Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-sains-teknologi-kejuruteraan-matematik-stem-di-sebalik-pandemik-covid-19/
Berbalik kepada isu pandemik COVID-19 yang kini bukan sesuatu isu yang asing bagi rakyat Malaysia ketika ini khususnya, mempunyai implikasi terhadap teknologi yang juga merupakan salah satu elemen dalam pendidikan STEM. Dalam hal ini, teknologi digunakan untuk menangani pandemik COVID-19 dalam pelbagai kaedah. Sains dan teknologi memainkan peranan penting sebagai contoh, semasa di awal penularan wabak ini negara China telah menumpukan kepada beberapa inisiatif dalam bidang teknologi dalam usaha menangani pandemik COVID-19. Antaranya adalah Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) menggunakan sistem pengenalan wajah seseorang untuk mengesan pesakit yang dijangkiti walhal rekod-rekod perjalanan, alat atau android untuk menghantar makanan dan ubat-ubatan, dan juga kamera udara untuk membasmi kuman di tempat awam. Seperti diketahui umum, AI sebenarnya telah digunakan secara meluas untuk mencari molekul baharu dalam usaha menghasilkan vaksin COVID-19. Selain itu, kumpulan penyelidik sains komputer di seantero dunia memberi tumpuan dalam mengesan pesakit yang dijangkiti menggunakan perubatan seperti sinar-X melalui pemprosesan gambar dan imbasan CT iaitu Computed Tomography. Selain itu, AI telah dikembangkan dalam pembangunan tracking software dengan menggunakan monitoring bracelet dalam membantu proses klasifikasi pematuhan peraturan kuarantin. Teknologi-teknologi ini sedikit sebanyak membantu dalam mengesan individu yang dijangkiti virus COVID-19 dan mengelakkan daripada merebak. Namun begitu, teknologi-teknologi yang wujud ini bukan semata-semata dalam aspek pencegahan virus COVID-19 secara terus tetapi juga melalui platform media sosial untuk berkomunikasi dengan rakyat awam untuk memberi kesedaran dan peringatan untuk menjaga kebersihan dan keselamatan serta duduk di rumah jika tidak bekeperluan ketika musim pandemik ini. Tambahan lagi, ada juga pihak yang mencadangkan untuk menggunakan telefon bimbit dalam pengenalpastian COVID-19, sama ada menggunakan sensor implan di telefon bimbit untuk mengenali kesan sampingan COVID-19 atau tinjauan berdasarkan telefon bimbit untuk menyalurkan pesakit berisiko tinggi kepada pihak atau agensi yang bertanggungjawab. Sehubungan itu, strategi dan langkah yang diambil oleh kebanyakan negara menggunakan teknologi dalam usaha menangani kemelut pandemik COVID-19 ini merupakan satu contoh yang baik dan menarik untuk dikupas dengan lebih lanjut kepada golongan anak muda yang masih belajar agar dapat menerapkan minat dalam diri terhadap bidang STEM.
Kupasan yang selanjutnya, dari aspek bidang kejuruteraan pula kita dapat lihat apabila situasi pandemik COVID-19 ini memberi banyak cabaran kepada bidang ini. Ini dapat dibuktikan menerusi situasi yang berlaku di Wuhan, China apabila kebiasaannya pelancong yang bertandang ke wilayah itu untuk melihat keindahan East Lake iaitu sebahagian pecahan sungai terkenal Yangtze River. Namun, hakikatnya perkara yang dijangkakan berlaku sebaliknya apabila hampir semua hospital di Wuhan menerima pesakit demi pesakit yang disyaki dijangkiti virus maut COVID-19. Justeru, peningkatan angka naik secara mendadak itu menyebabkan kerajaan China bertindak pantas meminta para jurutera di Wuhan membina sebuah hospital yang boleh menampung pesakit sekitar 2,300 orang dalam masa enam hari sebagai jalan penyelesaian. Dari segi perspektif yang lain, misi yang dilakukan oleh kerajaan China itu dilihat seakan-akan mustahil untuk dilakukan berikutan kes positif kian meningkat hari demi hari. Usaha membina hospital baharu masih diteruskan kerana jumlah pesakit disyaki dijangkiti COVID-19 sudah mencecah hampir 7711 kes dan 170 disahkan maut pada ketika itu. Dalam konteks ini, dapat dilihatkan bahawa kepentingan bidang kejuruteraan dalam kehidupan seharian walaupun dalam situasi yang agak genting seperti pandemik COVID-19. Selain itu, terdapat pihak dari institusi pendidikan tinggi negara terutamanya dalam bidang sains dan kejuruteraan menghasilkan semburan pembasmi kuman, face shield dan sebagainya. Mereka jugaberusaha melakukan penyelidikan dan langkah proaktif dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 ini. Hal ini dapat menjamin kelestarian kampus dan terus menjadikan universiti sebagai tempat kesarjanaan ulung. Dengan ini, secara tidak langsung dapat membuka mata pelajar sekolah dan universiti dalam memupuk minat mereka dalam bidang STEM.
Bersambung…