Archives for April 21, 2024

[BAHAGIAN 1] Memupuk Perpaduan Kaum di Sekolah Vernakular Usaha Bersama

Sumber gambar: https://karangan.net/ujian-lisan-tajuk-perpaduan-kaum/

Salah satu wadah utama kerajaan Malaysia mencapai perpaduan dan integrasi kaum ialah melalui pendidikan. Malah pendidikan merupakan satu sistem sosial yang paling penting untuk pertumbuhan dan kemajuan negara kita yang berbilang kaum. Jika ditelusuri sejarah kewujudan sekolah vernakular di Malaysia, sejak pertengahan tahun 1800-an sehingga Perang Dunia Kedua, kerajaan British telah memulakan pembinaan sekolah rendah vernakular Melayu. “Vernakular” merujuk kepada “bahasa pengantar bahasa ibunda.” Sekolah vernakular Cina ditubuhkan oleh orang Cina dan sekolah vernakular Tamil ditubuhkan oleh pemilik ladang kopi dan getah kerana dasar British membenarkan penubuhan sekolah baharu. Perpaduan antara kaum menjadi lebih mencabar disebabkan oleh latar belakang sistem pendidikan yang berbeza-beza antara kaum. Sebelum mereka meninggalkan Tanah Melayu, British menyedari isu ini yang seterusnya membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Barnes pada tahun 1950. Jawatankuasa ini mendapati bahawa pendidikan pada peringkat rendah lagi boleh menyumbang kepada perpaduan. Mereka mencadangkan pendidikan satu aliran yang dipanggil Sekolah Kebangsaan, di mana bahasa pengantar adalah bahasa Melayu dan Inggeris. Semua sekolah berasaskan kaum juga harus ditutup untuk mencapai matlamat perpaduan. Namun, cadangan tersebut sukar dilaksanakan kerana semua kaum tidak bersedia untuk melakukannya. Hasilnya, penyata Fenn-Yu mencadangkan bahawa hanya sekolah yang mempunyai bahasa pengantar masing-masing perlu dikekalkan. Laporan Razak 1956 mencadangkan sistem pendidikan yang komprehensif. Walau bagaimanapun, bahasa pengantar Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris masih digunakan di sekolah rendah vernakular. Laporan ini turut menegaskan akan sistem pendidikan sekolah menengah yang sama untuk semua kaum. Ini bermaksud tiada sekolah menengah berasaskan kaum diwujudkan.

Bersambung…