Selamat bersara , emak!

10245446_452075431594364_6663068421649935697_n

21/11/2014

Hari ini merupakan hari terakhir emak bertugas sebagai seorang guru Tabika KEMAS setelah 32 tahun berkhidmat. Beliau mengambil keputusan untuk bersara awal. Bagi peluang kepada anak-anak muda pula, katanya. Sebagai anak, saya sentiasa menyokong keputusan emak kerana itulah yang terbaik buatnya. Generasi bersilih ganti. Kalau dahulu mengajar anak-anak peneroka, barangkali sekarang sudah mengajar cicit peneroka. Tanpa jemu, emak mengajar mengenal huruf, mengeja sukukata dan akhirnya membaca dengan lancar. Tanpa bosan, emak mengajar mengenal angka, menambah, menolak, dan akhirnya sudah pandai mencongak. Tanpa putus asa, emak mengajar cara memegang pensel, membetulkan gaya kekok kanak-kanak memegang pensel dan akhirnya, pensel sentiasa melekat di jari, tanpa mahu dilepaskan. Dengan penuh semangat, emak mengajar kanak-kanak menghayati lirik nasyid dan beberapa kali membawa pasukan nasyid tadika ke peringkat negeri. Dengan penuh sifat penyayang, memujuk kanak-kanak meraung, menangis di awal persekolahan, mencebok kanak-kanak yang tidak sempat ke tandas, mengelap hingusan, dan membelai dengan penuh kasih sayang.Barangkali ada antara mereka yang telah berjaya sebagai seorang jurutera, cikgu, pegawai kerajaan, pegawai bank dan Alhamdulillah saya sendiri berada pada kedudukan ini hasil didikan emak. Buat emak tersayang, selamat bersara. Satu episod besar yang telah dilaksanakan dalam sebahagian besar cerita kehidupan emak barangkali sudah berakhir, tetapi permulaan episod baru akan bermula. Semoga emak dapat melalui episod-episod tersebut dengan penuh keceriaan di samping ayah, anak-anak dan cucu-cucu tersayang.

Speak Your Mind

*