Keputusan positif yang dicatatkan oleh pelajar Malaysia dalam pentaksiran TIMSS 2015 ini memperlihatkan kesan positif hasil daripada transformasi pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 memberi penekanan kepada konsep kemahiran berfikir aras tinggi. Kemahiran berfikir adalah antara enam ciri utama pelajar yang menjadi aspirasi kementerian untuk bersaing di peringkat global. Walau bagaimanapun kejayaan ini bukanlah pentanda untuk kita terus berada dalam kedudukan yang selesa. Apatah lagi kerajaan menyasarkan untuk Malaysia mencatatkan 500 mata bagi subjek Sains dan Matematik dalam TIMSS yang seterusnya iaitu pada tahun 2019. Hal ini dilihat penting kerana skor yang dicatatkan oleh pelajar di sesebuah negara melambangkan kemahiran yang dimiliki oleh mereka. Dalam subjek Matematik umpamanya, TIMSS telah menetapkan penandaarasan iaitu sekiranya pelajar di sesebuah negara mencatatkan skor minimum 400, pelajar-pelajar di negara tersebut hanya mempunyai pengetahuan dalam nombor, perpuluhan, operasi dan graf asas. Skor minimum 475 menunjukkan pelajar boleh mengaplikasikan pengetahuan matematik yang asas. Manakala skor minimum 550 menunjukkan pelajar di sesebuah negara tersebut mampu mengaplikasikan kefahaman dan pengetahuan mereka dalam pelbagai situasi yang kompleks secara relatif. Manakala skor tertinggi iaitu minimum 625 menunjukkan pelajar boleh mengorganisasi dan membuat kesimpulan daripada maklumat, membuat generalisasi dan menyelesaikan masalah bukan rutin. Kalau diimbas kembali skor-skor dalam subjek Matematik yang dicatatkan oleh pelajar Malaysia dalam TIMSS 1999, 2003, 2007, 2011 dan 2015, kita boleh kenalpasti dan menilai sendiri kemahiran-kemahiran yang dimiliki oleh pelajar di Malaysia. Justeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggariskan enam inisiatif dalam menjayakan TIMSS 2019, dan salah satu daripadanya ialah kemahiran pedagogi abad ke-21. Kemahiran pedagogi abad ke-21 merupakan salah satu ciri guru dalam pendidikan abad ke-21.
Terdapat banyak pendapat mengenai definisi pendidikan abad ke-21. Istilah yang digunakan juga pelbagai iaitu sama ada “kelas abad ke-21”, “pendidikan abad ke-21”, “pembelajaran abad ke-21” mahupun “pembelajaran dan pengajaran abad ke-21”. Walau apa pun definisi yang diberikan ianya mempunyai ciri sepunya iaitu satu konsep yang diperkenalkan untuk menyediakan pembelajaran yang berpusatkan kepada pelajar dan mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif serta pelajar belajar secara kolaboratif sama ada dengan bahan bantu belajar, sesama rakan, guru dan persekitaran. Guru pula bertindak sebagai fasilitator yang sentiasa memberi galakan kepada pelajar berfikir sehingga mampu menyelesaikan masalah dan membuat keputusan seterusnya mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik. Sehubungan itu, guru perlu mempunyai ciri-ciri tertentu sebagai pendidik abad ke-21. Merujuk kepada Buletin Transformasi Pendidikan Malaysia bil 5/2015, terdapat enam ciri guru abad ke-21 iaitu, 1) menguasai subjek iaitu kandungan kurikulum, 2) mahir dan berketerampilan dalam pedagogi, 3) memahami perkembangan pelajar dan menyokong mereka, 4) memahami psikologi pembelajaran, 5) memiliki kemahiran kaunseling, dan 6) menggunakan teknologi terkini. Pembelajaran dan pengajaran abad ke-21 diperkenalkan sejajar dengan perlaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Pengetahuan kurikulum merupakan salah satu teras pengetahuan asas yang perlu dikuasai oleh guru. Selepas kurikulum dibentuk dan diperkenalkan, golongan pelaksana kurikulum tersebut iaitu guru harus memainkan peranan seterusnya bagi memastikan hasrat yang terkandung dalam kurikulum mampu bertukar realiti. Selain kurikulum, guru perlu mempunyai pengetahuan pedagogi mengenai cara-cara untuk menyampaikan ilmu dengan berkesan di samping menguasai pengetahuan isi kandungan perkara yang perlu diajar. Pengetahuan pedagogi isi kandungan merupakan nadi seorang pendidik dan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Pengetahuan pedagogi isi kandungan adalah satu pengetahuan yang unik bagi seorang guru untuk menggambarkan cara guru mengintegrasikan pedagogi terhadap isi kandungan atau perkara yang ingin disampaikan. Antara pedagogi yang selari dengan konsep kelas abad ke-21 termasuklah pembelajaran secara kontekstual, pembelajaran koperatif, pembelajaran kolaboratif, pembelajaran berasaskan projek dan penyelesaian masalah. Malah peranan guru lebih mencabar apabila ketika ini banyak pendekatan yang diperkenalkan dan dititikberatkan dalam sistem pendidikan. Antaranya kurikulum semua mata pelajaran STEM yang menekankan konsep mendidik pelajar dengan mengintegrasikan dan mengaplikasikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dalam konteks dunia sebenar.
Menguasai kemahiran mengesan perkembangan pelajar dan menyokong mereka bermaksud guru perlu mempunyai kemahiran merancang program bagi menyokong dan membantu perkembangan pelajar melalui strategi kepelbagaian kaedah atau aktiviti pelajar, analisis data dari aspek perkembangan pelajar (jasmani, emosi, rohani dan intelek) dan sebagainya. Menguasai kemahiran psikologi pembelajaran memerlukan guru berkebolehan memahami tingkahlaku setiap pelajar untuk memahami pertumbuhan dan perkembangan pelajar seperti meramal tingkahlaku, memberi motivasi dan sebagainya serta menghubungkaitkan dengan proses pembelajaran dan pengajaran di dalam mahupun di luar bilik darjah. Selain itu, memiliki kemahiran kaunseling juga antara ciri guru abad ke-21 yang mana guru-guru perlu mempunyai asas dalam bidang kaunseling dalam pembelajaran dan pengajaran untuk menggalakkan dan meningkatkan potensi pelajar serta mendorong mereka supaya lebih yakin dengan kemampuan diri. Baru-baru ini tersebar satu gambar di media-media sosial yang menunjukkan seorang guru tahun enam sekolah yang sedang menyuapkan makanan kepada seorang calon UPSR yang patah pergelangan tangan kanannya. Sikap guru tersebut membuktikan guru bukan sekadar pendidik, tetapi juga seorang ibu dan kaunselor yang sentiasa menggalakkan dan meningkatkan potensi pelajar. Di era teknologi ini juga, guru-guru abad ke-21 perlu mempunyai kemahiran menggunakan media dan teknologi maklumat terkini. Guru perlu memanfaatkan penggunaan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Tambahan pula, apabila guru berhadapan dengan generasi digital pada masa kini, guru tiada pilihan. Kemahiran menggunakan komputer, teknologi dan ICT juga semestinya perlu ada pada guru-guru abad ke-21 ini.
Check out Average Ranking Based on Top 8 Ranking Organizations Babasaheb Bhimrao Ambedkar Bihar University Muzaffarpur Babasaheb Bhimrao Ambedkar Bihar University Muzaffarpur Rankings in UNIRANKS, Shanghai ARWU, THE, Round Ranking, QS, SCImago, US News, Webometrics | Quantum Average Ranking