MAJLIS PELANCARAN PROGRAM BANGSA JOHOR BAHAGIA

 

Program Bangsa Johor Bahagia telah dilancarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor pada 17 Mac 2019 bersamaan 10 Rajab 1440 Hijrah bertempat di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

 

Program Bangsa Johor Bahagia ini adalah sebuah projek komuniti di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.  Komunitinya adalah di Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai.

 

Pusat Teknologi  Maklumat dan Komunikasi (CICT) telah mengadakan dua kali Program Bangsa Johor Bahagia iaitu pada 6 Oktober 2018 dan 9 Mac 2019.  CICT telah menganjurkan program yang berbentuk IT seperti mengadakan Bengkel Penggunaan Media Sosial (Pengenalan Facebook, Instagram, Laman Web) dan aktiviti-aktiviti yang berpotensi ke arah penjanaan ekonomi secara ‘online’.  Program ini telah diadakan di Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai dan CICT.

 

Program CICT selanjutnya akan diadakan pada 6 April 2019 dan 13 April 2019.

 


 

 

 

      

PROGRAM CSR BANGSA JOHOR BAHAGIA SIRI KE-2

Seramai 10 orang staf Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT) telah bertugas sebagai sukarelawan untuk Program CSR Bangsa Johor Bahagia yang telah diadakan di Bilik Latihan 1, Aras 2, CICT.   Program yang berlangsung pada 9 Mac 2019, bermula dari jam 2.00 – 5.00 petang telah disertai oleh 37 orang peserta dewasa dan 7 orang kanak-kanak dan merupakan siri kedua yang sebelum ini telah diadakan pada 6 Oktober 2018 di Pangsarpuri Kangkar Pulai dan CICT.

 

Dalam program siri ke-2 ini, pihak CICT telah mengadakan ‘Bengkel Pemerkasaan Penggunaan Media Sosial, Siri 2’ kepada peserta dewasa.  Ia adalah berkaitan Pengenalan kepada Facebook (FB) dan Instagramn (IG) juga perlantikan sebagai Admin dan Editor untuk FB dan IG.  Peserta kanak-kanak pula diadakan peraduan melukis gambar berpandukan pemerhatian aktiviti BJB di Pangsapuri mereka pada sebelah pagi.

 

Dalam bengkel ini diajar bagaimana cara mewujudkan hebahan produk/aktiviti, kongsi photo/video, laksana calendar aktiviti dan wujudkan acara, pengurusan maklumat dan penyelarasan FB dan IG.

 

Fasilitator terdiri daripada Puan Zuraida binti Abdul Ghani, Encik Mohd Jamhari bin Mohd Rafee berserta Puan Siti Hajar binti Mohd Noh, Cik Norazreen binti Ismail, Unit Rangkaian terdiri daripada Encik Mohd Zihan bin Abdul Aziz dan Unit Teknikal adalah Encik Mohamad Amirul Aliff bin Shahri.  Puan Ruziah binti Abd Rahman dan Puan Rokiah bte Othman bertindak sebagai Urusetia Program dan Encik Mohd Safudin bin Nordin selaku Fotografi.  Turut serta dalam program ini adalah Profesor Dr Rose Alinda bt Alias, Ketua Program dan Puan Siti Faridah bt Shaikh Abd. Rahman, Puan Aniza bt Ali serta Cik Kauthsar bt Daud.  Turut membantu dalam program ini adalah Dr. Nazmona bt. Mat Ali.

 

Peserta bertolak balik ke Pangsapuri Kangkar Pulai pada jam 5.10 petang setelah selesai sesi bergambar beramai-ramai bersama-sama sukarelawan CICT.

MESYUARAT BERSAMA PENDUDUK FLAT NURI KANGKAR PULAI

Seramai 5 orang staf dari Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT) telah menghadiri perjumpaan bersama dengan penduduk Pangsapuri Nuri, Kangkar Pulai pada 4 Mac 2019.  Mesyuarat bersama 8 orang penduduk pangsapuri tersebut bermula pada jam 10.00 pagi bertempat di Bilik Gerakan Nuri Kangkar Pulai.

 

Mesyuarat mengenai program ‘Bangsa Johor Bahagia’ yang akan diadakan di CICT pada 9 Mac 2019 untuk penduduk Pangsapuri Nuri, Kangkar Pulai yang berkaitan dengan IT.

 

Hasil dari mesyuarat bersama penduduk Pangsapuri Kangkar Pulai tersebut adalah seperti berikut:-

 

    1. Tahap ICT sangat rendah, jadi sukar untuk mencari peserta bagi dilatih.
    2. Peserta harus terbuka tanpa mengira umur. Yang penting ialah minat dan mahu menjadi Champion.
    3. Peserta mahukan imbuhan seperti top-up, sebagai syarat penyertaan.
    4. Fokus utama sasaran Komuniti Digital mengikut priority adalah;
        • Remaja
        • Kanak2
        • Surirumah

 

Mesyuarat selesai pada jam 1.00 tengahari.

 

‘WORK TIME LEARNING’ Bersama Dr. Mohd. Adib Bin Sarijari

 

Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT) telah mengadakan Sesi ‘WORK TIME LEARNING’ Bersama Dr. Mohd. Adib Bin Sarijari, Fellow Akademik IT CICT kepada Bahagian Pengurusan Pembangunan Aplikasi (ADM), CICT.  Sesi ini telah diadakan pada 24 Februari 2019 bertempat di Gelerium, Aras 2, CICT.

 

Sesi yang bermula jam 10.00 pagi dan diketuai oleh Dr. Mohd Murtadha bin Mohamad, Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Pembangunan Aplikasi (ADM) untuk Pegawai IT ini bertujuan memberi pendedahan kepada semua staf Bahagian Pengurusan Pembangunan Aplikasi (ADM) tentang projek pembangunan sistem pengurusan sisa pepejal.

 

Sistem ini dibangunkan oleh pasukan yang diketui oleh Felo Akademik CICT, Dr. Mohd. Adib Bin Sarijari yang mengambil masa kurang dari tiga minggu.  Sistem yang berkonsepkan IOT ini bakal digunakan oleh Pejabat Harta Bina dan kontraktor pengutipan sisa pepejal di lebih 100 pusat pengumpulan sampah di UTM Johor Bahru.  Pendedahan kepada sistem yang baharu ini diharapkan dapat memperkasa pengetahuan staf ADM.

 

‘WORK TIME SHARING’ Bersama Dr Mohd Razak Bin Samingan

Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT) telah mengadakan Sesi ‘WORK TIME SHARING’ Bersama Dr Mohd Razak Bin Samingan, Fellow Akademik IT CICT untuk Bahagian Pengurusan Pembangunan Aplikasi (ADM), CICT.  Sesi ini telah diadakan pada 25 Februari 2019 bertempat di Gelerium, Aras 2, CICT.

 

Sesi yang bermula jam 10.00 pagi dan diketuai oleh Dr. Mohd Murtadha bin Mohamad, Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Pembangunan Aplikasi (ADM) bertujuan memberi peluang kepada pegawai-pegawai Teknologi Maklumat Gred 41 dan ke atas di Bahagian Pengurusan Pembangunan Aplikasi (ADM) untuk mendapatkan khidmat nasihat Fellow Akademik IT, Dr Mohd Razak Bin Samingan.  Antara permasalahan yang ditimbulkan adalah pengurusan sumber aplikasi mobile dan penyelesaiannya.

 

Sesi taklimat selesai pada jam 11.00 pagi.

 

PROGRAM GOTONG ROYONG PERDANA UTM – 21 Februari 2019

Semua warga CICT dan pelajar praktikal CICT telah bersama-sama menjayakan usaha Gotong Royong Perdana UTM sebagaimana yang dihasratkan oleh Pengurusan CICT & Universiti.  Program gotong royong ini telah diadakan pada 21 Februari 2019 (Khamis), jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi mengikut lokasi zon/aras yg dinyatakan dalam maklumat seperti dilampiran.

Bagi memeriahkan lagi program gotong royong ini, staf CICT telah membawa POT LUCK mengikut bahagian masing-masing.

 

CICT mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga CICT yang telah sama-sama menjayakan program tersebut.

 

SIJIL OSHE 2019 CICT

Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT) telah menerima Sijil 5 Bintang dalam audit OSHE 2019 sempena FIESTA OSHE@UTMTTC 2019 yang telah diadakan pada 18 Februari 2019 di UTM Talent Transformation Centre (UTM TTC), Pejabat Pendaftar, UTM Johor Bahru.   Sijil tersebut telah disampaikan oleh Pendaftar UTM, Encik Abdul Razib bin Shahuddin kepada wakil CICT Encik Roslai bin Paiman.

 

CICT telah mencapai skala CEMERLANG Audit Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 2017 Kategori Bahagian/Unit UTM Johor Bahru.

 

Tahniah kepada semua warga CICT di atas anugerah tersebut.

LAWATAN AKADEMI PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (MACA) KE PUSAT TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (CICT), UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA.

Seramai 15 orang pelawat dari Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang diketuai oleh Pengarah MACA iaitu Y.Bhg. Dato’ Hj Idris Bin Zaharudin telah mengadakan lawatan ke Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT), UTM Johor Bahru pada 19 Februari 2019 [Selasa] bermula jam 10.00 pagi, bertempat di  Bilik Mesyuarat Utama, Aras 2, CICT, UTM Johor Bahru.

 

Objektif lawatan ini adalah sebagai penanda aras dan perkongsian maklumat berkaitan Sistem Pengurusan Maklumat yang digunakan oleh pihak UTM bagi menguruskan permohonan pelajar dan program yang ditawarkan UTM.  Selain itu, lawatan ini adalah untuk memberi peluang kepada pegawai / kakitangan untuk bertukar-tukar pendapat dan pengalaman di antara Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) khususnya dan UTM secara amnya.

 

Delegasi ini telah dibawa melawat ke beberapa tempat di CICT seperti Data Center dan Dewan PPICTP.

SESI TOWN HALL – PENCAPAIAN KEY AMAL INDICATIOR (KAI) 2018

 

Program Sesi Town Hall, Pencapaian Key Amal Indicator (KAI) 2018 telah diadakan pada 16 Januari 2019 bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.

 

Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT) bersama Pejabat Harta Bina (PHB) dan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) telah membuat pembentangan pencapaian prestasi bagi projek-projek 2018.  CICT diwakili oleh Profesor Madya Dr. Shahizan bin Othman, Pengarah CICT, Tuan Hj Samsudin bin Nyat dan Puan Siti Faridah bte Shaikh Abdul Rahman.

 

Staf Pengurusan Profesional & Pelaksana (PPP), Ahli Persatuan/Kelan (PERTISAS, BAKES, PERKABA DAN KKA), Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan Wakil Jawatankuasa Kolej Mahasiswa/I (JKM) turut hadir dalam program tersebut.

 

PERKONGSIAN ILMU – Pendigitalan Perkhidmatan Dari Legasi Ke Era IR 4.0 (Tuan Haji Samsudin bin Nyat)

Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT) telah mengadakan program Perkongsian Ilmu bertajuk Pendigitalan Perkhidmatan Dari Legasi Ke Era IR 4.0 pada 24 Januari 2019 jam 11.00 pagi bertempat di Dewan Senat, UTM Johor Bahru.

Ceramah telah disampaikan oleh Tuan Haji Samsudin bin Nyat mengenai pengalaman beliau dalam bidang ICT dan perkembangan ICT di UTM dari tahun 1985 hingga 2025.

Program tersebut telah dihadiri oleh warga UTM dan Kehadiran staf dalam program ini diambil kira sebagai mata CPD dan direkodkan dalam sistem UTMSMile.