[Throwback] Pengalaman Pertama Anak-Anak Naik Kapal Terbang

2 Disember 2022

Anak-anak demam dan selesema. Ibu kerja. Ibu kata nak hantar pengasuh, tapi babah kata, takpa biar babah yang jaga. Walaupun malam tadi tidur asing-asing, seperti biasa, akhirnya kedua-dua akan demam jua. Silap hari bulan, babah dan ibu juga akan turut tumbang. Hari ni babah nekad nak pastikan mereka sihat. Bukan apa, inshaAllah lusa kami akan terbang ke Langkawi. Pengalaman pertama mereka menaiki kapal terbang. Kalau flight delay, babah okay lagi. Babah dah tetapkan minda untuk bagi anak-anak seronok. Beberapa hari lepas dah dapat notifikasi perubahan masa dari AirAsia. Ahad ini bersedia lah kalau delay. Sedangkan bukan musim hujan pun asyik delay, inikan pula musim hujan. Tapi babah dah sedia untuk itu. Tapi kalau mereka tak sihat, babah dan ibu jua yang tak senang hati. Cepat-cepat sembuh ya kakak dan adik. Babah dan ibu dah plan macam-macam kat Langkawi nanti.

4 Disember 2022

Off to Langkawi

5 Disember 2022

Alhamdulillah. Hari kedua baru boleh berjalan.

Seperti yang diketahui, anak-anak demam dan selesema tiga hari sebelum berlepas ke Langkawi. Macam-macam kami dah buat. Letak kunyit hidup, suruh mereka hirup wap panas air rebusan lemon, sembur sterimar dan macam-macam lagi untuk pastikan mereka sihat sebelum berlepas. Semalam, satu jam sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Senai, sempat singgah di Pusat Kesihatan Universiti untuk check adik disebabkan ada biji-biji kecil tumbuh di badan. Kalau semalam doktor kata demam campak, memang kami batalkan sahaja percutian kami ke Langkawi. Tapi Alhamdulillah, doktor kata alergik sahaja.

Setelah kakak dan adik semakin pulih dari demam, ibu mereka pula tumbang semalam. Kata orang, biar ayah yang demam, jangan ibu. Sebab kalau ibu yang tak sihat, semua perancangan tak menjadi kenyataan. Memang betul. Kami duduk dalam bilik sahaja semalam. Makan malam pun order Grab sahaja. Jam 8 malam dah tutup lampu.

Hari ini, giliran babah pula sakit tekak dan demam. Penangan menyedut kahak dan hingus kembar setiap hari. Tapi babah gagahkan jua demi anak-anak. Bawa jalan-jalan sejauh yang mampu. Hari ini hanya ke Underwater World, makan tengahari di Warung Nasi Dagang Pak Malau dan sebelah petang, bawa kembar main pasir di pantai dan mandi kolam.

Esok tak tahu lagi. We just go with the flow.

Sesungguhnya kita hanya merancang. Allah S.W.T adalah sebaik-baik perancang.

وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ (al-Imran : 54)

Underwater World Langkawi
Kedai Nasi Dagang Pak Malau

6 Disember 2022

Kalaulah kakak dan adik dah petah berkata-kata, pasti mereka berdua dah membawang sesama mereka. Barangkali mereka berkata, “kakak, semalam kita tengok ikan, hari ni kita tengok burung”..”iyalah adik, kita datang Langkawi ni semata-mata nak tengok binatang ke?”.. Hahaha.. dah kakak dan adik, jangan membawang. Tujuan utama babah dan ibu bawa kakak dan adik ke Langkawi ni untuk bagi pengalaman kakak dan adik naik kapal terbang. Banyak tempat sebenarnya kami pertimbangkan; Sabah, Terengganu, Penang tapi akhirnya Langkawi menjadi pilihan. Babah dah enam kali menjejakkan kaki ke pulau lagenda ini tapi kali pertama menggunakan penerbangan terus dari Senai ke Langkawi.

Babah pilih hotel yang bertaraf 4 bintang. Dapatlah diskaun sikit sebab kakitangan kerajaan. Kami suami isteri memang sepakat tak ambil kereta sewa sebab memang tahu memang takkan ke mana-mana sangat. Kebetulan anak-anak dan isteri baru nak beransur sihat dan babah sedang demam. Jadi tiada penyesalan memilih hotel yang ada private pool dan beach. Bilik pun sangat selesa.

Hari ini, cuaca agak panas. Perancangan asal nak ke Gunung Mat Cincang untuk menaiki kereta kabel. Tapi dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Dah alang-alang bersiap untuk keluar, kami membuat keputusan ke Wildlife Park. Hampir satu jam masa meluangkan masa di situ, kami ke Pekan Kuah untuk membeli coklat. Cuma saya dan isteri agak hairan kerana harga coklat di situ tak adalah murah sangat seperti dahulu. Malah tidak jauh beza harganya dengan coklat-coklat yang ada di pasaraya. Tapi dah alang-alang berada di Kompleks Haji Ismail Group, kami belilah sedikit untuk buat syarat. Tambahan pula, saya taknak tambah berat bagasi yang ibunya angkut semua termasuk periuk nasi dan beras. Sempat makan tengahari di Pekan Kuah walaupun rasa macam tak makan sebab kedua-dua si cilik ni dah mengamuk kepenatan. Petang tadi sambung luangkan masa di tepi pantai dan kolam.

Secara peribadi, saya perhatikan, Langkawi tidak semeriah dahulu. Sepanjang bersembang dengan penduduk tempatan, industri pelancongan di Langkawi sangat terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19. Ketika itu, periuk nasi mereka sangat terjejas. Banyak hotel dijual, lot tanah diiklankan dan kedai ditutup. Mereka kini seolah-olah sedang membina semula perniagaan mereka. Saya gembira juga dapat membantu penduduk tempatan mencari sumber pendapatan mereka. Kata orang, melancong sambil membantu industri pelancongan tempatan. Kalau dahulu, banyak penerbangan terus dari negara-negara lain seperti China dan Asia Tengah mendarat di Langkawi tetapi sekarang masih belum disambung lagi.

InshaAllah esok kami akan pulang ke Johor Bahru. Mudah-mudahan Langkawi akan kembali meriah sebagaimana satu ketika dahulu.

Langkawi Wildlife Park