[Bahagian 2] Isu Pengangguran Dalam Kalangan Graduan dan Langkah Penyelesaian

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-isu-pengangguran-dalam-kalangan-graduan-dan-langkah-penyelesaian/

Hasil dapatan dari beberapa kajian telah menunjukkan bahawa terdapat ketidaksepadanan antara keperluan pekerjaan dalam industri dan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh graduan institusi pendidikan tinggi. Impaknya, para graduan menghadapi masalah dalam mendapatkan pekerjaan kerana mereka tidak dapat memenuhi kriteria yang diperlukan oleh pihak industri. Dapatan kajian ini menyokong laporan Majlis Tindakan Ekonomi Negara bahawa salah satu faktor pengangguran dalam kalangan graduan adalah terdapat ketidaksepadanan kompetensi yang diperlukan industri dengan kemahiran yang dimiliki oleh graduan. Untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah dan mengurangkan ketidaksepadanan kemahiran, kurikulum yang berorientasikan industri seharusnya perlu dibangunkan dan dilaksanakan secara meluas. Antara contoh pelaksanaan terbaik kurikulum berasaskan industri ketika ini ialah program 2u2i yang memberi penekanan kepada pembelajaran luar kampus atau berasaskan industri. Ia menggabungkan pembelajaran akademik dan aplikasi pembelajaran sebenar di tempat kerja. Selain itu, banyak kajian yang membuktikan bahawa kekurangan kemahiran insaniah menjadi salah satu faktor pengangguran dalam kalangan graduan. Antara kemahiran insaniah yang dilihat kurang dimiliki oleh para graduan ialah kreativiti yang turut diakui oleh World Economic Forum pada tahun 2015. Hasil daripada beberapa kajian terdahulu turut menekankan kepentingan kreativiti sebagai atribut graduan yang penting untuk kebolehpasaran. Menurut Pejabat Pra-Siswazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), penekanan yang semakin meningkat mengenai keperluan kemahiran insaniah dalam kalangan siswazah adalah sebahagian daripada hasil maklum balas daripada majikan industri. Antara kemahiran yang sangat diperlukan oleh majikan adalah kemahiran komunikasi, kemahiran kerja berpasukan, keupayaan untuk berfikir kritikal dan bebas, fleksibiliti dan kesesuaian, penyelesaian masalah dan kreativiti serta kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sumber: http://www.goldtelegraph.com/20%25-of-american-families-were-jobless

Rentetan daripada itu, tindakan sewajarnya perlu segera dilakukan di peringkat institusi pendidikan tinggi untuk menghasilkan graduan yang dapat memenuhi keperluan pasaran semasa dan masa hadapan. Mahasiswa yang akan menjadi modal insan di abad ke-21 ini memerlukan satu set kemahiran yang berbeza dalam pembelajaran mereka di kampus. Untuk berkembang maju dalam ekonomi yang dipengaruhi oleh aspek inovasi hari ini, World Economic Forum telah menggariskan 16 kemahiran abad ke-21 yang dibahagikan kepada tiga kategori utama: literasi asas, kecekapan, dan kualiti karakter. Kategori literasi asas merujuk kepada bagaimana pelajar mengaplikasikan kemahiran asas dalam situasi harian. Antaranya literasi, numerasi, literasi saintifik, literasi ICT, literasi kewangan dan literasi budaya dan sivik. Kategori kompetensi meliputi bagaimana pelajar mendepani cabaran yang kompleks dengan kemampuan untuk berfikir secara kritikal, kreativiti, berkomunikasi, dan bekerjasama. Sementara itu, kategori kualiti karakter merujuk kepada bagaimana pelajar berhadapan dengan persekitaran yang berubah-ubah menerusi kemahiran seperti sifat ingin tahu, berinisiatif, ketekunan, penyesuaian, kepimpinan, dan kesedaran sosial dan budaya.

Bersambung…….