Refleksi Kuliah Pertama Semester ini

7 Oktober 2024

Saya diberikan MC hari ini. Malam tadi, tekak perit dan badan menggigil. Pergi klinik, dan diberikan MC (medical certificate).

Namun, petang tadi, saya gigihkan jua untuk kuliah pertama semester ini. Bukan apa, minggu depan saya terpaksa tangguhkan kuliah disebabkan akan berada di luar negara, dan hanya akan kembali pada minggu ketiga kuliah.

Selepas makan ubat, rasa lega sedikit.

Saya diberikan tanggungjawab untuk mengajar kursus Kaedah Pengajaran Dalam Matematik yang menjadi kursus pra-syarat bagi pelajar untuk mengambil kursus Pengajaran Mikro dan Latihan Mengajar (LM) pada tahun tiga kelak.

Dalam sesi mukadimah hari ini, saya melontarkan isu kemahiran mengira yang dikupas dalam Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills. Saya meminta pelajar berkongsi pandangan mereka mengenai isu yang kian menjadi polemik masyarakat. Sementelahan, mereka bakal guru matematik.

Di akhir kuliah, saya meminta mereka berkongsi Falsafah Pengajaran mereka untuk kelas matematik. Menyahut seruan kerajaan sempena Hari Akademia 2024, saya meminta mereka menggunakan apa jua AI dalam menghasilkan imej, namun bukan falsafah pengajaran mereka. Falsafah pengajaran mereka seharusnya datang dari jiwa pendidik mereka yang diterjemahkan melalui kecerdasan semula jadi mereka.

Selain itu, sebuah buku tulisan saya, saya infakkan kepada pelajar dengan falsafah yang saya kira menarik dan lain daripada yang lain.

Sekian, refleksi kuliah pertama semester ini.