Tips Panduan Melancong ke Luar Negara

Saya ambil artikel ini dan ubah suai daripada akhbar Berita Harian bertarikh 6 September 2019 m/s:60. Berikut merupakan tips panduan melancong ke luar negara.

Sumber gambar: https://seda.college/essential-accessory-baggage/viajes/
  1. Pastikan anda membawa pasport yang merupakan dokumen paling penting yang wajib anda ada. Ia ibarat “nyawa” anda sekiranya berada di luar negara. Pastikan juga pasport anda masih berada pada tempoh yang sah dan sah enam bulan dari takikh perjalanan ke luar negara anda.
  2. Pastikan anda menyediakan wang mencukupi sepanjang tempoh pengembaraan anda di luar negara. Saya masih ingat lagi ketika saya ke Kazakhstan pada tahun 2017 yang mana tiada pengurup wang (money changer) di Malaysia yang menyediakan pertukaran wang duit Malaysia ke matawang Kazakhstan. Jadi, saya tukarkan RM ke USD di Malaysia terlebih dahulu, sebelum menukarkannya ke Kazakhstani tenge semasa berada di Kazakhstan. Wang yang disediakan akan digunakan untuk penginapan, pengangkutan, makan minum, tiket tempat lawatan, pembelian cenderahati dan sebagainya. Pastikan juga anda aktifkan penggunaan kad ATM mahupun kad kredit untuk penggunaan antarabangsa sebagai backup sekiranya wang tidak mencukupi semasa anda berada di luar negara.
  3. Sebaik-baiknya anda menempah tiket penerbangan seawal enam atau sembilan bulan sebelum bertolak ke mana-mana destinasi luar negara pilihan anda. Ini kerana, semakin awal anda menempah, semakin murah harga tiket kapal terbang.
  4. Sebelum ke luar negara, anda perlu maklum bahawa terdapat sesetengah negara yang memerlukan anda memiliki visa untuk masuk atau melancong ke sesebuah negara tertentu. Contohnya, China, India dan Australia. Untuk mengetahui negara mana yang memerlukan visa untuk rakyat Malaysia, anda boleh layari laman web berikut https://en.wikipedia.org/wiki/Visa_requirements_for_Malaysian_citizens
  5. Bagi tujuan keselamatan dan langkah berjaga-jaga, anda perlu menyimpan duit kecemasan di tempat yang tersorok di dalam bagasi yang mana duit tersebut boleh kita gunakan ketika anda ditimpa masalah dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, sekurang-kurangnya anda masih ada duit simpanan untuk digunakan bagi mendapatkan bantuan dan perdi membuat laporan di balai polis. Berdasarkan pengalaman saya, saya juga simpan nombor telefon pejabat kedutaan Malaysia di negara-negara yang bakal saya kunjungi. Ia penting sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
  6. Anda dinasihatkan untuk membuat sedikit “homework” mengenai negara atau bandar yang bakal anda kunjungi. Hal ini penting bagi anda membuat persiapan dan persediaan yang sewajarnya sebelum bertolak. Contohnya, harga tiket ke tempat-tempat menarik yang anda ingin kunjungi, stesen-stesen subway atau tram yang anda perlu turun, dan sebagainya. Jadi anda boleh merancang perbelanjaan dan perjalanan anda di sana. Begitu juga dengan hal keselamatan. Saya pernah ke Madrid, Spain yang mana saya dimaklumkan terdapat ramai pickpocket di sana. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga, saya menyimpan duit dan pasport di tempat yang selamat semasa berada di sana.
  7. Internet sangat penting semasa berada di luar negara. Dengan internet, anda boleh sampai ke sesuatu destinasi menggunakan aplikasi yang ada. Jadi buatlah sedikit “homework” mengenai pelan internet yang murah tetapi mempunyai liputan yang meluas di destinasi percutian yang ingin ditujui. Saya masih ingat lagi ketika mengunjungi Seoul dan Busan pada tahun 2016 yang mana saya menempah portable wifi semasa berada di Malaysia. Saya perlu mengambilnya di lapangan terbang antarabangsa Incheon. Untuk memulangkannya, saya perlu memasukkannya ke dalam sampul surat dan meminta receptionist hotel mengeposkannya. Sangat efisien dan mudah.
  8. Saya sememangnya seorang yang sangat well-planned. Jadi nasihat saya, simpan segala dokumen dalam satu fail seperti itinerary penerbangan, peta lokasi dan sebagainya. Hal ini penting untuk melancarkan perjalanan anda sebelum berlepas dan sepanjang berada di luar negara.
  9. Anda juga perlu ketahui perbezaan waktu antara Malaysia dengan negara yang bakal anda lawati. Contohnya, waktu di Seoul adalah 1 jam lebih awal dari Malaysia, manakala waktu di Dubai ialah lewat 5 jam dari Malaysia.
  10. Anda juga dinasihatkan untuk menyemak muatan bagasi yang dibenarkan sewaktu pergi dan balik dari sesebuah negara. Contohnya, semasa saya terbang ke Seoul menggunakan Malaysia Airlines (MAS), saya diberikan muatan bagasi sebanyak 30kg. Jadi awal-awal lagi saya menimbang bagasi saya di rumah sebelum ke lapangan terbang untuk memastikan bagasi saya tidak melebihi muatan yang diberikan. Sekiranya anda tidak menyemak, dikhuatiri berat bagasi anda melebihi muatan yang diberikan dan anda akan dicaj untuk setiap lebihan berat bagasi. Selain itu, anda juga perlu peka tentang barangan yang tidak boleh dibawa masuk ke dalam pesawat untuk penerbangan antarabangsa. Ini kerana terdapat barangan yang boleh dibawa masuk ke dalam pesawat untuk penerbangan domestik tetapi tidak untuk penerbangan antarabangsa.