Archives for March 2019

[Part Akhir] Menikmati Keunikan Madrid dan Keindahan Tenerife Utara di Bumi Sepanyol

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-3-menikmati-keunikan-madrid-dan-keindahan-tenerife-utara-di-bumi-sepanyol/

Penulis berkesempatan meluangkan hari pertama di pulau Tenerife dengan menaiki bas hop-on hop untuk meneroka kawasan-kawasan menarik di Santa de Cruz yang menjadi perhentian bas tersebut. Bas yang beroperasi setiap hari ini merupakan bas dua tingkat dan penulis menikmati keindahan kota San de Cruz di tingkat dua bas yang terbuka. Sebanyak 13 perhentian disinggahi oleh bas ini yang bermula dari Plaza de España. Plaza de España adalah dataran terbesar di bandar Santa Cruz de Tenerife dan Kepulauan Canary. Perjalanan meneroka Bandar Santa de Cruz mengambil masa lebih kurang satu jam. Bahasa penerangan sepanjang lawatan termasuklah bahasa Inggeris, Jerman, Sepanyol, Perancis, Portugis, Itali dan Rusia. Di kota Santa Cruz juga terletaknya Auditorio de Tenerife yang merupakan simbol senibina Kepulauan Canary. Penulis berkesempatan melihat auditorium moden berkenaan. Ia terletak bersebelahan Lautan Atlantik dan di bahagian selatan Pelabuhan Santa Cruz de Tenerife. Bangunan ini dibina dalam struktur seni bina moden pada akhir abad ke-20. Tujuan utama penulis ke Tenerife Utara di kepulauan Canary ini sebenarnya adalah untuk membentangkan kertas kerja persidangan antarabangsa dalam bidang Pendidikan Kejuruteraan yang diadakan di Pusat Pameran Perdagangan dan Kongres Antarabangsa Tenerife (Centro Internacional de Ferias y Congresos de Tenerife). Kompleks ini berfungsi sebagai bangunan pelbagai guna yang boleh menjadi tuan rumah karnival, pameran dan persidangan utama yang berlangsung di pulau Tenerife. The Great Hall, yang terletak di tingkat atas, bersaiz 12,000 meter persegi, menjadikannya sebagai ruang tertutup terbesar di Kepulauan Canary. Selepas pembukaannya, ia telah menjadi tuan rumah kepada pelbagai jenis acara seperti pameran perdagangan makanan, komputer, pertanian dan rekreasi, konsert muzik, pertandingan dan karnival gala, kongres, seminar, pameran seni, persembahanTV, dan pertunjukan fesyen. Disebabkan jadual persidangan yang padat, penulis meluangkan hari kedua dan ketiga di pusat pameran tersebut, sebelum mengambil penerbangan pulang ke Madrid untuk kembali ke tanahair.

Auditorio de Tenerife yang merupakan simbol senibina Kepulauan Canary

Penerbangan ke Madrid dari Kuala Lumpur

  • Tiada penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Madrid.
  • Justeru, terdapat beberapa kaedah untuk terbang ke Madrid dari Kuala Lumpur untuk kumulatif tempoh penerbangan kurang daripada 18 jam. Pertama dengan menaiki pesawat Emirates, iaitu melalui Dubai. Kedua, Qatar melalui Doha, Etihad melalui Abu Dhabi, Turkish Airlines melalui Istanbul dan KLM melalui Amsterdam.
  • Walau bagaimanapun, jumlah masa ini tidak termasuk masa transit di lapangan terbang yang menjadi penghubung antara Kuala Lumpur dan Madrid. Contohnya, berdasarkan pengalaman penulis ke Madrid baru-baru ini dengan menaiki Emirates, tempoh penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dubai ialah lebih kurang tujuh jam, manakala perjalanan dari Dubai ke Madrid mengambil masa lebih kurang lapan jam. Hal ini menjadikan tempoh kumulatif penerbangan ialah 15 jam. Walau bagaimanapun, penulis menunggu lebih kurang tiga jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sebelum berlepas ke Madrid.

Penerbangan ke North Tenerife dari Madrid

  • Jumlah penerbangan dari Madrid ke North Tenerife kurang daripada jumlah penerbangan Madrid ke South Tenerife.
  • Terdapat tiga syarikat yang menawarkan penerbangan terus dari Madrid ke North Tenerife iaitu Ryanair, Iberia Express dan Air Europa.

Santa de Cruz, North Tenerife

Tamat

 

 

Kesabaran Membuahkan Hasil

Saya mula menghantar artikel ini ke jurnal web of science (ISI) Q2 pada tahun 2017. Tetapi ianya ditolak. Komen-komen yang saya perolehi, saya gunakan untuk tambahbaik artikel berkenaan. Kemudian saya cuba hantar ke jurnal ISI Q3. Beberapa bulan kemudian, ianya ditolak sekali lagi. Komen-komen saya ambil sekali lagi bagi tujuan penambahbaikan. Seterusnya saya hantar artikel yang saya kira sudah bagus (iyalah sebab dah tambahbaik berdasarkan komen dari dua jurnal yang tolak sebelum ini) ke jurnal ISI Q4. Kali ini jurnal tersebut tidak tolak tapi tanyalah sahabat saya Dr. Hilmi Hamzah, berapa kali pusingan pembetulan yang perlu kami lakukan. Empat pusingan pembetulan ya. Setiap pusingan boleh ambil masa 2 ke 3 bulan. Boleh bayangkan tak betapa rigorous nya sesebuah artikel dinilai dan diuruskan. Ini berdasarkan pengalaman saya dalam bidang sains sosial (pendidikan). Dan akhirnya hari ini, Alhamdulillah artikel saya berjaya diterima untuk diterbitkan dalam South African Journal of Education (SAJE), sebuah jurnal berindeks ISI dan Q4 dengan impact factor (IF) 0.74. Jadi moral of the story, never give up. Don’t quit and you will win. That’s it.

[Part 3] Menikmati Keunikan Madrid dan Keindahan Tenerife Utara di Bumi Sepanyol

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-2-menikmati-keunikan-madrid-dan-keindahan-tenerife-utara-di-bumi-sepanyol/

Istana Diraja Madrid atau dikenali sebagai Palacio Real de Madrid merupakan kediaman rasmi Keluarga Diraja Sepanyol di bandar Madrid. Namun ia hanya digunakan untuk upacara rasmi. Selebihnya ia terbuka kepada orang ramai. Istana tersebut telah dibina pada abad ke-18 dan ke-19, dan merupakan bangunan yang monumental. Istana ini mempunyai keluasan 135,000 meter persegi dan memiliki 3,418 bilik. Ia merupakan istana diraja terbesar di Eropah dari segi keluasan lantai. Hiasan dalaman istana tersebut merupakan citarasa mewah Raja Charles III yang berkuasa ketika itu. Ketika ini, Raja Felipe VI dan keluarga diraja tidak menetap di situ, tetapi memilih Istana Zarzuela yang terletak di pinggir kota Madrid. Ketika dibuka kepada orang ramai, pengunjung boleh melihat sendiri dan melawat bilik-bilik dan dewan-dewan jamuan yang mewah yang terdapat di dalam istana berkenaan. Walau bagaimanapun, penulis tidak bernasib baik kerana ketika penulis tiba pada hari tersebut, ianya telah ditutup kepada pengunjung. Jadi penulis menghabiskan masa dengan mengambil gambar di perkarangan luar istana sebelum pulang ke Puerta del Sol.

Berlatarbelakangkan Palacio Real de Madrid

Banyak kedai cenderahati boleh didapati di kawasan Puerta del Sol, namun harga yang dikenakan agak mahal berbanding dengan kedai-kedai yang terletak di pinggir kawasan ini. Setelah berehat di tempat penginapan, penulis berjalan kaki menuju ke Hard Rock café Madrid. Disebabkan cuaca yang sejuk ditambah dengan pemandangan yang menarik, penulis tidak merasa penat, malah berasa teruja untuk meneroka kawasan kota Madrid.Madrid tidak banyak bangunan pencakar langit sebagaimana biasa kita lihat di bandar-bandar utama di benua Asia. Percaya atau tidak, bangunan tertinggi di Madrid yang berukuran 236m sahaja iaitu lebih kurang ketinggian hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur dan hanya lebih sedikit daripada separuh ketinggian Menara Berkembar Petronas yang berukuran 451.9m. Walau bagaimanapun, bangunan-bangunan di bandar ini sangat cantik, unik dan klasik. Setelah meluangkan tiga hari dua malam di Madrid, penulis ke Tenerife Utara (North Tenerife) yang perjalanannya mengambil kira-kira tiga jam penerbangan dari Madrid. Tenerife Utara merupakan sebahagian dari kepulauan Canary.

Kepulauan Canary adalah kepulauan Sepanyol dan wilayah autonomi Sepanyol yang terletak di Lautan Atlantik dan berjarak 100 kilometer dari barat negara Maghribi. Menurut sejarah, Kepulauan Canary telah dianggap jambatan antara tiga benua iaitu Afrika, Amerika dan Eropah. Ini mungkin disebabkan kedudukan strategiknya yang berada di tengah-tengah antara ketiga-tiga benua tersebut. Tenerife adalah pulau terbesar dan paling padat antara tujuh pulau yang terdapat di Kepulauan Canary. Ia juga merupakan pulau terbesar di Sepanyol, dengan keluasan tanah 2,034.38 kilometer persegi dan 898,680 penduduk. Jumlah ini merupakan 43 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk di Kepulauan Canary. Santa Cruz de Tenerife adalah ibu kota Kepulauan Canary. Ia terletak di hujung timur pulau Tenerife, iaitu pulai terbesar dalam rantaian kepulauan Canary. Di pulau Tenerife terdapat dua buah lapangan terbang antarabangsa iaitu di Tenerife Utara dan Tenerife Selatan. Penulis mengambil penerbangan dari Madrid ke Tenerife Utara memandangkan ibukota Santa Cruz de Tenerife terletak berdekatan dengan lapangan terbang tersebut. Kalau kita masih ingat, pada tahun 1977, lapangan terbang ini merupakan kawasan berlakunya nahas udara paling teruk dalam sejarah penerbangan apabila 583 penumpang dan anak kapal terbunuh selepas dua pesawat Boeing 747s bertembung di landasan dalam kabus tebal.

Bas hop-on hop di Santa de Cruz, North Tenerife

Bersambung……

UTM Open Day