Babah keluar bilik senyap-senyap untuk ke ruang tengah. Nampak gaya ibu, kakak dan adik dah tidur selepas layan Netflix tadi. Malam masih awal bagi babah. Jadi babah buka laptop untuk baca draf tesis pelajar. Line clear, detik babah dalam hati. Sewaktu bujang dahulu, babah boleh baca tesis sampai lewat pagi. Kalau jam 2 atau 3 pagi rasa lapar, siap boleh keluar pergi kedai mamak yang buka 24 jam. Kemudian balik, sambung buat kerja sampai subuh. Lepas tu baru tidur. Tapi itu rutin hujung minggu lah.
Tapi tadi, rasanya babah baru baca muka surat pertama, tiba-tiba muncul seorang makhluk kecil datang ke arah babah. Laaa..kakak rupanya. Ingatkan dia dah tidur. Adik dia demam dan selesema. Alhamdulillah setakat tadi, dia belum berjangkit. Harapnya tak berjangkitlah walaupun tak pernah lagi berlaku sebelum-sebelum ini. Jadi ibu ngempengkan si adik yang asyik merengek. Mungkin si kakak rasa tersisih, dia datang kepada babahnya. Baru tahu nak cari babah kan.
Babah kalau dengan anak-anak memang akan kalah. Terus cair dan sering tewas. Kakak nak minta kena bobok dan urutlah tu. Jadi babah tutup laptop dan tidurkan dia kat bilik satu lagi sebab taknak dia kacau adik dia yang baru nak lena. Kehidupan babah sejak ada anak-anak ni memang berubah 360 darjah. Tiada istilah buat kerja lewat malam, lepak minum kopi dengan kawan, main bowling atau tengok wayang. Hari bekerja, siang pergi kerja, petang ke malam masa untuk mereka. Hujung minggu, kalau ada masa, curi-curi sedikit buat kerja. Itulah realiti hidup berkeluarga dan babah bersyukur seadanya.
Masa bujang dahulu, hatta nak cari sehelai t-shirt sekalipun pergi JPO. Balik kerja pergi gym Celebrity Fitness. Ikut trend gaya hidup terkinilah kononnya. Huhu. Sekarang babah beli t-shirt 3 helai RM50 je. Kasut pun dulu jenama Nike, Adidas atau Crocodile. Sekarang babah tak kisah pakai kasut jenama Bata. Betapa kehadiran anak-anak ini mengajar babah erti kesederhanaan. Setiap kali gaji, perkara pertama dalam fikiran babah ialah bayaran pengasuh mereka, stok makanan mereka, pampers, susu dan sebagainya. Bakinya barulah babah fikir untuk babah dan ibu.
Alhamdulillah. Sepanjang tahun 2022 babah melihat anak-anak babah membesar depan mata. Daripada mereka meniarap, merangkak, duduk, memapah, berjalan, berlari sehinggalah sekarang memanjat. Babah bersyukur melihat perkembangan anak-anak yang positif. Semasa temujanji dengan klinik kesihatan baru-baru ni jururawat maklumkan, berat dan tinggi kakak dah seiring macam perkembangan bayi full term. Cuma adik, tingginya belum memuaskan. Rancangnya nak cari trampolin untuk bagi mereka lompat-lompat.
Babah akan sentiasa doakan semoga kakak dan adik terus membesar dengan baik dan sihat untuk tahun-tahun mendatang. Terima kasih ya Allah atas anugerah terindah ini.
Selamat datang 2023!