Lebih sesuai kawalan bersasar daripada PKP seluruh negara?

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
PKP balik….rasanya mamang kena sebab banyak kes setiap hari. Actually wfh pun ok….buat kerja jugak…nie untuk keselamatan semua….yang penting doa banyak2 pada Allah…Allah yang akan tentukan segala-galanya…

Tindakan kawalan bersasar lebih bersesuaian daripada pelaksanaan sekatan seluruh negara bagi mengawal peningkatan kes Covid-19 yang memasuki gelombang keempat pada masa ini.

Pakar Epidemiologi dan Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, tidak wajar jika negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti Mac lalu berikutan terlalu besar kesannya terutama kepada ekonomi.

“Sudah tentu dapat kurangkan bilangan kes Covid-19 (jika PKP diadakan), tetapi memberi kesan kepada ekonomi dan sosial dengan peningkatan isu keluarga dan sosial, sektor pendidikan dan lain-lain sektor lagi.

“Senario gelombang pertama Covid-19 dan sekarang berbeza kerana dulu lebih kepada peringkat permulaan kerana itu PKP seluruh Malaysia dikenakan tetapi sekarang Covid-19 ini sudah berada dalam komuniti kita,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, kini tindakan perlu difokuskan kepada kawalan lebih bersasar untuk mengekang penularan Covid-19 dalam negara.

“Kalau hendak kawal buat lebih bersasar di kawasan tertentu saja dengan elakkan pergerakan keluar masuk daripada zon merah ke kawasan hijau misalnya di pantai timur seperti Pahang dan Terengganu asalnya zon hijau tetapi disebabkan kes import daripada zon merah, menyebabkan kawasan itu jadi kuning dan merah.

“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh dibuat tetapi yang sekarang masih lagi longgar pada saya kerana hanya tutup kawasan kecil saja contohnya, kawasan perumahan atau kilang terkesan berbanding PKP.

“Jika benar ura-ura PKP diadakan semula, adalah lebih baik bukan satu negara hanya bersasar mungkin di satu mukim, daerah atau satu negeri yang berisiko dan berlaku peningkatan kes mendadak dan banyak.

“Namun ia memerlukan penelitian termasuk aspek undang-undang dan pertimbangan tidak dilakukan untuk seluruh Malaysia serta jangan terlalu ketat sampai menjejaskan ekonomi negara.

“Perkara itu antara faktor penting juga untuk kawalan Covid-19 ini bukan sekadar aspek kesihatan saja dititik beratkan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam Dr Hanafiah Bashirun berpandangan PKPD bersasar adalah lebih baik, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mempunyai satu garis panduan.

“Apa yang saya nampak keputusan membuat PKPD sekarang lambat contoh kes di kilang Top Glove yang memang daripada awal kes naik kenapa ambil masa seminggu atau dua minggu baru hendak buat PKPD?

“Sepatutnya PKPD diadakan lebih awal apabila kita nampak peningkatan kes dalam sehari itu contohnya mencecah 40 kes dalam sesuatu komuniti itu terus saja buat PKPD.

“Justeru, KKM perlu sediakan garis panduan misalnya berapa bilangan kes untuk kenakan PKPD di sesuatu kawasan supaya tindakan pantas dapat dilakukan jangan tunggu lama macam kes Sivagangga sampai merebak seluruh Kedah,” katanya.

Katanya, lebih baik kerajaan menutup komuniti kecil yang terjejas saja berbanding satu negara kerana memberikan kesan lebih besar kepada ekonomi Malaysia.

“Kalau hendak kata pilih yang mana, kebanyakan doktor kerajaan memang suka (kerajaan) buat PKP kerana mudah hendak kawal kes tetapi ekonomi pula akan terkesan.

“Jadi bagi saya, PKPD bersasar lebih baik kerana tumpuan diberikan hanya kepada tempat yang menunjukkan peningkatan kes dalam komuniti tertentu saja,” katanya.

Kebelakangan ini, tular di media sosial mendakwa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju melaksanakan semula PKP susulan peningkatan kes mendadak dalam negara.

Bagaimanapun, MKN semalam menafikan kesahihan kenyataan bertulis yang tular itu.

Speak Your Mind

*