Archives for December 15, 2023

Catatan 10 Disember 2023

Jam menunjukkan pukul 12.30 pagi. Badan terasa lelah, namun mataku masih terkebil-kebil. Mengiring ke kiri, mengiring ke kanan, namun mata ini masih tidak boleh lena. Anak-anak dan isteri sudah lama hanyut dibuai mimpi.

Petang tadi, aku bertindak sebagai pemudah cara untuk program mahasiswa tahun tiga yang bakal menjalani latihan mengajar pada semester hadapan. Dalam jam lima petang juga tamatnya. Pulang ke rumah, solat Asar dan melayan anak-anak bermain.

Usai maghrib, adik ipar dari Benut tiba di rumah untuk menghantar skuter. Usai Isyak pula, giliran aku menghantar beliau pulang ke Benut semula. Singgah di Pekan Nenas untuk makan malam. Sudah lama tidak memandu jauh di waktu malam. Baru sedar rabun silau mataku sudah bertambah.

Tidak sampai lima minit menyantuni ayah mentua (ayah tiri orang rumah), aku minta izin mengundur diri. Khuatir malam semakin pekat. Bertambah khuatir andai sang Myvi buat hal di jalan yang gelap. Keputusan untuk keluar tol Simpang Renggam merupakan keputusan terbaik. Terasa bangga dengan diri sendiri kerana tidak keluar melalui tol Sedenak. Rasa lega sejurus memasuki lebuh raya.

Disangkakan cuti peristiwa hari ini. Jadi dengan yakinnya minta bantuan adik ipar menghantar skuter malam ini. Kononnya bolehlah berehat keesokan harinya. Aku bukan bangsa final. Aku tonton perlawanan Sang Penyu dan Harimau Selatan sehingga baru aku tahu pemain yang menanggalkan jersey ketika masih dalam perlawanan akan dilayangkan kad kuning. Barangkali letih memandu di waktu malam, atau penangan meneguk kopi sepanjang perjalanan buat mata ini sukar benar untuk dilelapkan.

Dalam hati, alangkah bagusnya kalau hari ini, 10hb Disember cuti peristiwa. Tetapi tetap jua bersyukur untuk cuti dibawa ke Ahad minggu hadapan. Hari ini, tiga tahun yang lalu, aku dan isteri diijabkabul di Pejabat Kadi Pontian. Masih segar dalam ingatan, dengan kawalan yang ketat, kami disatukan. Kelak kakak dan adik besar, pasti akan ditanya beraneka ragam. Kenapa babah dan ibu pakai penutup mulut masa bernikah? PKP tu apa? COVID tu apa? Bersiap sedia sahajalah. Untuk isteri tersayang, selamat ulang tahun perkahwinan yang ketiga. Nanti kita fikirkan kek aiskrim lain untuk gantikan jenama aiskrim yang kita boikot tu. Boikot tetap boikot demi saudara kita di sana.

Namun, hati ini berbelah bagi tatkala melihat skuter yang dihantar oleh adik ipar sebentar tadi. Secara jujurnya, aku tidak pernah membawa skuter seumur hayat. Skema mindaku ditetapkan skuter untuk kaum hawa. Kedua kaki nampak sopan ketika menunggangnya. Arwah ayah mentua beriya-iya kata “Halim guna skuter ayah nanti”, menjelang hari-hari terakhirnya. Aku tidak ambil pusing. Dengan apa yang aku berikan kepadanya sepanjang hayat aku kenal dengannya, aku tidak layak. Siapalah aku, hanya seorang menantu yang jarang-jarang menjenguknya.

Isteri aku anak tunggalnya. Faraid harta jatuh kepadanya. Demi Tuhan, aku tidak meminta apa-apa. Itu hak dia. Namun, geran skuter ditukar kepada namaku. Entahlah, hati ini masih berbelah bagi. Layakkah aku? Atau perlukah aku menukar semula ke nama isteri? Walau apa pun, sama ada aku atau isteri, skuter ini akan kami jaga sebaik mungkin agar pahala terus mengalir kepadanya.

Al-Fatihah buat ayah mentuaku dan selamat ulang tahun perkahwinan buat isteri dan anak-anakku.