[Bahagian 1] Guru Perlu Kreatif Mentaksir Pelajar Dalam Norma Baharu

Pic source: https://onlinelearningconsortium.org/assessing-across-modalities-strengthening-the-intentionality-of-curricular-design/

Malaysia berhadapan situasi gelombang ketiga pandemik COVID-19 bermula bulan Oktober 2020. Pada awal bulan Oktober, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan Malaysia dilanda gelombang ketiga pandemik ini setelah negara mencatatkan angka tiga digit kes baharu. Sehubungan itu, sistem pendidikan kebangsaan sekali lagi terkesan berikutan analisis data kes positif, kontak rapat dan kuarantin dalam kalangan pelajar, guru serta warga sekolah yang semakin meningkat. Sehubungan itu, sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup buat kali kedua. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil beberapa inisiatif awal. Pertama, KPM telah mengedarkan surat pekeliling ikhtisas, surat siaran, surat pemakluman dan garis panduan KPM yang berkaitan. Kedua, KPM menyediakan Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Inisiatif KPM ini bertepatan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menetapkan setiap pelajar perlu mendapat akses kepada pendidikan untuk mencapai potensi diri bagi menghadapi kehidupan masa hadapan. Oleh itu, pelajar berhak mendapat peluang mengikuti pendidikan walaupun mereka tidak dapat hadir ke sekolah. Sehubungan dengan itu, sistem pendidikan negara perlu mewujudkan satu mekanisme baru dalam kaedah pentaksiran PdPR apabila sekolah terpaksa dibuat buat kali kedua ketika gelombang ketiga pandemik COVID-19 melanda Malaysia. Guru bukan sahaja perlu merancang dan mengaplikasikan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara berkualiti melalui pembelajaran di rumah malah pada masa yang sama guru perlu meneroka dan merancang pentaksiran alternatif untuk menggantikan peperiksaan dan ujian bertulis secara bersemuka supaya pentaksiran secara formatif dan sumatif dapat terus dilaksanakan kepada pelajar. Bertepatan dengan itu, pentaksiran alternatif dapat memastikan kesinambungan pembelajaran berkualiti sepanjang pelajar melalui home-based learning. Pelaksanaan pentaksiran alternatif membolehkan guru memantau perkembangan pembelajaran pelajar, menjalankan pentaksiran dan memperbaiki mutu pembelajaran pelajarnya semasa pandemik COVID-19.

Terdapat keperluan bagi guru untuk menggabungkan kaedah penilaian alternatif dalam PdP supaya guru boleh menilai kebolehan pelajar dengan berkesan. Definisi pentaksiran alternatif merujuk kepada pelbagai aktiviti selain peperiksaan untuk menilai penguasaan dan mengesan perkembangan pembelajaran pelajar. Pentaksiran ini selaras dengan kaedah Pembelajaran Abad ke-21 yang berteraskan elemen kolaborasi, kreativiti, komunikasi, pemikiran kritikal dan nilai. Pentaksiran alternatif seiring dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang berfokus kepada perkembangan dan kemenjadian pelajar secara holistik. Oleh itu, guru yang melaksanaan PdPR ketika pandemik COVID-19 boleh menggantikan kaedah pentaksiran konvensional dengan pentaksiran alternatif.

Bersambung…

Speak Your Mind

*