[BAHAGIAN 1]Kunjungi Universiti; Tempat Orang Mengejar Ilmu Tanpa Mengira Masa (Sempena Penubuhan Universiti Teknologi Malaysia ke-50 Tahun)

SUMBER GAMBAR : https://world.uz/en/post/view/universitet_tehnologiy_malayzii_utm

Seawal dari kanak-kanak, kita selalu didendangkan dengan ayat ini, “belajarlah rajin-rajin, biar dapat masuk universiti, barulah boleh hidup senang”. Tidak dinafikan, dengan segulung ijazah memudahkan seseorang mendapatkan kerja yang baik dengan pendapatan yang lumayan. Tambahan pula, memetik kata-kata bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, pendidikan merupakan senjata paling berkuasa yang dapat mengubah dunia. Universiti atau sering dirujuk sebagai menara gading, ialah institusi pendidikan tinggi dan penyelidikan yang menganugerahkan ijazah akademik dalam pelbagai disiplin akademik. Universiti biasanya menawarkan program sarjana muda dan pascasiswazah di sekolah atau fakulti dalam pelbagai bidang pembelajaran yang berbeza. Bak kata pepatah, kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Salah satu inisiatif tempat lawatan kepada murid sekolah atau anak-anak yang boleh dipertimbangkan oleh pelbagai pihak terutamanya pihak sekolah dan ibu bapa ialah universiti. Universiti merupakan satu kawasan yang mana warganya mengejar ilmu tidak mengira masa sama ada siang atau malam. Selain zoo, taman tema, pantai dan sebagainya, institusi pendidikan tinggi merupakan tempat yang boleh dilawati. Penulis percaya anak-anak terutamanya murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah akan memperolehi pengalaman baru yang dapat memberi mereka motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh untuk melanjutkan pengajian tinggi di menara gading. Banyak tempat menarik yang boleh dilawati dalam kampus universiti. Salah satu daripadanya ialah perpustakaan universiti.

Perpustakaan universiti merupakan nadi kepada sesebuah universiti dan ia berfungsi untuk menyokong kurikulum, dan untuk menyokong penyelidikan fakulti dan mahasiswa universiti. Perpustakaan memainkan peranan asas dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran, menyediakan mahasiswa dengan semua bahan dan perkhidmatan yang mereka perlukan untuk meningkatkan pengetahuan mereka. Ia merupakan ruang fizikal di mana mahasiswa boleh mencari pelbagai bahan seperti buku, kamus dan ensiklopedia, kawasan di mana mahasiswa boleh berehat dan menenangkan minda dengan mendengar muzik atau membaca buku, tempat di mana mahasiswa dapat mencari jurnal antarabangsa dan mengetahui perkara yang berlaku di seluruh dunia dan kawasan belajar bebas serta ruang pembelajaran kolaboratif di mana mahasiswa boleh bertemu dengan mahasiswa lain untuk menyelesaikan projek kumpulan. Pihak sekolah dan ibu bapa boleh menjadikan perpustakaan sebagai salah satu destinasi sekiranya mereka membawa pelajar atau anak-anak mereka ke kampus universiti. Penulis percaya staf-staf perpustakaan terutamanya pustakawan gembira untuk melayan lawatan pelajar di samping mereka berbesar hati untuk menerangkan kemudahan-kemudahan yang terdapat dalam perpustakaan tersebut. Malah terdapat perpustakaan universiti yang membuka keahlian kepada pihak luar terutamanya pelajar sekolah. Dalam perpustakaan pelajar dapat melihat mahasiswa  universiti sibuk menyiapkan tugasan (assignment), tekun mengulangkaji pelajaran atau ada yang berbincang dengan rakan-rakan sekuliah tentang tugasan yang perlu disiapkan. Pelajar juga boleh melihat koleksi buku, majalah dan jurnal dalam pelbagai bidang yang terdapat di rak-rak dalam perpustakaan.

Bersambung…

Speak Your Mind

*