[Throwback] Coretan Malam Tahun Baru

Babah keluar bilik senyap-senyap untuk ke ruang tengah. Nampak gaya ibu, kakak dan adik dah tidur selepas layan Netflix tadi. Malam masih awal bagi babah. Jadi babah buka laptop untuk baca draf tesis pelajar. Line clear, detik babah dalam hati. Sewaktu bujang dahulu, babah boleh baca tesis sampai lewat pagi. Kalau jam 2 atau 3 pagi rasa lapar, siap boleh keluar pergi kedai mamak yang buka 24 jam. Kemudian balik, sambung buat kerja sampai subuh. Lepas tu baru tidur. Tapi itu rutin hujung minggu lah.

Tapi tadi, rasanya babah baru baca muka surat pertama, tiba-tiba muncul seorang makhluk kecil datang ke arah babah. Laaa..kakak rupanya. Ingatkan dia dah tidur. Adik dia demam dan selesema. Alhamdulillah setakat tadi, dia belum berjangkit. Harapnya tak berjangkitlah walaupun tak pernah lagi berlaku sebelum-sebelum ini. Jadi ibu ngempengkan si adik yang asyik merengek. Mungkin si kakak rasa tersisih, dia datang kepada babahnya. Baru tahu nak cari babah kan.

Babah kalau dengan anak-anak memang akan kalah. Terus cair dan sering tewas. Kakak nak minta kena bobok dan urutlah tu. Jadi babah tutup laptop dan tidurkan dia kat bilik satu lagi sebab taknak dia kacau adik dia yang baru nak lena. Kehidupan babah sejak ada anak-anak ni memang berubah 360 darjah. Tiada istilah buat kerja lewat malam, lepak minum kopi dengan kawan, main bowling atau tengok wayang. Hari bekerja, siang pergi kerja, petang ke malam masa untuk mereka. Hujung minggu, kalau ada masa, curi-curi sedikit buat kerja. Itulah realiti hidup berkeluarga dan babah bersyukur seadanya.

Masa bujang dahulu, hatta nak cari sehelai t-shirt sekalipun pergi JPO. Balik kerja pergi gym Celebrity Fitness. Ikut trend gaya hidup terkinilah kononnya. Huhu. Sekarang babah beli t-shirt 3 helai RM50 je. Kasut pun dulu jenama Nike, Adidas atau Crocodile. Sekarang babah tak kisah pakai kasut jenama Bata. Betapa kehadiran anak-anak ini mengajar babah erti kesederhanaan. Setiap kali gaji, perkara pertama dalam fikiran babah ialah bayaran pengasuh mereka, stok makanan mereka, pampers, susu dan sebagainya. Bakinya barulah babah fikir untuk babah dan ibu.

Alhamdulillah. Sepanjang tahun 2022 babah melihat anak-anak babah membesar depan mata. Daripada mereka meniarap, merangkak, duduk, memapah, berjalan, berlari sehinggalah sekarang memanjat. Babah bersyukur melihat perkembangan anak-anak yang positif. Semasa temujanji dengan klinik kesihatan baru-baru ni jururawat maklumkan, berat dan tinggi kakak dah seiring macam perkembangan bayi full term. Cuma adik, tingginya belum memuaskan. Rancangnya nak cari trampolin untuk bagi mereka lompat-lompat.

Babah akan sentiasa doakan semoga kakak dan adik terus membesar dengan baik dan sihat untuk tahun-tahun mendatang. Terima kasih ya Allah atas anugerah terindah ini.

Selamat datang 2023!

Dunia Ini Bukan Milik Kita Seorang

PIC SOURCE: https://serahindia.blogspot.com/2010/10/this-world-is-not-mine.html

Setiap pagi, saya perlu lalukan kad untuk naikkan palang di pondok pengawal di taman perumahan. Saya akan angkat tangan kepada pengawal sebelum keluar ke jalan utama. Kemudian, saya akan melalui kawasan sekolah rendah yang sesak. Kalau pengawal keselamatan sekolah berkenaan minta berhenti untuk bagi laluan kepada kanak-kanak melintas, saya akan berhenti walaupun hati meronta-ronta nak cepat. Kemudian berhenti di lampu isyarat sebelum masuk ke Jalan Pontian-Skudai. Berleter juga kadang-kadang dalam hati kalau terpaksa berada di belakang kenderaan yang bergerak perlahan. Tapi azam tahun baru ni, saya nak jadi seorang yang positif. Sentiasa Husnuzon. Kemudian sampai pondok pengawal UTM, saya akan angkat tangan kepada pengawal. Tak kisahlah kalau mereka tak angkat tangan semula.

Kuliah hari rabu bermula jam 8 pagi. Saya memang akan terpacak dalam kelas sebelum jam 8. Saya mengajar bakal-bakal guru sekolah menengah. Jadi pertama, kita perlu jadi contoh kepada mereka. Kedua, saya nak pastikan mereka ada perubahan dari pelbagai aspek dari awal hinggalah ke hujung semester. Perubahan utama pastinya dari markah mereka. Tapi apa yang lebih penting, sikap mereka. Apatah lagi mereka bakal pendidik anak bangsa pada masa hadapan. Mana tahu mereka akan jadi cikgu kepada anak-anak saya. Jadi saya agak tegas terutamanya dari aspek ketepatan masa dan kehadiran kuliah. Tapi saya boleh bertoleransi kepada mereka yang punya alasan kukuh seperti tidak sihat dan sebagainya dengan syarat ada bahan bukti. Baiknya saya, walaupun lewat sekalipun mereka hadir ke kuliah, saya tetap akan beri mereka untuk scan QR-code kehadiran. Sebab bagi saya, mereka put an effort untuk datang kelas. Tapi selepas dengar saya membebel lah. Haha. Tapi pantang saya, kalau ada mereka yang scan kan bagi pihak rakan mereka yang tidak hadir. Itu tidak jujur namanya. Zaman dahulu mungkin lebih mudah sebab guna kertas. Tapi sekarang dah ada teknologi scan kehadiran dan nak detect memang mudah.

Bagi saya, dunia ini bukan untuk kita sahaja. Dunia ini milik bersama. Masing-masing ada tugas, tanggungjawab dan komitmen. Pengawal taman perumahan saya umpamanya, mereka bukan warga negara Malaysia. Tapi mereka mencari rezeki untuk keluarga mereka di negara asal. Mereka berjaga 24 jam untuk menjaga kawasan perumahan. Pengawal sekolah juga sama. Satu hari nanti anak-anak saya juga akan bersekolah. Mereka berkorban untuk anak-anak orang lain demi sesuap nasi untuk anak-anak sendiri. Pelajar-pelajar saya juga sama. Walaupun pelajar, mereka wajar dihormati. Sebagai abang (atau pakcik), saya mempunyai tanggungjawab untuk memberi nasihat kepada mereka. Mereka nak terima atau tidak, terpulang kepada mereka. Kita dah buat apa yang sepatutnya kita buat.

Jadi, hormatlah sesiapa sahaja kalau nak diri sendiri dihormati. Daripada makcik cleaner, pengawal keselamatan, kerani, hinggalah ke mereka yang berjawatan besar, mereka berhak dihormati. Tapi bagaimana kalau kita hormat orang lain, sebaliknya dilayan tidak sepatutnya oleh orang lain? What goes around comes around. Tuhan itu maha adil. Jangan sesekali anggap kita ini sudah cukup bagus. Kita tidak selamanya berada di atas. What you give, you get back. Ada orang kata lawan tetap lawan. Tapi sejujurnya itu bukan saya. Kehidupan ini satu perjalanan, bukan destinasi. Istilah hukum karma tiada dalam kamus umat Islam. Biarlah Allah jua yang membalas setiap kebaikan dan keburukan yang kita lakukan.

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar:10)

Saya bukan orang yang baik pun. Tapi saya akan terus berusaha untuk sentiasa memperbaiki kelemahan saya.

Wallahualam

There Is No Loyal Friend As Loyal As A Book

Post pertama untuk tahun 2023 ini untuk bagi semangat kepada saya untuk terus menulis. InshaAllah mulai tahun 2023, saya berhasrat untuk menyiapkan sekurang-kurangnya satu manuskrip buku setiap tahun. InshaAllah, kalau panjang umur, saya ada 20 tahun lagi perkhidmatan. Sebelum bersara, saya dapat hasilkan sekurang-kurangnya 20 buah buku.
 
الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه
 
Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya.” (HR Muslim No: 3084)
آمِيْن يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ
 
P/S: Saya juga berbesar hati sekiranya ada pihak Penerbit Universiti/ Pejabat Karang- Mengarang yang ingin melantik saya menjadi penilai manuskrip buku terutamanya dalam bidang pendidikan.
 
Senarai buku saya sehingga hari ini.
 
Tajuk Buku: Pendidikan Matematik Menengah Di Malaysia dan Korea Selatan
Penerbit: Penerbit UTM Press
Tajuk Buku: Usage of Technologies in the Teaching and Learning of Geometry
Penerbit: Penerbit UTM Press
Tajuk Buku: Kerja Mudah dengan Geometer’s Sketchpad 5
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Tajuk Buku: Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Dalam Pendidikan
Penerbit: Penerbit UTM Press
Tajuk Buku: Isu-Isu Berterusan Dalam Pendidikan di Malaysia
Penerbit: Pelangi Publishing Sdn Bhd
Tajuk Buku: Hala Tuju Pendidikan STEM di Malaysia
Penerbit: Penerbit UTM Press
Tajuk Buku: Pembelajaran dan Pemikiran Geometri van Hiele
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

[BUKU] Hala Tuju Pendidikan STEM di Malaysia

Buku ini membincangkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dari aspek teori dan pelaksanaannya di Malaysia. Buku ini merangkumi sebelas bab di mana Bab 1 menerangkan konsep pendidikan STEM. Bab 2 membincangkan mengenai hala tuju pendidikan STEM di Malaysia selari dengan kesediaan guru terhadap pelaksanaan pendidikan STEM bagi aspek kognitif, afektif dan tingkah laku yang dibincangkan dalam Bab 3. Bab 4 mengupas keperluan membangunkan kurikulum yang bersifat transdisiplin dan bersepadu. Bab 5 berkaitan dengan pelaksanaan kajian bagi mengenal pasti sikap pelajar terhadap STEM, efikasi kendiri dalam matematik serta pengetahuan tentang kerjaya berkaitan STEM. Kajian berbentuk eksperimen yang bertujuan untuk melihat kesan kursus terhadap pembangunan pengetahuan pedagogi iSTEM dikupas dalam Bab 6. Bab 7 mengupas kajian yang bertujuan untuk membangunkan kerangka kurikulum matematik STEM prasekolah dan standard pembelajaran dan panduan guru. Satu inovasi modul pengajaran STEM bagi topik litar elektrik yang dinamakan Insight Circuit dihuraikan dalam Bab 8. Bab 9 membincangkan amalan refleksi guru pakar STEM dalam meningkatkan kualiti pengajaran STEM dengan bantuan Model 5E. Bab 10 mengupas keberkesanan Pembelajaraan Aturan kendiri (PAK) berasaskan STEM yang dapat meningkatkan pengetahuan PAK bagi konstruk forethought, performance dan reflection. Bab 11 membincangkan dapatan kajian bagi mengenalpasti keberkesanan aktiviti pembelajaran STEM luar bilik darjah (PSLBD) dalam meningkatkan sikap dan minat pelajar terhadap STEM.

Penerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia

Penyampaian anugerah oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Tanggal 9 Disember 2022, saya menerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia. Ia merupakan antara anugerah berprestij pernah saya terima sepanjang bergelar ahli akademik dan penyelidik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Anugerah ini diberikan kepada ahli akademik yang berusaha memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang kepakaran masing-masing dalam aspek-aspek berikut di peringkat pendidikan tinggi; Pengiktirafan & Sanjungan (20%), Penerbitan (20%), Pengajaran (20%), Penyeliaan (15%), Penyelidikan (10%), Khidmat Perundingan & Inovasi (5%), Jawatan & APC (5%) dan Khidmat Ikhtisas & Masyarakat (5%).

Penyampaian anugerah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar di Dewan Za’ba, KPT Putrajaya.

Sesungguhnya ia bukan usaha setahun dua, tetapi ia usaha berterusan sejak saya terlibat dalam dunia akademia. Bertambah manis, anugerah ini diberikan sempena ulangtahun perkahwinan saya yang kedua pada 10 Disember 2022. Babah dedikasikan anugerah ini kepada anak-anak babah, isteri, emak, ayah, keluarga dan seluruh warga UTM.

Alhamdulillah

Sijil ditandatangani oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi

Garis Panduan Baru Edited Book (Book Chapters) Penerbit UTM Press

Kertas Cadangan Book Chapters boleh didapati daripada pautan berikut:

https://drive.google.com/file/d/18rvVoxbFaXJLpOf7Asfw-CZKMX-COdHK/view

Mencabarnya Bagi Anak-Anak Makan!

 

Saya bersetuju apabila ada yang memberi cadangan untuk mempelbagaikan suasana persekitaran anak-anak untuk bagi mereka makan. It works for my kids. Tapi ianya berkesan kalau ibu babah makan di kedai makan. Masalahnya takkan ibu babah duduk di meja makan semata-mata nak bagi anak-anak makan tanpa buat pesanan makanan kan? Kena carut je lah nanti dengan tuan punya kedai. Huhu
 
Fasa sekarang ni, mereka tengah banyak akal. Saya selalunya akan tanya pekerja kedai ada tak disediakan kerusi bayi. Kalau ada, ada tak yang bertali. Punyalah cerewet kan babah dia ni. Bukan apa, mereka boleh bangun dan berdiri atas kerusi bayi kalau takda tali pengikat. Bahaya untuk mereka. Selalunya kedai-kedai hipster memang ada kerusi sebegitu. Kalau ada baru kami masuk. Tisu basah memang wajib ada dalam beg mereka untuk lap kerusi tersebut sebelum letakkan mereka.
 
Bila part makan, ini paling mencabar. Sebagai babah, kita kalau boleh kena makan bersama dengan mereka. Katalah kalau kita bagi mereka makan dahulu sebelum makanan kita sampai, kita akan makan dengan keadaan yang tidak tenang. Mereka dah mula tak boleh duduk diam dan kita pun makan macam tak makan. Huhu. Jadi sementara makanan kita sampai, kita layan mereka. Kalau ada buah-buahan, kita bagi buah dahulu sebelum bagi main dish. Apabila makanan sampai, kita makan sambil bagi mereka makan. Barulah tenang jiwa dan raga.
 
Satu lagi saya nak share, saya kadang-kadang kasihan tengok anak-anak kita perhati je babah dan ibu makan sedap-sedap. Tapi makanan mereka nasi, sup ayam, sayur brokoli atau sayur lobak. Itupun masak dari rumah dan masuk dalam mangkuk tingkat. Ala-ala makcik kat kampung giteww. Jadi biasanya saya akan order omelette tanpa garam untuk mereka. Yang ini pun mesti cukup kriteria. Mesti nak ala-ala omelette yang kita makan sarapan pagi kat hotel. Alaaa.. yang kena beratur untuk order dan yang gulung-gulung tu. Padahal omelette tu telur dadar je kot. Pernah sekali order omelette kat kedai tom yam biasa. Dia buat telur dadar biasa dan garing. Hmmm.. Akhirnya babah mereka yang kena makan. Minggu lepas masa balik Benut makan dengan atok mereka pun sama. Manalah nak cari omelette macam tu kat Benut. Opsss.. marah orang Benut. Selalunya kedai-kedai hipster boleh buat. Memang laju diorang makan. Tapi kan bila ibu mereka buat kat rumah, taknak makan pula. Hairan bin ajaib.
 
Pernah juga bawa mereka ke taman permainan konon-konon nak bagi anak-anak makan. Tak jalan juga. Mereka terlalu excited main sampai taknak makan. Lepas tu babah yang sepatutnya bagi diorang makan pun akhirnya main sekali dengan mereka turun gelongsor yang berpusing-pusing tu. Haha
 
Saja nak share pengalaman bagi anak-anak makan.
 

Education Subject Ranking Based on Times Higher Education (THE) 2023

Semalam (26/10/2022) keputusan Times Higher Education (THE) 2023 berdasarkan subjek telah dikeluarkan. Sebagai ahli akademik dan penyelidik dalam bidang Pendidikan, saya pastinya tertarik dengan ranking untuk subjek Pendidikan terutamanya untuk universiti saya, UTM.

Jom kita buat sedikit analisis.

1. Secara keseluruhannya, semua universiti yang termasuk dalam ranking subjek Pendidikan menunjukkan penurunan dari tahun 2022 ke tahun 2023 kecuali UUM, UPSI dan UTAR.

2. UTAR tidak berada dalam ranking subjek Pendidikan pada tahun lalu, tetapi tersenarai untuk ranking tahun ini.

3. UUM menunjukkan peningkatan dalam Citations pada tahun 2023 dalam bidang Pendidikan

4. UPSI mendapat full marks untuk Industry income (knowledge transfer) untuk 2 tahun berturut-turut. Apabila saya search apa yang dimaksudkan dengan industry income, ini definisinya:

A university’s ability to help industry with innovations, inventions and consultancy has become a core mission of the contemporary global academy. This category seeks to capture such knowledge-transfer activity by looking at how much research income an institution earns from industry (adjusted for PPP), scaled against the number of academic staff it employs.The category suggests the extent to which businesses are willing to pay for research and a university’s ability to attract funding in the commercial marketplace – useful indicators of institutional quality (Source: THE 2023)

Mungkin kita boleh belajar daripada UPSI apa yang mereka usahakan. Elakkan berlumba-lumba siapa yang nak jadi lebih hebat, sebaliknya bersainglah secara sihat. Apa yang lebih penting, apa yang boleh pelajari dan perbaiki antara satu sama lain. Wallahu’alam

List of Journals Based on Journal Citation Reports 2022

PIC SOURCE: https://clarivate.com/webofsciencegroup/solutions/journal-citation-reports/

Salam all,


Please find the attached list of journals based on the annual Journal Citation Reports (JCR)™ that have been released recently. The Web of Science Core Collection™ includes the Science Citation Index Expanded™ (SCIE), Social Sciences Citation Index™ (SSCI), Arts & Humanities Citation Index™ (AHCI), and Emerging Sources Citation Index™ (ESCI).

http://people.utm.my/halim/wp-content/uploads/sites/748/2022/10/wos-core_SSCI-2022-June-22-1.pdf

http://people.utm.my/halim/wp-content/uploads/sites/748/2022/10/wos-jcr-2022-June-28-1.pdf

http://people.utm.my/halim/wp-content/uploads/sites/748/2022/10/wos-core_SCIE-2022-June-22-1.pdf

http://people.utm.my/halim/wp-content/uploads/sites/748/2022/10/wos-core_ESCI-2022-June-22-1.pdf

http://people.utm.my/halim/wp-content/uploads/sites/748/2022/10/wos-core_AHCI-2022-June-22-1.pdf


You may get further info via the following link

https://mjl.clarivate.com/search-results

Terima Kasih Research Management Centre (RMC) UTM

Salam jumaat semua

Hari ini (30/9/2022) merupakan hari terakhir saya sebagai Timbalan Pengarah RMC UTM. Pertama sekali saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan atasan UTM yang memberi peluang kepada saya untuk menyandang jawatan ini. Sepanjang tiga tahun berkhidmat, pastinya ada kekurangan dan kelemahan dari saya. Saya mohon ampun dan maaf. Halalkan segala apa yang saya termakan, terminum, tergunapakai dan sebagainya sepanjang saya di RMC. Terima kasih saya ucapkan kepada semua warga RMC dan warga UTM atas segala kerjasama dan bantuan yang telah diberikan. InshaAllah pengalaman dan kenangan manis sepanjang tiga tahun ini akan saya ingat sampai bila-bila.

Semasa saya berkhidmat di RMC juga saya mendirikan rumahtangga, memperolehi zuriat iaitu sepasang anak kembar perempuan dan membesarkan mereka sehinggalah kini mereka sudah berusia 14 bulan. Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan RMC yang terdahulu dan sekarang yang memahami keadaan saya untuk menguruskan rawatan anak-anak di HSA dan klinik kesihatan.

Terima kasih sekali lagi warga RMC dan UTM. Semoga UTM yang kita kasihi ini akan terus cemerlang kerana tuhan untuk manusia.

Tuan puteri pergi ke Rasah,

Pulang semula sebelah pagi,

Kita bertemu akhirnya berpisah,

Diizin Tuhan bersua lagi.