Teknologi Pemangkin Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Teknologi Pemangkin Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

Dalam sistem pendidikan di Malaysia, seseorang murid itu dikatakan menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) apabila mereka dapat menjawab serta berhujah terhadap soalan-soalan yang berada pada tahap kognitif mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta iaitu dengan merujuk kepada Taksonomi Bloom semakan semula. Tahap mencipta merupakan tahap yang tertinggi sekali. Di atas kertas soalan mahupun peperiksaan, agak sukar bagi guru menyediakan soalan atau aktiviti untuk menilai kemampuan murid pada tahap mencipta. Persoalannya, bagaimana para guru dapat memastikan bahawa murid-murid dapat mencapai tahap pemikiran tertinggi tersebut semasa berlangsungnya proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah? Salah satu caranya ialah dengan menggunakan teknologi pendidikan dan dalam matematik, salah satu teknologi yang boleh digunakan ialah perisian geometri dinamik. Contohnya, untuk menguji tahap mencipta murid dalam topik Penjelmaan Tingkatan Dua, murid diminta untuk mencipta sebuah kipas angin berdasarkan kepada konsep-konsep yang dipelajari dalam topik tersebut serta pengetahuan sedia ada yang lain. Mungkin untuk jangka masa yang panjang serta dengan bekerja secara berpasukan, ianya boleh direalisasikan. Namun, untuk mendapatkan maklumbalas yang segera seterusnya menunjukkan tahap mencipta tersebut berjaya dipamerkan oleh murid, ianya boleh dilakukan dengan bantuan teknologi khususnya perisian geometri dinamik yang mana dalam persekitaran pembelajaran tersebut, murid dapat mensistesis pelbagai konsep matematik yang membawa kepada terciptanya ‘kipas angin’ tersebut. Selain itu, banyak kajian lepas yang menunjukkan bahawa penggunaan perisian komputer khususnya perisian geometri dinamik mampu menjana KBAT murid dalam matematik.

Persekitaran perisian geometri dinamik berupaya mengembangkan pengalaman matematik konkrit murid kepada ke tahap yang lebih formal iaitu abstraks, memupuk semangat murid membentuk konjektur, dan untuk meningkatkan pemikiran matematik murid. Penggunaan perisian geometri dinamik juga dapat meningkatkan daya ingin tahu dan pemikiran murid, dan mencabar kebolehan intelektual murid. Cuba kita pertimbangkan dua cara tersebut untuk menyampaikan satu konsep yang sama tetapi melibatkan penggunaan tahap kemahiran berfikir murid yang berbeza. Cara pertama, guru hanya menyampaikan sesuatu formula atau konsep matematik, dan kemudiannya murid mengaplikasikannya dalam jalan pengiraan. Cara kedua ialah, murid dibimbing untuk menemui sendiri formula atau sesuatu konsep matematik. Dengan lain perkataan, murid tidak disuapkan dengan sesuatu konsep, prinsip, rumus dan sebagainya, sebaliknya mencari sendiri konsep tersebut. Penulis percaya ramai yang akan bersetuju bahawa cara kedua lebih menjana KBAT murid dan salah satu alat bantu mengajar yang boleh digunakan dalam cara kedua tersebut ialah perisian geometri dinamik. Cara kedua tersebut lebih dikenali sebagai strategi pembelajaran secara penemuan. Strategi pembelajaran secara penemuan telah lama dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran matematik sekolah menengah.

Menurut Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), strategi pengajaran seperti ini dapat merangsangkan lagi suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam mahu pun di luar bilik darjah di samping dapat menjana KBAT murid. Strategi pengajaran sebegini semakin berkesan dan mudah dilaksanakan dengan bantuan perisian geometri dinamik. Ini kerana untuk menemui sesuatu konsep, murid akan membentuk konjektur mereka sendiri hasil daripada pemerhatian mereka terhadap data-data dan melihat pola yang terhasil. Dengan adanya perisian geometri dinamik, murid boleh membina, mengukur, mengubah dan meneroka bentuk-bentuk geometri serta boleh mengubah pelbagai bentuk tanpa perlu membinanya semula. Nilai-nilai ukuran panjang, sudut dan sebagainya, serta hasil operasi tertentu juga dapat diperhatikan secara terus oleh murid melalui perisian geometri dinamik. Aktiviti yang memberi peluang kepada murid untuk melihat sebanyak mana contoh hanya dalam beberapa saat dan menyediakan maklum balas serta merta yang tidak dapat diperolehi daripada pembelajaran tradisional biasa. Konjektur yang dibentuk oleh murid hasil daripada aktiviti pengajaran penemuan berbantukan perisian geometri dinamik ini kemudiannya boleh dijadikan asas perbincangan dengan murid-murid lain. Aktiviti-aktiviti pembelajaran seperti inilah yang dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan di samping menjana KBAT murid.

Teknologi seperti perisian geometri dinamik ini juga boleh diintegrasikan ke dalam strategi pembelajaran secara kontekstual yang dapat melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on. Strategi pembelajaran secara kontekstual merupakan satu lagi strategi pembelajaran yang dapat menjana KBAT murid. Secara umumnya, pembelajaran secara kontekstual merupakan pembelajaran yang menghubungkaitkan konsep yang dipelajari dengan aktiviti kehidupan sebenar. Perisian geometri dinamik boleh memainkan peranan untuk menggabungkan isi kandungan matematik dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Satu kajian yang telah dilaksanakan mendapati, kombinasi penggunaan perisian geometri dinamik dengan gambar-gambar digital yang menunjukkan kehidupan seharian murid memberi kesan yang positif terhadap pencapaian dan pengekalan pengetahuan murid dalam matematik.

Kesimpulannya, terdapat banyak lagi teknologi pendidikan selain perisian geometri dinamik yang telah dibekalkan di sekolah-sekolah. Ini tidak termasuk teknologi pendidikan hasil inisiatif dan inovasi guru sendiri. Kepelbagaian teknologi pendidikan ini sekiranya dimanfaatkan mampu menjana KBAT murid sebagaimana yang ditekankan oleh KPM sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, sebelum teknologi dapat dimanfaatkan sepenuhnya, guru perlu mempunyai persepsi positif terhadap penggunaan teknologi dan bukan menganggapnya sebagai satu bebanan.
Dr. Abdul Halim Abdullah, UTM
Ruangan Forum, Berita Harian
7.06.2014 (Sabtu)

Speak Your Mind

*