[Bahagian 1] Inovasi Universiti Bantu Negara Berdepan Pandemik

Sumber gambar: https://www.entrepreneur.com/article/347669

Inovasi merujuk kepada penghasilan, asimilasi, dan eksploitasi sesuatu yang baru ditambah nilai dalam bidang ekonomi dan sosial, dan pembaharuan dan penambahbaikan penghasilan produk dan perkhidmatan. Inovasi merupakan proses dan produk, dan ia melibatkan perubahan dalam sesuatu yang sedia ada, terutamanya dengan memperkenalkan kaedah, idea, atau produk baru. Inovasi merupakan salah satu komponen dan budaya yang menjadi amalan dalam ekosistem institusi pendidikan tinggi (IPT) bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Hal ini selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia untuk mengangkat agenda “Universiti Untuk Masyarakat” iaitu universiti menjalankan inovasi yang mana hasil inovasi merupakan jawapan terhadap pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat pada hari ini khususnya menangani masalah pandemik Covid-19. Hal ini selari dengan gagasan yang dibawa oleh mantan-mantan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia sebelum ini serta YAB Menteri Pengajian Tinggi pada hari ini yang menitikberatkan “translational research and innovation” iaitu penyelidikan dan inovasi yang menghasilkan impak tinggi kepada pelbagai pihak khususnya masyarakat yang memerlukan. Inovatif merujuk pendekatan strategik dalam berhadapan dengan transformasi yang lebih dinamik untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam persekitaran global yang semakin mencabar. Dalam konteks semasa iaitu mengekang penularan pandemik Covid-19 ini, banyak IPT yang membantu kerajaan dengan menggunakan kepakaran yang ada dan inovasi yang telah dihasilkan.

Hampir setiap hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada sahaja inisiatif yang dilaksanakan oleh IPT dalam berganding bahu membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menangani pandemik ini. Hal ini selari dengan apa yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM (PT)) yang menyatakan terdapat sepuluh lonjakan dalam PPPM (PT) dan salah satu daripadanya ialah  ekosistem inovasi. Ia bermatlamat untuk memudahkan pembangunan ekosistem inovasi dalam bidang keutamaan negara khususnya pada masa kini, mengatasi masalah yang sedang dihadapi oleh negara kita.  IPT digalakkan meningkatkan peranan masing-masing sebagai penyedia penyelesaian masalah kepada masalah Covid-19 kini. Kebanyakan IPT membantu barisan hadapan dengan menyediakan pelindung muka atau face shield kepada mereka. Face Shield yang dihasilkan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh KKM terlebih dahulu. Face shiled ini dihasilkan dengan menggunakan kepakaran dan fasiliti yang terdapat di IPT masing-masing. Antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan ‘UTM Face Shield’ untuk kegunaan kakitangan KKM di Hospital Permai, sembilan hospital swasta di Johor dan petugas universiti seperti pengawal, staf pusat kesihatan dan sebagainya. Staf dan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga mencipta pelindung muka tiga dimensi (3D) bagi membantu petugas di kampus, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat. Penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula menghasilkan UTeMShield dan PlexiBox yang berupaya melindungi para perubatan di poliklinik serta hospital sekitar Melaka. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka dan pelindung plastik pakai buang kepada petugas hospital di Hospital Tunku Jaafar dan Hospital Ampang Jaya. Jabatan Keselamatan universiti berkenaan yang bertugas di pintu masuk universiti juga menerima tempias bantuan berkenaan. Selain itu, bekerja dari rumah atau work from home (WFH) memberi peluang kepada dua orang pensyarah dan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan face shield di rumah masing-masing bagi memenuhi keperluan petugas perubatan di beberapa buah hospital di sekitar Lembah Klang.

Bersambung…

Speak Your Mind

*