan di dewan tersebut. Kini harinya kian tiba. Semoga ikatan yang telah terjalin tidak terhenti setelah kita mengenggam segulung ijazah kedoktoran. Hubungan yang terjalin dengan penyelia perlu diteruskan. Siapa tahu, mungkin selepas ini, saya akan bekerjasama dengan PM Dr Effandi Zakaria, selaku penyelia saya atau dengan PM Dr Norazah untuk melaksanakan penyelidikan bersama, in sha Allah. Begitu juga dengan ikatan ukhwah yang telah terjalin sesama kita. Kalau tersua di mana-mana, kita saling bertegur sapa. In sha Allah kalau sudah terlupa nama, saling mengingatlah sesama kita. Kalau pergi ke selatan negara, ke Legoland ke, atau ke Nusajaya, hubungilah saya. Kalau saya tiada ke mana, in sha Allah pasti saya akan menemani saudara.

Kalau hendak berkunjung ke gerai,
Jangan lupa membawa pelita,
Ikatan persahabatan jangan terlerai,
Teruskan ukhuwah sesama kita.

Akhir kata, saya mewakili Graduan Doktor Falsafah Tahun 2013, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih.. terima kasih…terima kasih…wahai para penyelia, para professor, para pensyarah dan staf-staf sokongan atas kerjasama dan bantuan yang telah diberikan kepada kami sebelum ini. Buat kalian semua juga,

Izikan saya mewakili rakan-rakan mengambil kesempatan,
Andai bicara pernah menyinggung perasaan,
Sepuluh jari kami hulurkan,
Andai tindakan pernah kurang menyenangkan,
Kami mengharap sejuta kemaafan,
Untuk ilmu yang telah dicurahkan,
Kami pohon minta dihalalkan.

Buat diri sendiri dan rakan-rakan graduan sekalian, bukan dikejar gelaran atau nama, tetapi apakah sumbangan yang bakal diberikan kepada bangsa dan agama?

Sekian, yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t dan yang buruk itu datangnya jua dari Allah tetapi dizahirkan atas kelemahan diri saya sendiri.

**Alhamdulillah, sempena Majlis Anugerah Doktor Falsafah Fakulti Pendidikan UKM 2013, saya memenangi 2 anugerah iaitu Anugerah Graduate On Time dan Anugerah Penerbitan Terbaik.

1381528_363173483817893_1385011288_n

Comments

  1. Good write.. keep writing..

Speak Your Mind

*