Rebutlah peluang mati dalam keadaan baik dengan 10 tanda ini

KESIBUKAN diri dalam urusan dunia menyebabkan ramai dalam kalangan kita lupa akan kehidupan di akhirat. Tidak ada satu pun di atas muka bumi ini yang kekal abadi.

Ini kerana setiap yang hidup pasti akan merasai kematian. Sejauh mana pun kita melarikan diri daripada kematian, ia tetap akan mengekori kita. Firman Allah di dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 8: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu ingin larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).”

Mengingati mati memberi ketenangan jiwa

Mengingati mati bukan bermaksud kita meninggalkan urusan dunia serta menjauhkan diri daripadanya akan tetapi mengingati mati merupakan satu kaedah supaya kehidupan di dunia kita lebih baik dan lebih berjaya. Ini kerana dengan kita mengingati mati, kita tidak akan melakukan perkara-perkara tidak diredai dan dibenci Allah.

Sabda baginda Rasulullah: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnungi pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.”  – (HR al-Bazzar 6987).

Jika kita mengingati mati, kita tidak akan melakukan perkara-perkara tidak diredai dan dibenci Allah. – Gambar Sekadar Hiasan

Syeikh Said Hawwa Rahimahullah telah menyatakan bahawa mengingati mati sebagai salah satu cara berkesan untuk menyucikan jiwa manusia daripada kotoran sifat buruk (mazmumah).

Dengan mengingati mati, ia bukan sahaja boleh menimbulkan rasa sesal di atas dosa yang dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang oleh Allah.

Tanda-tanda orang yang meninggal dalam keadaan baik

Ramai dalam kalangan kita tertanya-tanya apakah tanda seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan baik (husnul khatimah).Di sini saya akan meringkaskan tanda-tanda seseorang itu meninggal dalam keadaan baik serta beberapa potongan doa untuk mendapatkan pengakhiran baik berdasarkan hadis baginda Rasulullah:

1. Melafazkan kalimah syahadah sebelum meninggal dunia – Sabda Rasulullah: Maksudnya: Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ nescaya dia akan memasuki syurga. – [HR Abu Daud 3316].

2. Meninggal pada hari atau malam Jumaat – Sabda Rasulullah: Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah SWT akan melindunginya daripada fitnah kubur. – [HR Al-Tirmidzi 1074].

3. Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya – Sabda Rasulullah: Tanda kematian bagi seorang mukmin ialah dengan berpeluh dahinya. – [HR  al-Tirmidzi 982].

4. Seseorang diberikan taufiq dan hidayah serta beramal soleh sebelum dia meninggal dunia – Sabda Rasulullah: Jika sekiranya Allah SWT menginginkan kebaikan terhadap hambaNya, maka Allah SWT menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat (RA) bertanya, “Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?” Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya. – [HR al-Tirmidzi 2142].

5. Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut – Sabda Rasulullah: Sesiapa yang mati akibat daripada penyakit berkaitan perut, maka dia mati dalam keadaan syahid. – [HR Muslim 1915].

Meninggal kerana lemas adalah mati syahid.

6. Meninggal dunia dalam keadaan lemas tenggelam, jatuh bangunan dan syahid di jalan Allah SWT – Sabda Rasulullah: Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal kerana penyakit taun, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan atau tebing dan syahid di jalan Allah. – [HR al-Bukhari 652].

7. Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak – Sabda Rasulullah: Seorang muslim yang terbunuh dikira sebagai syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira sebagai syahid, kematian kerana sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira sebagai syahid. – [HR Ibn Kathir 5869].

8. Meninggal dunia kerana mempertahankan harta dan maruah dirinya – Sabda Rasulullah: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kalau ada seseorang yang hendak mengambil hartaku?” Baginda SAW bersabda, “Jangan engkau berikan hartamu!” “Bagaimana kalau dia melawanku?” Baginda SAW bersabda; “Lawanlah dia!” “Bagaimana kalau dia membunuhku?” Baginda SAW bersabda; “Engkau syahid.” “Bagaimana kalau aku yang membunuhnya?” Baginda SAW bersabda: “Dia di neraka!” – [HR Muslim 140].

9. Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh – Sabda Rasulullah: Barangsiapa yang mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana mencari keredaan Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga. Barangsiapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredaan Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barangsiapa yang bersedekah ikhlas kerana Allah SWT kemudian dia meninggal dunia, maka dia akan masuk Syurga.”  – [HR Ahmad 23372].

10. Meninggal disebabkan penyakit taun – Sabda Rasulullah: dari ‘Aisyah berkata; “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang masalah taun lalu baginda memberitahu kepada aku bahawa taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi kaum muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di tempat tinggalnya dengan sabar mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena musibah melainkan kerana Allah telah mentakdirkan kepadanya maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mati syahid”. [HR Bukhari 3215]

Dengan itu, jika seseorang ingin mati dalam keadaan baik dan diredhai Allah maka hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah dengan doa: Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah Kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah.

Jika kita jaga Allah, Allah pasti akan menjaga kita. Marilah kita sama-sama merenungi perkara ini dan banyak mengucapkan syukur Alhamdulillah atas nikmat yang tidak terhingga banyaknya kita nikmati semasa dunia ini.

Tazkirah : Amalan-amalan Murah Rezeki

Boleh dikatakan semua orang mahukan rezeki yang banyak, mudah dan berkat. Dalam pekerjaan kita seharian mencari rezeki, mestilah sentiasa tanamkan niat dalam hati supaya Allah mengurniakan kita rezeki halal, berkat, mudah serta luas. Terdapat amalan-amalan yang boleh menjadi sebab Allah melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.

Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyakkan istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Rasulullah SAW :
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.
Sabda Rasulullah SAW :
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah SWT

Banyak ingat Allah SWT buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman.
Firman-Nya:
“…(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Surah Ar-Ra’d, ayat 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”
(Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Rasulullah SAW :
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.”
(Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Rasulullah SAW :
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Rasulullah SAW :
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…”
(Hadis Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim

Rasulullah SAW bersabda :
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.”
(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”
(Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”
(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.”
(Surah Ibrahim, ayat 7)

Firman-Nya lagi:
“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”
(Surah ali-Imran, ayat 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.”

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (Surah at-Thalaq, ayat 3)

Nabi SAW bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”
(Surah at-Talaq, ayat 2-3)

Azilawati Binti Arbaai

Maklumat Peribadi

Nama : Azilawati Binti Arbaai
Jabatan : CICT
Tarikh Masuk UTM : 01/02/2010
Bahagian : ADM

Senarai tugas

  1. Sistem MyAIMS
  2. Sistem SAIMS

Hello world!

Selamat Datang ke Blog saya