[Bahagian 2] Inovasi Universiti Bantu Negara Berdepan Pandemik

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-inovasi-universiti-bantu-negara-berdepan-pandemik/

Sumber gambar:https://getwideideas.com/idea-management-lessons-to-generate-ideas/

PPPM PT juga menggariskan enam atribut pelajar dan graduan yang perlu dihasilkan oleh IPT dan salah satunya ialah kemahiran berfikir iaitu menghayati pendapat yang pelbagai, berfikir secara kritikal dan inovatif, dan berkemahiran menyelesai masalah serta berciri keusahawanan. Sehubungan itu, sejumlah penuntut Universiti Malaya (UM) telah bekerjasama menghasilkan perisai muka untuk kegunaan petugas hospital. Dengan batasan pergerakan dan dengan bantuan beberapa NGO, akhirnya mereka dapat menghasilkan pelindung muka di bawah inisiatif ‘Face Shield Heroes (FSH)’. Sekumpulan alumni, pelajar dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut bekerjama menghasilkan pelindung muka kepada klinik, hospital dan pusat kuarantin berdekatan yang memerlukannya. Selain itu, face shield turut dihasilkan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang dinamakan di bawah projek ‘Personal Protective Equiment COVID-19’ (PPE COVID-19) untuk diagihkan kepada pihak yang terlibat dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pula menghasilkan pelindung muka dengan menggunakan filamen, kertas A4 lutsinar dan peralatan lain bagi kegunaan petugas khususnya di Pantai Timur. Jadi kita dapat lihat peranan IPT yang giat menghasilkan face shield di IPT masing-masing bagi kegunaan petugas baris hadapan seperti polis, tentera dan petugas perubatan di klinik dan hospital berdekatan dengan IPT masing-masing.

Selain face shiled, pihak IPT juga menggunakan kepakaran yang ada dengan menghasilkan hand sanitizer yang semakin sukar didapati di pasaran. Sekumpulan pensyarah UTM umpamanya menyediakan sanitizer menggunakan isopropyl alcohol 99% AR grade, aloe vera, essential oil dan air dan diedarkan di sekitar kampus Johor Bahru. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula menghasilkan cecair pembasmi kuman menggunakan 70 peratus bahan aktif yang berasaskan alkohol, dengan ramuan tambahan seperti gel aloevera dan dihasilkan mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Di  UPM, produk sanitasi tangan untuk mencegah penyebaran virus Covid-19 dengan menggunakan formulasi gel lidah buaya dihasilkan, manakala di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hand sanitizer dihasilkan dengan menggunakan 99 peratus alkohol, kemudian dicairkan menjadi 70 peratus. Universiti Sains Malaysia (USM) pula menghasilkan pembersih tangan yang menggunakan limau purut sebagai wangian dan mengandungi sekurang-kurangnya 65 peratus alkohol untuk membunuh virus dan bakteria pada permukaan kulit. UMK menghasilkan sendiri cecair pembasmi kuman yang dinamakan UMK Care Hand Sanitizer (HS) bagi kegunaan komuniti yang memerlukan. Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga dikatakan akan menghasilkan cecair pembasmi kuman untuk dimanfaatkan oleh warga kampusnya.

Bersambung…