PERUBAHAN teknologi yang semakin pesat kini membuka ruang kepada pelbagai kategori peranti pintar untuk digunakan secara optimum, malah pengguna kini lebih tertarik dengan perkakasan pintar.
Perkakasan perumahan pintar bukan saja dibangunkan dengan ciri jimat tenaga yang sangat baik, tetapi ia juga memudahkan pengguna apabila kebanyakan tugasan rutin diambil alih komputer yang dilengkapi dengan Kecerdasan Buatan (AI).
Tahun ini, pemain industri utama menjangkakan akan berlaku perubahan besar dalam segmen jaringan Internet memandangkan kebanyakan negara dunia bakal melancarkan spektrum teknologi 5G mereka sendiri.
Pelancaran spektrum secara pesat dan komersial itu bukan saja membuka ruang kepada industri untuk menerima manfaat sebaliknya pengguna akan menikmati faedah yang sangat baik selain daripada jaringan Internet kelajuan tinggi.
Spektrum 5G berkenaan juga membuka ruang lebih luas kepada perkakasan pintar terutama berasaskan Internet Kebendaan (IoT) dan pengguna hari ini sudah mula mahukan persekitaran yang lebih pintar.
Menuju ke arah dunia digital yang semakin berkembang pesat, satu daripada cabangnya adalah memiliki sistem rumah pintar dan semua peranti atau perkakasan boleh dihubungkan menggunakan aplikasi.
Namun, wujud persepsi memiliki sistem rumah pintar memerlukan kos sangat tinggi kerana setiap perkakasan perlu menggunakan ekosistem yang sama sedangkan perkembangan teknologi yang pantas membolehkan peranti pintar didapati dengan harga yang rendah berbanding tahun lalu.
Trend pengguna hari ini akan memberi fokus kepada kelengkapan IoT dan mereka akan melakukan migrasi teknologi berkenaan secara lebih luas menjelang tahun depan apabila semua fasa pengujian spektrum 5G selesai.
Beberapa syarikat elektronik gergasi seperti Samsung, Huawei dan beberapa lagi pastinya akan mempergiatkan pengeluaran peranti IoT mereka untuk memberi lebih banyak penawaran kepada pengguna.
Pengguna akan memilih ekosistem pintar untuk perkongsian fail dan tidak memerlukan pengguna memuat turun terlebih dulu sesuatu fail tetapi ia boleh dikongsi seisi keluarga menjadikan tugas harian lebih mudah untuk dikongsi.
Bagaimanapun, migrasi besar-besaran pengguna untuk IoT membuka sisi gelap apabila penggodam akan cuba sedaya upaya untuk menceroboh masuk memandangkan kebanyakan pengguna akan menyimpan semua data peribadi mereka di dalam perkakasan pintar di rumah.
Contohnya, bil transaksi kad kredit, wajah biometrik, identiti pengguna dan beberapa maklumat sensitif lain akan disimpan secara awanan menerusi perkakasan pintar mereka.
Keadaan itu membuka lebih banyak ruang kepada penggodam untuk melakukan manipulasi maklumat dan perkara itu menjadi ancaman terbaharu.
Setiap perubahan teknologi datang dengan pelbagai kebaikan namun ia juga mempunyai kelemahan yang wajar ditambah baik setiap masa memandangkan trend penggodam tidak sama walaupun dalam tempoh 24 jam.
Recent Comments