3 Pesanan Penting Tentang Kehidupan Dunia Ini

Bismillahirrahmanirrahim..

Dunia adalah destinasi yang kita sedang hadapi sekarang. Sebelum menjejak ke alam seterusnya iaitu barzakh, kita akan diuji di atas dunia ini terlebih dahulu.

Walau dunia bersifat sementara, namun ramai yang masih tertipu dengan keindahan dunia yang palsu dan seketika. Terperdaya dengan pangkat, harta dan wanita.

Tempat persinggahan ini sesetengah daripada kita menyangka dan menganggap ia kekal dan abadi. Mengejar dunia tanpa kesudahan dan tertinggal amal dan bakti.

Mari kita susuri 3 pesanan tentang dunia. Semoga menjadi peringatan kepada kita untuk menghadapi kehidupan dunia agar tidak tersasar daripada kebenaran.

#1 – Jangan Hanya Memikirkan Balasan Dunia Semata-Mata

“Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”Surah an Nisa’:134

Sikap manusia memang mahukan hasilnya diterima dengan segera. Lagi cepat lagi baik. Contohnya, bila bekerja mahukan gaji. Tiada upah dan gaji belum tentu kerja itu ingin dilakukannya.

Hakikatnya, kehidupan kita bukan hanya di dunia sahaja. Tetapi di akhirat nanti kita akan dihidupkan dan menerima pembalasan atas perbuatan kita di dunia.

Baik atau buruk walau sekecil zarah pun kita akan ditanya di akhirat sana oleh Allah S.W.T. Tidak tertinggal sedikit pun.

Jadi bersabarlah dalam melakukan kebaikan. Jika tidak hari ini kita menerima balasan, pasti di akhirat kita mendapat ganjaran pahala.

Begitu jugalah dengan perbuatan jahat yang dilakukan, jika di dunia perbuatan jahat terlepas dan tidak dapat dijejaki oleh pihak berkuasa, ingatlah di akhirat nanti, hukuman yang adil akan menimpa mereka.

Janji Allah itu pasti! Jadi jangan putus semangat dalam melakukan kebaikan dan jangan terjebak dengan kerja kejahatan. Segala yang dilakukan pasti akan menerima pembalasan nanti. Kita bukan ada dunia sahaja, tetapi kita juga ada akhirat di sana.

#2- Dunia Penuh Dengas Permainan Yang Sia-Sia

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”Surah al An’am: 32

Dunia penuh dengan hiburan yang melalaikan dan sia-sia. Ramai manusia yang tertipu dengan permainan dunia.

Terleka dan hilang arah tujuan. Berhibur hingga terlupa tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah S.W.T.

Jika dunia ini hanya sekadar berhibur semata, alangkah ruginya kehidupan ini. Keseronokkan di dunia tidaklah menyamai dan menandingi keindahan di syurga.

Syurga itu adalah sebaik-baik ciptaan Allah untuk hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa. Ia kekal abadi.

Manakala di dunia ini adalah syurga untuk orang kafir. Dan penjara bagi orang Islam. Pilihlah mana pilihan kita. Dunia yang bersifat sementara atau akhirat yang kekal abadi selamanya?

Kita sebagai umat Islam seharusnya meletakkan dunia di tangan dan bukan di hati. Jika diletak dihati, dunia akan dijadikan tujuan hidup. Dunia akan pergi, akhirat akan menanti.

#3- Dunia Hanya Tempat Persinggahan Seketika

“Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).”Surah Yunus : 45

Dunia dan akhirat, bandingannya sangat jauh sekali. Jarak masa dan suasana yang berbeza. Apabila direnung kembali, kehidupan kita di dunia cukuplah singkat sekali. Ibarat seperti sesaat sahaja kita hidup di dunia.

Jika kita sedar kehidupan dunia sekadar sesaat, kita tidak akan ada masa lagi untuk mengumpat, menfitnah dan membuat dosa. Kerana masa yang ada sangatlah terhad dan pendek. Gunakanlah masa kita dengan menambah amalan untuk dibawa ke sana.

Bila kita berfikiran yang dunia hanya sekadar sesaat sahaja umpamanya di akhirat, kita akan menguruskan kehidupan kita dengan sebaiknya. Pasti ada sahaja amal baik akan dilakukan pada waktu yang tersisa.

Pandanglah Dunia Dengan Mata Iman

Dunia perlulah dipandang dengan mata iman dan bukan dengan mata nafsu. Jika dipandang dengan mata nafsu, memang segala yang dimiliki rasa tidak cukup.

Harta sudah memenuhi rumah, tetapi masih belum berpuas hati. Berbeza jika memandang dengan mata iman, rasa cukup dengan apa yang ada, malah disedekahkan pula rezeki yang ada.

Bayangkanlah, dunia ini hanyalah ibarat seorang musafir yang sedang berehat di bawah pohon untuk menghilangkan lelah dari perjalanan yang jauh. Itulah dunia yang sebenar.

Selepas hilang keletihan, pemusafiran diteruskan semula. Berjalan menuju destinasi seterusnya. Iaitu alam barzakh.

Salahkah Kaya Dalam Islam?

Setelah kita mengetahui 3 pesanan di atas, mungkin ada sebilangan yang berkata pada diri sendiri;

‘Kalau macam tu, baik hidup miskin. Dunia ni bukan lama. Duit pun tak dibawa mati.’

Sebelum memberi kesimpulan, baik berfikir dengan mata hati. Cubalah pandang kekayaan itu untuk mencari keredaan Allah dan sumber pahala. Jangan memandang negatif keseluruhannya, tapi sila lihat yang positifnya.

Kekayaan kita itu perlulah disalurkan kepada jalan kebaikan. Lagi kita kaya dan berharta, lagi banyak kita boleh memperoleh pahala. Kita dapat membantu orang susah, anak-anak yatim dan sebagainya.

Jadi, kekayaan itu bukan menghalang kita daripada melupakan Allah, jika kita menggunakan kekayaan kita itu dengan cara yang dibenarkan syariat.

Sahabat Nabi S.A.W pun ada yang kaya. Adakah Nabi melarang untuk kaya bila kekayaan itu membantu pembangunan Islam? Yang penting, kekayaan itu bukan bertujuan untuk melupakan urusan akhirat.

Dunia Bukan Tujuan Utama Kita

Jadikan dunia ini untuk mencari bekalan yang akan dibawa pada hari akhirat nanti. Dunia bukan tujuan akhir kita.

Dunia yang sedang kita jejaki ini pasti akan berakhir suatu hari nanti. Bila? Itu hanya Allah sahaja yang tahu dan ia pasti akan berlaku.

Apa yang penting, kita persiapkan amalan kebaikan, perbanyakkan amalan sunat, perkara dosa mulai sekarang kita kurangkan dan tinggalkan.

Jika merasa kiamat itu masih jauh, ingatlah kematian itu dekat. Jika merasa diri masih muda, ingatlah kematian itu tidak mengenal usia.

Akhir kalam, renungkan doa Nabi S.A.W ini, Daripada Anas R.A bahawa Rasulullah berdoa;

“Ya Allah, tidak ada kehidupan (yang sebenar) kecuali kehidupan di Akhirat” Riwayat Bukhari dan Muslim

Waallahualam.

Comments

  1. Hi! Someone in my Facebook group shared this site with us so I came
    to give it a look. I’m definitely enjoying the information. I’m book-marking and will be
    tweeting this to my followers! Superb blog and outstanding design and
    style.

Speak Your Mind

*