PENUTUP 2023

Negara berada dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada 11 November 2023 dan dijangka berterusan sehingga Mac 2024. Dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku. Semasa fasa awal MTL iaitu pada bulan November 2023 hingga Januari 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak. Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri negeri lain di Malaysia. Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir. Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem. Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Redha dalam setiap ujian. Moga Allah hadiahkan pelangi selepas hujan.Jaga diri dan keluarga serta sentiasa patuh pada arahan pihak berkuasa.

KALIAN SEBAHAGIAN DARIPADA KAMI

Semangat juang rakyat palestine terlalu luar biasa. Mengejar syahid adalah impian kalian yang tidak pernah luntur dari dulu, kini dan selamanya. Kami dari kejauhan hanya mampu berdoa dan terus berdoa. Terima Kasih kalian kerana mempertahankan bumi Anbia. Sesiapa yang tinggal di sana, Allah ibaratkan mereka sedang berjihad. Selain itu, tempat tersebut juga dikenali sebagai bumi pertahanan jihad. ALLAHU AKBAR !!!!

Bumi Palestin merupakan pusat untuk kumpulan orang yang sentiasa teguh menegakkan kebenaran dan hak orang Islam sehingga hari kiamat.Sabda Rasulullah SAW:

“Sekelompok dari umatku akan tetap berada dalam kebenaran yang nyata dan akan mengalahkan musuh-musuh mereka dan mereka tidak akan disakiti oleh musuh-musuh mereka kecuali apabila ditimpa kesusahan dan sehingga datang pertolongan dari Allah dan keadaan mereka akan kembali seperti sedia kala.” Para sahabat bertanya, “Di manakah tempat mereka itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab “Di Baitul Maqdis dan di aknaf (bawah lindungan) Baitul Maqdis.” [HR At Tabrani].

Bumi Palestin ternyata adalah tanah yang diberkati dan menjadi saksi terhadap usaha Nabi dan Rasul utusan Allah menyampaikan akidah tauhid kepada manusia sejak zaman berzaman. Firman Allah SWT: 

“Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. [Al-Israk: 1].