[Bahagian Akhir] Kenangan Terindah di Dua Buah Kota Terkenal Pulau Sumatera: Banda Aceh dan Padang

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-kenangan-terindah-di-dua-buah-kota-terkenal-pulau-sumatera-banda-aceh-dan-padang/

Setelah meluangkan tiga hari dua malam di Banda Aceh, saya terbang ke Padang yang terletak di sebelah barat pulau Sumatera. Disebabkan tiada penerbangan terus dari Banda Aceh ke Padang, saya mengambil penerbangan ke sana melalui Medan. Sebagaimana di Banda Aceh, usai menyampaikan ceramah di sebuah persidangan antarabangsa di sana, saya dibawa berjalan-jalan ke tempat-tempat yang menjadi kemestian untuk dilawati kepada pelancong. Destinasi pertama saya di kota Padang ialah Masjid Agung Sumatera Barat yang merupakan masjid terbesar di Sumatera Barat, dan masjid kedua terbesar di Kepulauan Sumatera. Ia terletak di daerah Padang Utara. Pertama kali saya melihat masjid ini, hati terus terpegun dan teruja dengan keunikan seni binanya yang sangat berbeza dengan senibina-senibina masjid yang biasa kita lihat. Keunikan senibina masjid ini terletak pada bentuk bumbungnya iaitu refleksi kepada bumbung tradisional rumah-rumah vernakular Minangkabau. Selain itu, bentangan atapnya dikatakan menggambarkan bentuk bentangan kain yang digunakan untuk mengusung batu Hajar Aswad ketika berlakunya insiden perselisihan faham antara empat kabilah suku Quraisy di Mekah untuk memindahkan batu tersebut. Masjid tersebut terdiri daripada tiga tingkat dan dewan solat utama terletak di tingkat dua. Masjid ini mampu menampung 20,000 orang pada satu-satu masa. Malah saya difahamkan bahawa Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) juga pernah mengerjakan solat sunat Aidilfitri di masjid ini pada tahun 2016. Selepas meluangkan masa selama kira-kira setengah jam di masjid tersebut, saya dibawa mencuba ais durian yang sangat terkenal dalam kalangan pelancong asing dan tempatan. Ais durian ini mengandungi tiga lapisan iaitu lapisan pertama dan yang paling bawah adalah isi durian tanpa biji yang dikisar hingga lembut, kemudian disiram jus durian dan sedikit susu cair manis. Rasanya amat sedap dan menyegarkan apatah lagi cuaca ketika itu agak terik. Usai menikmati ais durian yang sangat lazat, perjalanan diteruskan ke Gunung Padang yang merupakan sebuah bukit kecil dengan ketinggian puncak kira-kira 80 meter di atas paras laut. Masyarakat setempat menamakannya Gunung Padang kerana bukit ini dikatakan sebagai tempat paling tinggi di sekitar pusat bandar Padang. Dari lereng gunung Padang ini, saya dapat menyaksikan pemandangan Lautan India dan pulau Pisang Besar di Pantai Air Manis. Selain dapat menikmati panorama indah lautan luas yang membiru, gunung Padang ini juga terkenal dengan kisah sejarah pendudukan Jepun suatu masa dahulu. Selepas menikmati keindahan lautan dari lereng Gunung Padang, saya meminta untuk berhenti sebentar di Jambatan Siti Nurbaya yang juga merupakan ikon Kota Padang. Jambatan ini menghubungkan kawasan Kota Tua Padang di Berok Nipah dengan kaki Gunung Padang. Jambatan ini mengisahkan tentang cinta antara sepasang remaja, Samsulbahri dan Siti Nurbaya, yang ingin hidup bersama tetapi tidak kesampaian apabila Samsulbahri dipaksa pergi ke Batavia. Tidak lama selepas itu, Nurbaya merelakan dirinya untuk berkahwin dengan Datuk Meringgih yang kaya sebagai cara untuk melangsaikan hutang ayahnya. Dia kemudian dibunuh oleh Meringgih yang memberikannya lemang beracun. Kisah ini berakhir dengan Samsulbahri, yang ketika itu merupakan anggota tentera kolonial Belanda, membunuh Datuk Meringgih. Kisah ini ibarat kisah Romeo dan Juliet versi masyarakat tempatan di situ. Makam Siti Nurbaya dikatakan berada di puncak gunung Padang. Semasa saya tiba di jambatan tersebut, kelihatan para peniaga sedang membuat persiapan untuk menjual pelbagai makanan di tepi sepanjang jambatan berkenaan. Antaranya jagung bakar, air kelapa muda dan banyak lagi. Saya melihat keindahan lereng Gunung Padang yang menghijau dan menjadi penempatan penduduk tempatan sebelum dibawa pulang ke tempat penginapan.

Hampir seminggu meluangkan masa bukan sahaja sebagai penceramah akademik, tetapi juga sebagai pelancong di Banda Aceh dan Padang memberikan kenangan manis kepada saya yang pertama kali berkunjung ke dua buah kota terkenal di Pulau Sumatera tersebut.

Masjid Agung Sumatera Barat

Masjid Agung Sumatera Barat

Pemandangan dari Gunung Padang

Warung di lereng Gunung Padang

Pemandangan dari Jambatan Siti Nurbaya

Tamat