Rasulullah SAW pernah bersabda;
“Tidak ada hari yang disambut oleh para hamba melainkan di sana ada dua malaikat yang turun, salah satunya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang-orang yang berinfaq’. Sedangkan (malaikat) yang lainnya berkata: ‘Ya Allah berikanlah kehancuran kepada orang-orang yang menahan (hartanya)’.”
(Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)
Sedekah bukan hanya perihal memberikan sebahagian harta kepada golongan yang memerlukan, namun manfaat sedekah lebih luas akan dirasakan oleh mereka yang melakukannya, antaranya:
1- Memperkuat Keimanan Dan Mendekatkan Diri kepada Allah SWT
Jika kita bersedekah dengan niat demi untuk beribadah kerana Allah, pasti akan bertambah keimanan kita terhadapNya.
Dengan bersedekah juga dapat mendekatkan diri kepada Allah kerana Allah sangat menyayangi akan golongan hambaNya yang banyak memberi keranaNya, bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.
2- Mendapat Ganjaran Pahala
Setiap amalan baik yang dilakukan dengan ikhlas pasti akan diganjarkan dengan pahala oleh Allah SWT. Ini termasuklah dalam perbuatan memberi dan bersedekah kepada sesiapa yang memerlukan.
Firman Allah ;
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali dari bisikan-bisikan orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat kebaikan atau mengadakan perdamaian diantara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kami akan memberinya pahala yang besar.”
(Surah an-Nissa:114)
3- Bertambah Rezeki Dan Mendapat Keberkatan
Bukankah dengan memberi kepada orang lain, Allah akan memberi dan menggantinya dengan hal yang lebih baik? Tidak sesekali kita rugi sekiranya memberi dan membantu orang lain dengan hak dan barangan kita.
Pasti Allah akan menurunkan keberkatan rezeki dengan lebih baik atas kebaikan yang kita lakukan itu. Jika bukan menggantikan hal yang sama, pasti digantikan dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan dalam keluarga, kesenangan dalam bekerja dan sebagainya. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan tidak terbatas.
4- Menyembuhkan Penyakit
Banyak penemuan kajian membuktikan dengan melakukan sesuatu perkara yang positif untuk orang lain, seperti memberi atau bersedekah akan meningkatkan sistem kekebalan tubuh badan seseorang.
Salah satunya, kajian yang dilakukan oleh James House memberi kesimpulan bahawa dengan membantu orang lain sepenuh hati dan ikhlas akan meningkatkan kesihatan tubuh badan dan menyembuhkan penyakit-penyakit ringan.
5- Memberi Ketenangan Hati Dan Kebahagiaan
Sebagai umat islam kita sering disarankan untuk berbuat apa-apa saja kebaikan demi mendapatkan ketenangan fikiran dan emosi, termasuklah dengan bersedekah. Melalui amalan bersedekah juga akan melahirkan perasaan tenang dan bahagia.
Bahkan, dengan membelanjakan harta ke arah kebaikan demi membantu orang lain pasti akan mendorong peningkatan hormon-hormon kebahagiaan dalam otak kita. Kajian sains sendiri telah membuktikan kebenaran ini.
6- Melahirkan Rasa Syukur
Rasa syukur adalah apabila kita berterima kasih kepada Allah dengan apa-apa yang kita terima. Lalu, dengan bersedekah adalah salah satu cara untuk kita mengucapkan terima kasih kepada Allah SWT atas semua kurniaan dan pemberiannya.
Bukankah dengan bersedekah itu mengingatkan kita bahawa apa yang dimiliki hari ini itu adalah nikmat dan atas keizinan dari Allah SWT? Jadi, jika kita ini hamba yang bersyukur, maka memberilah tanpa berkira-kira.
7- Terhindar Dari Sifat Kedekut
Bagaimana untuk mengelakkan diri kita daripada menjadi sebahagian daripada golongan yang kedekut? Orang yang memberi sudah tentu tidak kedekut.
Sebenarnya dengan bersedekah (walaupun sedikit) mampu memupuk jiwa dan diri kita menjadi dermawan seperti yang dianjurkan oleh Islam. Sedekah juga diajarkan melalui perbuatan zakat serta korban sebagai ibadah wajib dalam Islam. Sesungguhnya jauhilah sifat kedekut kerana itulah antara sikap yang menyempitkan rezeki.
8- Melatih Berfikiran Positif Dan Adil
Sering kali kita melihat golongan yang gemar bersedekah adalah mereka yang memiliki sikap adil, dan tidak berani mengambil hak orang lain tanpa kebenaran (mencuri).
Itulah manfaat bersedekah, dengan melakukan amalan sedekah akan mengingatkan kepada kita mengenai kewajiban dalam aspek sosial iaitu dengan bersikap adil kepada mereka yang memerlukan bantuan dan golongan dalam kesusahan.
Ini akan meningkatkan sikap peka dan simpati terhadap keadaan masyarakat di sekeliling kita yang kadang kala sangat memerlukan perhatian kita.
9- Terhindar Dari Sikap Keduniaan Dan Materialistik
Amalan bersedekah akan menjauhkan kita dari sifat gila harta dan pentingkan keduniaan. Kita akan menjadi orang yang rela dan redha apabila harta atau kepunyaan kita diberikan kepada orang lain.
Bahkan hal ini membuatkan kita lebih berharap dan meminta hanya kepada Allah kerana percaya setiap yang kita ada adalah pinjaman dari Allah SWT sahaja. Jadi, sedekah akan menghindarkan kita dari dari nilai-nilai ayinglism dan cintakan dunia semata-mata.
10- Menjauhkan Diri Dari Sikap Bongkak Dan Sombong
Sikap sombong dan bongkak mungkin akan terjadi jika kita mengabaikan sedekah. Jika seseorang itu bersedekah atau kerap memberi kepada orang lain, dia bukanlah tergolong dalam golongan orang yang sombong. Orang yang sombong adalah mereka yang menganggap semua yang dimiliki adalah hak kekal mereka selamanya.
Disebabkan itulah mereka berasa aying untuk memberikan kepunyaan mereka itu kepada orang lain. Tanpa mereka sedar semua itu adalah hak Allah yang boleh ditarik pada bila-bila masa sahaja. Jadi, bersedekah untuk mengelakkan diri kita menjadi sebahagian daripada mereka yang sombong dan bongkak.
Kesimpulannya, contoh terbaik dalam bersedekah adalah Nabi Muhammad SAW. Baginda seringkali memberikan makanannya kepada golongan miskin sehinggakan Baginda sendiri kerap berlapar.
Rasulullah sangat takut jika di rumahnya terdapat hanya sedikit saja harta atau makanan yang belum dibahagikan. Bahkan pakaian Baginda sendiri dari bahan kasar dan berharga paling murah.
Abu Dzar pernah berkisah bahawa suatu hari sewaktu beliau berjalan bersama-sama Rasulullah SAW. Tiba di sebuah tanah lapang di Madinah yang terlihat Bukit Uhud, Rasulullah SAW bersabda;
“Sesungguhnya, harta itu hijau dan manis. Barang siapa mengambilnya dengan kedermawanan hati, maka akan diberkahi; barang siapa mengambilnya dengan keserakahan, maka tidak akan diberkahi. (Jika tidak diberkahi, maka dia) seperti orang yang makan, tapi tidak pernah kenyang. Tangan di atas (memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (diberi).”
(Hadis Riwayat Muslim)
Recent Comments