Archives for April 2020

Perbezaan Antara MyRA I dan MyRA II

  • MyRA I adalah sistem pentaksiran yang digunakan untuk mengukur input, output, hasil dan impak Pembangunan, Penyelidikan, Pengkomersilan & Inovasi (RDCI) sesebuah universiti.
  • Data yang diisytiharkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) hanya berkaitan dengan RDCI sahaja.
  • Lima universiti penyelidikan perlu memperolehi markah yang melepasi tahap markah penanda aras yang telah ditetapkan bagi membolehkan universiti-universiti tersebut mengekalkan statusnya sebagai universiti penyelidikan.
  • MyRA II juga merupakan sistem pentaksiran yang mengukur hasil RDCI, namun hasil yang diharapkan lebih tinggi berbanding hasil RDCI dalam MyRA I dan ia hanya melibatkan universiti-universiti penyelidikan.
  • Pencapaian dalam MyRA II menentukan dana RU (Research University) yang akan diperuntukkan oleh sesebuah universiti penyelidikan.
  • Dana RU ini akan digunakan oleh universiti bagi tujuan dana operasi, geran penyelidikan serta pembelian dan penyelenggaraan alat.

Tahniah UTM yang memperolehi 6 bintang untuk MyRA 2018

[Bahagian Akhir] COVID-19 buka mata warga pendidik, pelajar

Salam semua

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-covid-19-buka-mata-warga-pendidik-pelajar/

Sumber gambar: The Star

Pelajar juga dapat belajar untuk mematuhi peraturan. Pelajar sekolah menengah dan universiti pastinya menghadapi keadaan sukar sebegini pertama kali dalam hidup mereka. Apabila diarahkan oleh pihak kerajaan mengenai kawalan pergerakan selama 14 hari yang dilaksanakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), kebanyakan orang ramai termasuklah pelajar mula menyedari akan kepentingan tersebut yang bertujuan untuk menghapuskan rantaian pandemik berkenaan. Arahan untuk duduk di rumah bukan sahaja ditekankan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, malah turut disampaikan oleh YAB Perdana Menteri dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Ini menunjukkan betapa pentingnya arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dalam menangani penularan pandemik ini. Pihak polis dan tentera dikerah untuk mengawal orang awam daripada keluar sebarangan tanpa tujuan dan seterusnya gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan tersebut. Selain itu, pelajar tidak kiralah sama ada di peringkat sekolah menengah mahupun di institusi pendidikan tinggi mula sedar akan kesalahan menyebarkan maklumat palsu di media-media sosial. Mereka yang didapati bersalah akan disabitkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan. Penyampaian maklumat secara berkesan oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada melalui media sosial mahupun media massa seharusnya dipuji untuk mengelakkan kekeliruan rakyat mengenai maklumat terkini berkenaan pandemik berkenaan. Contohnya, KKM mengeluarkan statistik kes jangkitan baru, jumlah kes jangkitan terkini dan sebagainya setiap hari menggunakan media sosial dan media massa. Dengan kehadiran pelbagai teknologi pendidikan pada masa kini, sudah tiba masanya proses pembelajaran dan pengajaran tidak semestinya berlaku secara bersemuka lebih-lebih lagi dengan keadaan sukar pada hari ini. Untuk memastikan sistem pendidikan tidak terhenti walaupun seluruh dunia dikejutkan dengan pandemik ini, pihak United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) telah mengesyorkan penggunaan pelbagai teknologi untuk memastikan kesinambungan pembelajaran. Guru boleh menggunakan platform pembelajaran dalam talian untuk untuk pengajaran, berinteraksi dengan pelajar, memberi latihan dan sebagainya secara maya. Ramai pelajar pada masa kini mempunyai akses kepada peralatan teknologi di rumah. Natijahnya, penularan pandemik Covid-19 ini telah membuka mata dan minda banyak pihak termasuklah pelajar. Kesedaran menjaga kebersihan, mematuhi peraturan dan pelaksanaan pembelajaran secara maya antara implikasi situasi yang berlaku di negara kita pada hari ini. Semoga penularan pandemik ini akan berakhir tidak lama lagi. Sama-samalah kita berdoa.

Tamat

[Bahagian 1] COVID-19 buka mata warga pendidik, pelajar

Sumber gambar: Berita Harian

Penularan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara kita pada hari ini memberi impak besar kepada pelbagai sektor. Wabak yang berasal dari daerah Wuhan, China yang dikesan pada bulan Disember 2019 telah diisytiharkan sebagai pandemik global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Hal ini telah membuka mata banyak pihak dari seluruh dunia mengenai betapa bahayanya pandemik ini. Sehingga artikel ini ditulis, bilangan kes Covid-19 yang dicatatkan di seluruh Malaysia sudah melepasi angka 1300. Bidang pendidikan sama ada pendidikan sekolah rendah, menengah mahupun pengajian tinggi turut tidak terlepas menerima impak daripada penularan wabak merbahaya ini. Menurut ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam 16 Mac 2020 telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020. Antara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut ialah penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti serta penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara. Perintah kawalan pergerakan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Walau bagaimanapun, setiap kejadian yang berlaku pasti terdapat hikmah di sebaliknya. Artikel ini akan membincangkan bagaimana isu penularan wabak Covid-19 ini memberi implikasi dalam konteks pendidikan. Jikalau sebelum ini, pelajar kurang mengambil berat tentang isu kebersihan, kini mereka mula sedar akan kepentingan menjaga kebersihan. Pelajar lebih mengambil berat mengenai kesihatan dan keselamatan masing-masing. Antaranya mereka memakai topeng muka dan menjaga kebersihan bukan sahaja di sekolah dan di universiti, malah di rumah. Pelajar terutamanya mengekalkan jarak 1 meter dari semua orang yang berinteraksi dengan mereka sama ada di tempat-tempat umum seperti pasar raya dan sebagainya. Daripada berjabat tangan, atau pelukan, pelajar mempelajari cara alternatif untuk saling menyapa. Cara membalas salam dengan mengelakkan persentuhan anggota badan juga dipraktikkan dalam keadaan sekarang. Penggunaan hand sanitizer juga digunakan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19. Pelajar diajar tentang cara yang betul penggunaan hand sanitizer dan juga cara membasuh tangan yang betul dengan menggunakan air. Walau bagaimanapun, penggunaan hand sanitizer perlu dibasuh dengan air sebelum menghidupkan api kerana ianya mengandungi alkohol dan mudah terbakar. Amalan ini membuahkan hasil apabila laporan akhbar Berita Harian bertarikh 6 Mac 2020 menyatakan rakyat Malaysia menduduki tempat pertama berbanding negara-negara lain, yang mengubah sikap ke arah positif dalam aspek penjagaan kebersihan diri dalam situasi penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.  Diharapkan momentum dan sikap ini akan berkekalan walaupun pandemik Covid-19 ini akan berakhir kelak.

Bersambung…

Lekaslah Pergi Covid-19

Sumber gambar: BERNAMA

Covid-19 musuh satu dunia,
Semuanya berubah sekelip mata,
Menjangkiti insan yang tidak berdosa,
Tidak kira muda mahupun tua.

Kepada golongan barisan hadapan,
Doa kupohon kepada tuhan,
Dikuatkan ketabahan dan kesabaran kalian,
Mengawal penularan pandemik berkenaan.

Kepada rakyat semua,
Patuhilah arahan dan peraturan semasa,
Jagalah kebersihan dan keselamatan kita,
Kita mampu tanganinya bersama.

Covid-19 pandemik misteri,
Lekaslah kau pergi,
Pergi dari dunia ini,
Dan jangan sesekali engkau kembali.

UTM Open Day