[Bahagian 1] Isu Pengangguran Dalam Kalangan Graduan dan Langkah Penyelesaian

Institusi pendidikan tinggi berperanan untuk menghasilkan modal insan yang boleh menyumbang ke arah pembangunan dan kelestarian kemajuan sesebuah negara. Banyak forum, artikel dan pihak tertentu yang telah membincangkan bagaimana institusi pendidikan tinggi boleh bertindak sebagai medan untuk menghasilkan graduan yang boleh menyumbang kepada kemajuan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, ketika tumpuan diberikan kepada peranan universiti dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti, peratusan pengangguran dalam kalangan graduan di Malaysia terus menjadi isu yang hangat diperkatakan. Menurut Jabatan Statistik Malaysia, kadar pengangguran di Malaysia telah meningkat daripada 2.6 peratus pada tahun 1996 ke 3.7 peratus pada tahun 2009 dan jumlah peratusan masih melebihi 3 peratus sehingga tahun 2013. Statistik terkini menunjukkan bahawa dalam kalangan graduan, 5.5 daripada 10 daripada mereka yang menganggur berumur di bawah 24 tahun, dan daripada lebih 250,000 graduan yang bergraduasi setiap tahun, satu daripada lima graduan baru masih gagal mendapatkan sebarang pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian. Selain itu, daripada 25 peratus pemegang ijazah sarjana muda yang tidak bekerja, 52 peratus daripadanya berlatarbelakangkan bidang sastera dan sains sosial. Lebih membimbangkan, berdasarkan jenis institusi pendidikan tinggi, 50 peratus daripada graduan universiti awam dan 47 peratus graduan daripada universiti swasta masih gagal mendapatkan pekerjaan. Walaupun begitu, menariknya, 98 peratus graduan dari politeknik dan 99 peratus graduan dari kolej komuniti dan institusi berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berjaya mendapatkan pekerjaan selepas bergraduasi. Selain itu, terdapat juga bukti empirikal yang menunjukkan bahawa bilangan graduan yang menganggur di negara-negara asia tenggara (ASEAN) bertambah setiap tahun sejak tahun 1996 hingga 2015. Menurut laporan “ASEAN Community 2015: Managing integration for better jobs and shared prosperity”, kadar pertumbuhan pekerjaan amat perlahan di ASEAN dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun pada tahun 2012 kadar pertumbuhan pekerjaan meningkat sebanyak 1.9 peratus, jumlah itu menurun kepada 1.5 peratus pada tahun 2013 dan angka ini tinggi sedikit berbanding kadar global iaitu sebanyak 1.4 peratus.

Sumber: http://www.milkthecowpodcast.com/words/2015/7/15/hello-my-name-is-unemployed

Bersambung…..

Speak Your Mind

*