Situasi Semasa Pencapaian Matematik Murid di Malaysia

Sejak kebelakangan ini, Malaysia menghadapi satu trend yang membimbangkan dalam sistem pendidikannya iaitu kemerosotan prestasi murid dalam mata pelajaran Matematik. Data terkini daripada pentaksiran kebangsaan dan antarabangsa, seperti TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) dan PISA (Programme for International Student Assessment), menunjukkan penurunan yang ketara dalam penguasaan Matematik dalam kalangan murid. Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan kualiti pendidikan negara, tetapi juga memberi kesan langsung terhadap pembangunan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) yang menjadi teras kemajuan ekonomi dan inovasi.  Matematik merupakan asas utama dalam STEM, dan kelemahan dalam subjek ini boleh menghalang minat serta keupayaan murid untuk menceburi kerjaya berkaitan sains dan teknologi. Jika tidak ditangani dengan segera, kemerosotan ini berpotensi menggugat aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang berdaya saing di peringkat global.

Sebanyak 95 mata pelajaran ditawarkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2023, meliputi 180 kertas ujian. Laporan analisis keputusan mencatatkan mata pelajaran Matematik mencatatkan peratus kegagalan kedua tertinggi selepas Matematik Tambahan iaitu sebanyak 23.2%, selepas mencatatkan kegagalan sebanyak 24.3% pada SPM 2022, dan 25.5% pada SPM 2021. Peratus ini merangkumi murid yang memperolehi gred G (Gagal) dalam Matematik. Dalam analisis keputusan SPM 2024 yang diumumkan baru-baru ini, mata pelajaran Matematik sekali mencatatkan kadar kegagalan yang tinggi iaitu 22.4%. Walaupun kadar ini dilihat semakin menurut dari tahun ke tahun, kita perlu maklum bahawa Matematik adalah mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh semua calon, manakala mata pelajaran Matematik Tambahan hanya perlu diambil oleh calon yang mengambil jurusan sains tulen.

Di peringkat menengah rendah, berdasarkan data pentaksiran TIMSS, untuk pencapaian Matematik, Malaysia menunjukkan purata skor 519 pada tahun 1999, 508, 474, 440, 465, 461 dan 411, masing-masing untuk tahun 2003, 2007, 2011, 2015, 2019 dan 2023. Hal ini seterusnya menunjukkan bahawa pencapaian murid Malaysia untuk Matematik pada TIMSS 2023 merupakan yang terendah dalam sejarah penglibatan Malaysia dalam pentaksiran tersebut. Sampel kajian untuk TIMSS 2023 merupakan murid tingkatan dua pada tahun 2023. Pentaksiran PISA pula mentaksir pengetahuan dan kemahiran murid berusia 15 tahun dalam matematik, membaca dan sains. Pentaksiran ini mengkaji sejauh mana murid boleh menyelesaikan masalah kompleks, berfikir secara kritis dan berkomunikasi dengan berkesan. Ini memberikan gambaran tentang sejauh mana sistem pendidikan mempersiapkan murid untuk menghadapi cabaran kehidupan sebenar dan kejayaan pada masa hadapan. Malaysia menyertai PISA buat pertama kalinya pada tahun 2010. Skor purata skor kitaran PISA yang terkini iaitu 2022 menurun berbanding 2018 dalam matematik, malah lebih rendah daripada skor pada 2012. Dalam tempoh terkini (2018 hingga 2022), jurang antara murid berprestasi tertinggi (10% teratas) dan murid paling lemah (10% terbawah) mengecil dalam matematik. Dalam matematik, hampir semua murid menunjukkan prestasi yang lebih lemah, namun murid berprestasi tinggi mengalami penurunan lebih ketara berbanding murid berprestasi rendah.

Dalam Laporan Bank Dunia 2024 yang bertajuk, “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills”, dalam konteks ASEAN, SEA-PLM (Southeast Asia Primary Learning Metrics) mengukur kemahiran asas dalam membaca dan matematik di peringkat sekolah rendah. Dalam Matematik, hampir 36 peratus murid Tahun 5 tidak memiliki kemahiran yang setara dengan tahap pembelajaran mereka. Dibandingkan dengan Vietnam yang mempunyai pelaburan pendidikan yang lebih rendah berbanding Malaysia, hanya 8 peratus murid Tahun 5 Vietnam yang tidak mencapai tahap kemahiran ini. Lebih membimbangkan, di Malaysia, hanya 6 peratus murid berada dalam kumpulan prestasi tertinggi (Band 9), berbanding 41.8 peratus murid di Vietnam yang mencapai tahap ini.

Rumusannya, pencapaian Matematik murid Malaysia menunjukkan trend membimbangkan di semua peringkat pendidikan. Di sekolah rendah, kajian SEA-PLM mendedahkan 36% murid Tahun 5 tidak menguasai kemahiran asas matematik, manakala pada peringkat menengah rendah, data TIMSS 2023 mencatatkan skor terendah (411) dalam sejarah penyertaan Malaysia, menunjukkan kemerosotan berterusan sejak 1999. Pentaksiran antarabangsa PISA turut mengesahkan trend negatif ini, dengan skor matematik 2022 lebih rendah berbanding 2018 dan 2012. Di peringkat menengah atas, kadar kegagalan Matematik SPM kekal membimbangkan (22.4% pada 2024), walaupun menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya (23.2% pada 2023).