[Bahagian Akhir] COVID-19 buka mata warga pendidik, pelajar

Salam semua

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-covid-19-buka-mata-warga-pendidik-pelajar/

Sumber gambar: The Star

Pelajar juga dapat belajar untuk mematuhi peraturan. Pelajar sekolah menengah dan universiti pastinya menghadapi keadaan sukar sebegini pertama kali dalam hidup mereka. Apabila diarahkan oleh pihak kerajaan mengenai kawalan pergerakan selama 14 hari yang dilaksanakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), kebanyakan orang ramai termasuklah pelajar mula menyedari akan kepentingan tersebut yang bertujuan untuk menghapuskan rantaian pandemik berkenaan. Arahan untuk duduk di rumah bukan sahaja ditekankan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, malah turut disampaikan oleh YAB Perdana Menteri dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Ini menunjukkan betapa pentingnya arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dalam menangani penularan pandemik ini. Pihak polis dan tentera dikerah untuk mengawal orang awam daripada keluar sebarangan tanpa tujuan dan seterusnya gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan tersebut. Selain itu, pelajar tidak kiralah sama ada di peringkat sekolah menengah mahupun di institusi pendidikan tinggi mula sedar akan kesalahan menyebarkan maklumat palsu di media-media sosial. Mereka yang didapati bersalah akan disabitkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan. Penyampaian maklumat secara berkesan oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada melalui media sosial mahupun media massa seharusnya dipuji untuk mengelakkan kekeliruan rakyat mengenai maklumat terkini berkenaan pandemik berkenaan. Contohnya, KKM mengeluarkan statistik kes jangkitan baru, jumlah kes jangkitan terkini dan sebagainya setiap hari menggunakan media sosial dan media massa. Dengan kehadiran pelbagai teknologi pendidikan pada masa kini, sudah tiba masanya proses pembelajaran dan pengajaran tidak semestinya berlaku secara bersemuka lebih-lebih lagi dengan keadaan sukar pada hari ini. Untuk memastikan sistem pendidikan tidak terhenti walaupun seluruh dunia dikejutkan dengan pandemik ini, pihak United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) telah mengesyorkan penggunaan pelbagai teknologi untuk memastikan kesinambungan pembelajaran. Guru boleh menggunakan platform pembelajaran dalam talian untuk untuk pengajaran, berinteraksi dengan pelajar, memberi latihan dan sebagainya secara maya. Ramai pelajar pada masa kini mempunyai akses kepada peralatan teknologi di rumah. Natijahnya, penularan pandemik Covid-19 ini telah membuka mata dan minda banyak pihak termasuklah pelajar. Kesedaran menjaga kebersihan, mematuhi peraturan dan pelaksanaan pembelajaran secara maya antara implikasi situasi yang berlaku di negara kita pada hari ini. Semoga penularan pandemik ini akan berakhir tidak lama lagi. Sama-samalah kita berdoa.

Tamat

Speak Your Mind

*