Sambungan dari : https://people.utm.my/halim/bahagian-2-kepentingan-kesinambungan-penyelidik-muda-di-institusi-pendidikan-tinggi/
Dalam situasi yang mencabar ketika ini, penyelidik muda perlu bersedia untuk unlearn dan relearn. Mereka tidak boleh terus berasa selesa dengan apa yang mereka nikmati pada hari ini. Mereka perlu keluar dari kepompong keselesaan. Mereka tidak boleh mengharapkan saluran dana dari universiti dan kerajaan semata-mata. Setiap dari mereka perlu membawa sesuatu yang lebih baik dan lari dari kebiasaan. Apabila memahami sebab mereka diminta untuk membuat perubahan lebih-lebih dalam situasi mencabar yang kerap menguji mereka dari semasa ke semasa, mereka akan lebih bersedia untuk menggugurkan (unlearn) kaedah lama dan mengguna pakai (relearn) kaedah yang baru. Contohnya, sebelum ini mereka sudah terbiasa menulis proposal penyelidikan yang lebih bersifat teknikal, tetapi kini sudah tiba masanya untuk mereka menghasilkan proposal penyelidikan yang memasukkan nilai-nilai tertentu dan bersifat layman untuk menarik lebih banyak pihak penaja menyalurkan dana penyelidikan kepada mereka sebagai penyelidik muda.
Natijahnya, bakat muda khususnya dalam penyelidikan dan dunia akademia perlu dimanfaatkan dan perlu diberi sokongan sewajarnya kerana merekalah penyambung kepada kejayaan yang dikecapi bukan sahaja oleh institusi pendidikan mereka malah oleh negara kita. Kecerdikan dan keringat mereka perlu digembleng untuk terus menjayakan kelangsungan universiti serta negara dan pada masa yang sama terus melakar kejayaan dalam pelbagai bidang yang dapat memberikan impak besar kepada sains, teknologi, dan masyarakat.
Tamat