Archives for July 2020

Tanggungjawab dan peranan suami isteri

Dalam sesebuah institusi perkahwinan, Allah SWT telah mengamanahkan tanggungjawab tertentu kepada suami dan juga isteri. Tanggungjawab ini ialah suatu ibadah yang mesti dipikul bersama-sama oleh pasangan suami isteri.

Pasangan suami isteri harus bekerjasama dalam menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin. Sebaik-baiknya ikutilah dan contohilah akhlak Rasulullah SAW dalam menguruskan rumah tangga. Perjalanan menempuhi kehidupan bersama semestinya harus berpandukan syariat Islam.

Berikut adalah sedikit perkongsian tentang tanggungjawab suami dan isteri di dalam berumah tangga.

Suami terhadap isteri

Memberi nafkah – Nafkah merupakan suatu kewajipan yang wajib ditunaikan suami. Nafkah meliputi tempat tinggal, perbelanjaan makan dan minum, keselamatan dan perlindungan.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Talaq, ayat 7: “Hendaklah menafkahkan orang-orang kaya kaya itu dari kekayaannya dan sesiapa yang sempit rezekinya maka nafkahkanlah daripada apa yang Allah berikan padanya. Tidaklah Allah membebankan sesuatu jiwa itu kecuali sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Nanti bakal Allah jadikan selepas kesusahan itu ada kesenangan.”

Mas kahwin – mas kahwin atau mahar ialah sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri oleh suami selepas akad nikah. Di negara ini, mas kahwin minimum ditetapkan mengikut negeri.

Layanan yang baik dan menghormati isteri – Al-Quran  mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, sama ada daripada sudut adat dan yang lebih penting, berlandaskan syariat. Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya. Dan akulah yang paling baik terhadap isteriku.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi). Jumhur ulama berpendapat wajib atas suami berkhidmat kepada isterinya yang tidak mampu atau uzur dan tidak dapat menguruskan dirinya sendiri. Ini juga termasuk melakukan kerja-kerja rumah sesuai dengan kebolehan, tenaga dan masa yang boleh diberikan ketika di rumah.

Didikan kepada isteri – Suami sebagai pemimpin keluarga haruslah mempunyai ilmu untuk mendidik isteri dalam melayari bahtera rumah tangga. Pendidikan yang perlu diberikan termasuk pengetahuan duniawi dan agama. Adalah wajib bagi suami untuk mendidik sekurang-kurangnya asas agama kepada isterinya. Jika asas agama dijaga dengan baik, sudah tentu rumah tangga yang dibina akan lebih diberkati.

Isteri terhadap suami

Mentaati suami – Isteri haruslah mentaati suami dalam semua perkara selagi mana ianya tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Ini bertentangan dengan sifat nusyus yang bermaksud isteri yang enggan mentaati perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’, ayat 34: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian yang lain dan kerana mereka telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.

Dengan sebab itu, maka wanita solehah ialah yang taat kepada Allah SWT dan memelihara dirinya dibelakang suaminya kerana Allah telah memelihara mereka. Wanita-wanita yang kamu khuatiri nusyus, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Layanan yang baik dan menghormati suami – Ia dilakukan seiring dengan memahami tugas dan tanggungjawab serta realiti kehidupan bersama. Ini termasuk menjaga maruah diri sendiri, suami dan keluarga. Secara umum, peranan isteri  jugaadalah menjaga hal-ehwal rumah tangga. Walau bagaimanapun, peranan isteri bukan hanya itu. Lebih penting lagi ialah mendidik, mengasuh dan membimbing anak-anak.

Saling bantu-membantu, persefahaman dan pelaksanaan tugas serta sikap toleransi boleh menatijahkan kebahagiaan sehingga terjadilah baiti jannati iaitu rumah sebagai tempat yang membawa kebahagiaan kepada pasangan suami isteri – seperti ungkapan Rumahku, Syurgaku.

REDHA