Sebagai staf dan ahli akademik di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), saya perlu memainkan peranan dalam menjayakan pelaksanaan Pelan Global UTM sejak dari Fasa pertama sehinggalah Fasa III yang sedang berlangsung ketika ini sehinggalah tahun 2020 kelak. Untuk merealisasikannya, bukan sahaja terletak di bahu staf pengurusan dan staf akademik, malah staf pelaksana dan staf sokongan turut perlu berganding bahu memainkan peranan masing-masing terhadap inisiatif-inisiatif yang dicadangkan dalam Pelan Global tersebut. Semua pihak dalam sebuah organisasi UTM ini perlu menghayati kisah Nabi Ibrahim yang mana ketika baginda dibakar oleh Raja Namrudz, kejadian itu disaksikan oleh seekor burung pipit. Ia kemudiannya berbolak-balik terbang untuk mencari air yang mana burung tersebut mengisi air ke dalam paruhnya kemudian dilepaskannya ke atas unggun api yang membakar Nabi Ibrahim. Walaupun kalau diikut logik akal, berapa banyak sangatlah air yang dapat dikendong oleh burung tersebut, burung tersebut tetap memainkan peranannya dalam membantu Nabi Ibrahim. Kisah ini juga dikongsikan oleh YBhg. Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dalam Bab 5 bukunya yang bertajuk “Universiti Cemerlang Menjana Kesejahteraan Sejagat” yang mengajak semua warga UTM memahami dan menghayati tanggungjawab masing-masing dalam mencapai misi dan visi UTM.
Satu lagi kisah yang berlaku di Amerika Syarikat iaitu ketika zaman pentadbiran Presiden John F. Kennedy (JFK). Buat pengetahuan, JFK merupakan presiden Amerika Syarikat dari tahun 1961 sehingga 1963. Pada satu hari, beliau melawat head quarter NASA (The National Aeronautics and Space Administration). NASA merupakan sebuah agensi angkasa di USA yang berperanan melaksanakan program angkasa lepas. Presiden JFK kemudiannya terserempak dengan seorang janitor (penjaga bangunan), lalu bertanyakan kepada janitor tersebut, “What are you doing?”. Janitor tersebut lantas menjawab, “I am helping to put a man on the moon”. Jadi di sini kita boleh lihat bagaimana sebuah organisasi atau institusi seperti NASA dapat membuatkan semua pekerjanya memahami fungsi dan peranan masing-masing untuk merealisasikan misi NASA ketika itu iaitu menghantar manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan. Mengapa NASA ketika itu beriya-iya mahu menghantar manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan?. Ini kerana pada ketika itu berlakunya Space Race (Cold War) antara USA dan Soviet Union (Russia) yang bersaing untuk menghantar manusia pertama ke bulan. Berbalik kepada cerita janitor dengan presiden JFK, dengan hanya melaksanakan kerja-kerja kecil seperti mengelap lantai dan sebagainya, yang secara tidak langsung memudahkan perlaksanaan misi menghantar manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan, akhirnya USA berjaya merealisasikan misi tersebut. Dan (mungkin) disebabkan kisah inilah lahirnya ungkapan yang keluar dari mulut presiden JFK iaitu “Don’t ask what your country can do for you, but ask what you can do for your country”.
Sehubungan itu, sempena sambutan Hari Pekerja tahun 2018 ini yang bertemakan “Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara”, ayuh warga UTM tidak kiralah jawatan apa yang kita pegang, marilah kita sama-sama jayakan Pelan Global UTM Fasa III ini untuk menjadikan UTM yang kita cintai ini sebagai sebuah institusi yang dikenali di peringkat kebangsaan dan global atas sumbangannya dalam aspek reputasi akademik, penjanaan modal insan, impak terhadap ekonomi berasaskan inovasi Malaysia dan global, keternampakan pada peringkat antarabangsa serta menjadi satu jenama yang disegani.
Speak Your Mind