Semoga Terus Cemerlang Mahasiswa UTM

Baru-baru ini saya menonton satu rancangan temu ramah di Astro Awani bersama pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah membangunkan kabel pintar yang dikenali sebagai Charby Sense. Inovasi ini dikatakan dapat mengatasi masalah jangka hayat bateri dengan cara memutuskan arus elektrik apabila peranti sudah dicas penuh. Rasa bangga dengan kualiti yang dimiliki oleh mahasiswa UTM.

Sumber: Koleksi peribadi

Pencapaian mahasiswa UTM juga konsisten dalam Pertandingan Robot ABU Asia-Pasifik (ROBOCON). ABU ROBOCON yang ditubuhkan pada tahun 2002 merupakan sebuah pertandingan robot secara tahunan yang bertujuan menjadi platform untuk membangunkan robot automatik untuk membantu manusia dalam kehidupan seharian mereka. Pada tahun 2017, UTM yang mewakili Malaysia, muncul naib johan dalam Pertandingan Robot ABU Asia-Pasifik (ROBOCON) 2017 yang diadakan di Tokyo, Jepun. Baru-baru ini pula, bertempat di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), mahasiswa UTM sekali lagi mengharumkan nama UTM dengan memenangi tempat pertama dan kedua dalam ROBOCON 2018 dan bakal mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa yang akan berlangsung di Vietnam pada bulan Ogos ini.

Sumber gambar: Facebook rasmi UTM

Pada bulan Mac 2018 yang lalu pula, pasukan debat UTM menjuarai Anugerah Debat Perdana 2018. Kejayaan dalam pertandingan debat ini sememangnya sesuatu membanggakan apatah lagi secara tradisinya sebelum ini, acara debat selalunya dimonopoli dan dikuasai oleh universiti lain. Hal ini selari dengan pandangan sebuah majalah business terkemuka dunia iaitu Forbes dalam artikelnya yang bertajuk “What makes a university great” iaitu antara faktor utama yang membezakan antara universiti-universiti ternama dunia dengan pesaing-pesaing mereka ialah penumpuan tinggi terhadap pemilihan staf akademik, penyelidik dan mahasiswa yang berpotensi dan berbakat. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai mahasiswa UTM juga dilihat hasil daripada kejayaan pelaksanaan Pelan Global UTM 2012-2020 dibentuk untuk menjadikan UTM sebagai sebuah institusi yang dikenali di peringkat kebangsaan dan global atas sumbangannya dalam aspek reputasi akademik dan penjanaan modal insan berkualiti tinggi. Di samping itu, konsep Akademia Baru yang memberi fokus kepada inovasi pembelajaran dan pengajaran turut dilihat memberi sumbangan terhadap pemupukan kemahiran insaniah mahasiswa yang penting untuk kebolehpasaran graduan. Semoga terus cemerlang mahasiswa UTM.

Speak Your Mind

*